BMS3022
KARYA
AGUNG MELAYU
GURINDAM DUA BELAS
NORSHAPIKA BINTI HASHIM
D 20111047551
AT 05 : PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
SEMESTER 2
SESI 2014/2015
KUMPULAN
A
PENSYARAH
DR.
SERI LANANG
FAKULTI
BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSTI
PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
Gurindam
Dua Belas
Gurindam Dua Belas
merupakan sebuah puisi, hasil karya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, iaitu
seorang sasterawan dan Pahlawan Nasional dari Pulau Penyengat, Provinsi
Kepulauan Riau. Beliau merupakan seorang ulama, ahli sejarah, serta Pujangga
Melayu – Bugis. Gurindam ini ditulis dan diselesaikan di Pulau Penyengat pada
tanggal 23 Rejab 1264 Hijrah atau 1847 Masehi pada usianya 38 tahun. Karya ini
terdiri dari 12 Fasal dan dikategorikan sebagai Syi’r al-Irsyadi atau puisi didaktik kerana ia mengandungi nasihat
dan petunjuk menuju hidup yang diredhai
oleh Allah S.W.T. Beliau menciptakan Gurindam Dua Belas ini adalah untuk mas
kahwin yang diberikan kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau
Penyengat. Mas kahwin itu dipahatkan pada batu marmar sebagai bukti rasa
cintanya.
Dalam bidang penulisan, Raja Ali Haji merupakan penulis
pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam
sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya
dianggap sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan
seharian. Kehebatan Raja Ali Haji sebagai seorang tokoh pujangga Melayu yang
terserlah melalui hasil karya beliau yang pelbagai. Mengikut Raja Ali Haji,
“adapun erti gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak pada akhir
pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya sahaja,
jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi
seperti jawab”.
Gurindam Dua Belas ini, di
dalamnya penuh sarat dengan 1001 nasihat dan pedoman untuk pembaca apabila kita
menghayatinya. Ia banyak mengandungi nasihat, pelajaran, pandangan hidup dan
filsafat. Gurindam ini telah menjadi teks pembelajaran di sekolah menengah melalui
mata pelajaran Bahasa Melayu, Kompenan Sastera (KOMSAS).
1.1 Falsafah
dan Pemikiran
Dari segi bahasa, falsafah
ini berasal daripada dua buah perkataan yang digabungkan, iaitu philo dan sophia. Philo bermaksud ‘cinta dan suka’ manakala Sophia pula bermaksud ‘hikmah’. Jadi, digabungkan dua perkataan ini
menjadi ‘sukakan hikmah/ cintakan hikmah’. Perkataan ini diciptakan oleh Pythagoras. Falsafah bermaksud cinta akan ilmu dan
kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang
tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran dan satu usaha pemikiran
yang tuntas. Tegasnya ‘berfalsafah’ ialah mencari kebenaran dari kebenaran
untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan berfikir
secara radikal. Sistematik dan sejagat. Jadi, apabila seseorang itu berfikir
demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah
orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan huraian yang tersusun oleh
pemikirannya itu juga adalah falsafah. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa
falsafah seharusnya ditanda dengan caranya, iaitu berfalsafah, dan juga
masalahnya, iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.
Bidang falsafah memberi penekanan dalam etika,
metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Etika
ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. falsafah metafizika
memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Sejarah pula, persoalan yang
berkaitan dengan masa silam, seperti tamadun dan keruntuhan. Sosial adalah
gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Ekonomi ialah sistem
pendapatan dan pengurusan harta benda. Kosmologi ialah yang membincangkan
situasi persekitaran dan alam sejagat. Politik ialah aplikasi dan tujuan sistem
pemerintah sesebuah negara. Logik pula merupakan pemikiran yang rasional,
takulan dan sebab musabab.
Oleh itu, falsafah merupakan satu bidang ilmu yang
penting dan tidak semua manusia mampu untuk memahaminya dengan baik. Bidang
ilmu ini dikatakan sebagai satu bidang yang merangkumi segala bidang ilmu yang
terdapat di dunia ini. Ia meliputi segala ilmu pengetahuan yang terdapat di
dunia ini.
Manakala. Pemikiran ialah proses mental yang membenarkan
yang hidup untuk memodelkan dunia dan untuk menghadapinya dengan cekap menurut
matlamat, rancangan, hujung dan kemahuan. Konsep berkaitan dengan pemikiran
ialah kesedaran, idea dan imaginasi. Menurut John Barell ( 1991 ), pemikiran
ialah proses mencari makna serta usaha mencapai keputusan yang wajar. Gurindam
Dua Belas Fasal adalah karya sastera penting dan bermutu dalam penulisan negara
Indonesia dan juga Malaysia. Raja Ali Haji mempunyai beberapa kelebihan
tersendiri terutamanya aspek pengkaryaannya yang berkonsepkan Islamisme. Kita
dapat hayati kepengarangannya tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan
Islam yang begitu kukuh. Pemikiran ini telah ditemui dalam karyanya iaitu,
Gurindam Dua Belas Fasal. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas tetapi kelebihan
Gurindam Dua Belas Fasal adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya
yang tinggi.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya,
iaitu Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham, landasan keislaman ini banyak
dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem pendidikan yang
diterimanya. Dalam perkara ini, jelaslah bahawa pendidikan Islam tradisional
yang diterima daripada beberapa orang guru dan ulama di Riau serta pendidikan
informal dari keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir
Raja Ali Haji.
Menurut beliau lagi, Raja Ali Haji sangat beruntung
kerana sikap toleransi pemerintahan Belanda di Kepulauan Indonesia pada era
tersebut telah memberi kelonggaran dan kebebasan kepada penganut Islam untuk
mengamalkan Ibadah termasuklah menunaikan fardhu haji serta aktiviti sosial
seperti perkahwinan dan adat. Hal ini telah memberi ruang kepada Raja Ali Haji
untuk berkarya dan mengetengahkan aspek-aspek pemikirannya terutamanya tasawuf
yang diperlihatkan dalam Gurindam Dua Belas. Tasawuf ialah ilmu kerohanian yang
mengajarkan jalan untuk mencapai kebenaran.
Selain itu, falsafah dan pemikiran Raja Ali Haji dalam
Gurindam Dua Belas ialah ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah SWT
sebenarnya berkaitan rapat dan langsung dengan rukun Islam. Contohnya dalam fasal
yang kedua ada menjelskan tentang sembahyang, puasa, zakat dan haji.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti
ruang tiada bertiang.
Barang
siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah
mendapat dua temasya.
Barang
siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah
hartanya beroleh berkat.
Barang
siapa meninggalkan haji,
Tiadalah
ia menyempurnakan janji.
Oleh itu, bagi Raja Ali
Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu tentang Allah SWT.
Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui
binaan bahasa, bunyi, dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa
dan sebagainya malah lebih penting daripada itu, iaitu mempelajari cara untuk
menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah
keredhaan Allah SWT.
Selain daripada itu, gagasan
pemikiran Raja Ali Haji adalah lebih ke arah keislaman. Dalam gurindam yang
dihasilkan oleh beliau mempunyai 12 Fasal. Setiap fasal pasti mempunyai amanat,
nasihat dan pengajaran kepada pembacanya. Beliau menerapkan prinsip-prinsip
ajaran agama yang diyakini dan dianuti
ke dalam karyanya sebagai hujah dan panduan yang akan mengawal generasi
berikutnya dalam mengharungi kehidupan sebagai manusia. Berdasarkan falsafah
dan pemikiran sedemikian maka akan lahirlah manusia Melayu yang mementingkan
agama, berbudi pekerti, mengutarakan pendidikan dan sebagainya.
Misalnya, Gurindam Dua
Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan
kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara
persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan
tasawuf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta konsep pemerintahan.
Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus
memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan
syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua
Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti
serta jati diri yang indah dan sempurna.
Falsafah yang terdapat
disebalik Gurindam Dua Belas ialah nilai tanggungjawab seseorang manusia dalam
melaksanakan kewajipan kepada penciptaNYA. Sebagai umat Islam, seseorang
individu itu perlu melaksanakan kewajipan yang diperintahkan sebagai seorang
muslim untuk membuktikan bahawa kita sebagai umat/ hamba yang taat kepada Allah
SWT. Sebagai contoh yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas:
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti
ruang tiada bertiang.
Barang
siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah
mendapat dua temasya.
Barang
siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah
hartanya beroleh berkat.
Barang
siapa meninggalkan haji,
Tiadalah
ia menyempurnakan janji.
Petikan ini menjelaskan
bahawa kita sebagai umat Islam haruslah mematuhi Rukun Islam.
Falsafah seterusnya sifat
keperihatinan dalam menjaga pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Kita
sebagai insan yang bersyukur haruslah menjaga anggota pancaindera yang
dianugerahkan daripada perkara-perkara yang negatif. Apabila kita menjaga anggota
pancaindera daripada perkara mungkar atau negatif seperti berzina, mengumpat,
atau menabur fitnah dan sebagainya, Jadi dapat membuktikan bahawa tahap
keimanan dan ketakwaan seseorang itu kepada Ilahi. Sebagai contohnya:
Hendaklah
peliharakan kaki,
Daripada
berjalan yang membawa rugi.
Rangkap gurindam tersebut menjelaskan
bahawa setiap manusia perlu mengetahui dengan lebih jelas setiap tindak tanduk
yang dilakukan sama ada kebaikan atau keburukan kepada diri sendiri dan orang
lain.
Gurindam Dua Belas juga menyajikan falsafah tentang nilai
budi dan akhlak mulia dalam kehidupan. Nilai budi yang ditakrifkan dalam
masyarakat Melayu ialah nilai budi berbahasa, nilai budi dalam tindakan dan
tingkah laku dalam hidup bermasyarakat. Masyarakat boleh mengenali sikap atau
tingkah laku dan juga latar belakang sesebuah keluarga melalui nilai budi yang
ditonjolkan oleh seseorang individu itu. Hal ini ketinggian nilai budi itu
mencerminkan personaliti kita. Contoh nilai budi dalam kehidupan:
Jika
hendak mengenal orang yang mulia,
Lihatlah
kepada kelakuannya.
Di sini jelas menunjukkan
nilai budi seseorang akan mempengaruhi corak kehidupan dan harga diri mereka di
mata masyarakat dan turut menggambarkan
keperibadian seseorang itu.
Falsafah yang lain ialah tanggungjawab seseorang individu
terhadap sesama insan. Setiap individu bukan sahaja mempunyai tanggungjawab
kepada ILAHI tetapi juga mempunyai tanggungjawab kepada semua insan di muka
bumi ini. Tanggungjawab yang dimaksudkan itu adalah seperti tanggungjawab
kepada ibu bapa, isteri atau suami, anak-anak dan masyarakat. Kita sebagai anak
harus melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama insan terutamanya terhadap
kedua-dua ibu bapa. Hal ini selaras dengan Islam kerana sebagai landasan untuk
mendapatkan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Islam juga meletakkan ibu
bapa pada kedudukan yang paling tinggi. Perkara ini dapat dibuktikan apabila
ada seorang sahabat Rasulullah s.w.a bertanya kepada baginda tentang perkara
yang paling disukai oleh Allah SWT . Maka Rasulullah s.a.w menjawab “ada tiga perkara yang disukai oleh Allah
SWT, iaitu pertama, menjaga solat lima waktu sehari semalam. Kedua, berbakti kepada ibu dan bapa dan
ketiga, berjihad ke jalan Allah SWT”. Di sini jelaslah bahawa kedudukan ibu
bapa diletakkan di tempat yang tinggi kerana Allah SWT mengangkat darjat ibu
bapa sebelum berjihad di jalan Allah SWT. Contohnya bait kata yang diambil dari
Gurindam 12 Dua Belas:
Dengan
bapak jangan durhaka,
supaya
Allah tidak murka.
Dengan
ibu hendaklah hormat,
supaya
badan dapat selamat.
Melaui contoh ini, jelaslah
bahawa keharmonian hidup berkeluarga amat dititikberatkan oleh Islam. Kedudukan
ibu bapa sangatlah tinggi. Mentaati ibu bapa adalah satu kewajipan. Setiap anak
wajib berbakti dan mentaati ibu bapa. Islam telah meletakkan ibu bapa pada
kedudukan yang paling tinggi. Sepertimana dalam Islam menegaskan bahawa
keredhaan Allah Taala terletak kepada keredhaan ibu bapa. Oleh itu, syariat
menetapkan mentaati ibu bapa sebagai satu kewajipan yang perlu dilakukan oleh
setiap anak.
Jadi, kita dapat simpulkan
bahawa pemikiran Raja Ali Haji dalam karyanya,iaitu Gurindam Dua Belas berkonsepkan
keislaman. Maka, falsafahnya lebih mementingkan dan mengutamakan agama dan
ajaran Islam dalam melayari kehidupan manusia. Beliau banyak memberikan
nasihat-nasihat yang berguna tentang kehidupan yang perlu dilalui oleh
seseorang. Dengan falsafah yang dikemukakan sememangnya masyarakat Melayu
mempunyai daya keintelektualan dan daya kreatif yang tinggi dalam menyampaikan
sesuatu maklumat dan nasihat kepada para pembacanya.
1.2 Estetika dan Kepengarangan dalam Gurindam
Dua Belas
Karya sastera memang
mempunyai nilai estetika. Nilai estetika ini seharusnya dapat dinikmati sebagai
nikmat membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Justeru, sentuhan
rasa dan fikir dapat dirasakan oleh pembaca dengan melihat kecerdasan dan
jalinan keindahan bahasa seseorang pengarang. Luahan hati dan getar jiwa seni
pengarang melalui kata-kata dan bayangan alam budaya kehidupan masyarakat.
Estetika dan kepengarangan
adalah dua aspek yang penting dan mempengaruhi kedudukan sesebuah teks dan
seseorang sasterawan. Estetik berhubung kait dengan keindahan yang menjadi
dasar karya sastera. Ia membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya
dan pengalaman keseronokan apabila membacanya. Estetik ialah rasa keindahan,
keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta
penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan
perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Keindahan ini dapat dilihat dengan
penggunaan bahasa yang digunakan oleh pengarang. Cara pengarang mencerna,
mengadun dan mengolah karyanya yang menyerlahkan rasa keindahan.
Menurut Muhammad Haji
Salleh dalam bukunya yang bertajuk “Puitika Sastera Melayu”,estetika menjadi
sebahagian daripada pemikir kesenian manusia Melayu yang terbayang dalam, yang
indah itu dicari kerana keupayaannya membawa khalayak kepada suatu peri nikmat
yang lebih tinggi kepada bayangan pengalaman luar biasa yang mungkin terdapat
dalam hanya kayangan sastera.
Estetika merupakan seni sastera yang terdapat dalam
gurindam yang merujuk kepada sesuatu objek alam dan seni yang bernilai dan
berguna untuk penglihatan dan penikmatan yang indah. Menurut V.I Braginsky (
1994: 16 ), beliau merumuskan bahawa konsep keindahan dalam tradisi dan budaya
Melayu, mempunyai tiga aspek yang dengan terang dinyatakan dalam karya-karya
sastera menerusi penggantian perkataan “indah” dengan kata-kata yang seerti.
Menurutnya lagi, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi
jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh tetapi kesan keindahan itu yang lebih
penting dan lebih utama ialah faedah (manfaat) yang terkandung dalamnya.
Aspek pertama, bersangkut
paut dengan asal usul keindahan, atau sumbernya. Pengertian “indah” di sepadan
secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan (kekayaan Allah). Ia meliputi
kekuasaan Allah mencipta sesuatu yang tidak terbatas. Dan Allah juga suka
kepada keindahan.
Aspek kedua, estetika Islam
membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena dengan menggunakan
perkataan “elok” dan “indah” dalam karya sastera dan karangan tasawuf Melayu.
Aspek keindahan ketiga,
estetika atau keindahan tersembunyi, tetapi “bentuk” iaitu, bentuk susunan kata
yang baik, makna yang berlapis-lapis akan menyerlahkan keindahan sehingga dapat
dihayati. Tanpa bentuk yang baik, yakni apabila dilahirkan dengan gaya ungkapan
yang tidak menarik, isi kandungan akan kehilangan daya tarikannya.
Manakala, kepengarangan merujuk kepada keterampilan,
kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Kepengarangan
dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang.
Salah satu keindahan yang boleh kita dapati dalam
Gurindam Dua Belas ialah penggunaan gaya bahasa yang ditonjolkan oleh
pengarang. Antaranya seperti berikut:
a) Asonansi
Asonansi ialah
pengulangan huruf vokal yang sama dalam
deretan kata. Dalam gurindam ini terdapat pengulangan huruf vokal a, seperti yang berikut:
Apabila terpelihara mata ( Fasal Ketiga:
rangkap satu, baris satu )
Cahari olehmu akan sahabat ( Fasal Keenam: rangkap satu, baris satu )
b) Aliterasi
Aliterasi ialah
pengulangan huruf konsonan dalam deretan kata.
Pengulangan
bunyi konsonan g
Bersungguh-sungguh engkau
memeliharakan tangan ( Fasal ketiga: rangkap
keempat, baris satu )
Pengulangan
bunyi konsonan n
Yang boleh menyerah diri ( Fasal Keenam, rangkap tiga, baris
dua )
c) Sinkope
Sinkope ialah
singkatan kata.
Cahari olehmu akan
sahabat (
Fasal Keenam: rangkap satu, baris satu )
d) Penggunaan
kata klasik
Cahari
e) Penggunaakan
kata ganda
Cita-cita,
f) Penggunaan
bahasa kiasan
Yang boleh menyerahkan diri ( mahu menurut kata-kata suami )
Selain itu, dalam kata-kata
yang termaktub dalam Gurindam 12 Dua Belas sangat kental sekali dengan
keislaman. Gurindam ini mengandungi banyak nasihat dan pengajaran yang sangat
berguna dan bersifat universal bagi masyarakat, khususnya masyarakat di mana
Raja Ali Haji itu tinggal, iaitu masyarakat Melayu. Dari bahasa yang dibentuk
menjadi sebuah kata lalu menjadi ayat yang mempunyai makna yang terkandung di
dalamnya. Kita dapat hayati dalam setiap fasal dalam Gurindam Dua Belas
mempunyai dua baris dalam serangkap atau beberapa baris dalam serangkap. Setiap
baris ke baris dalam Gurindam Dua Belas membawa makna yang lengkap dan saling
berkesimbungan antara baris pertama dengan baris yang berikutnya. Baris pertama
biasanya dikenali sebagai “syarat” dan baris kedua sebagai “jawab”. Baris
pertama atau “syarat” menyatakan suatu fikiran atau peristiwa sedangkan baris
kedua atau “jawab” menyatakan keterangan atau menjelaskan apa yang telah dinyatakan
oleh baris atau ayat pertama tadi. Jumlah perkataan sebaris dan jumlah suku
kata serta rimanya tidak tetap.
Di samping itu, kebijaksanaan
berbahasa dalam menyampaikan nasihat terdapat dalam keindahan Gurindam Dua
Belas. Semua pesanan dan nasihat itu terdapat kata-kata puitis yang indah dan
penuh estetika. Setiap fasal ini mempunyai amanatnya yang tersendiri. Pada
fasal pertama, ia memberikan nasihat tentang agama. Fasal kedua, menceritakan
tentang orang-orang yang meninggalkan sembahyang, puasa, zakat, dan haji serta
akibatnya. Fasal ketiga, berkaitan budi pekerti, iatu menahan kata-kata yang
tidak perlu dan makan seperlunya. Fasal keempat, tentang tabiat yang mulia,
yang muncul dari hati (nurani) dan akal fikiran (budi). Fasal kelima, tentang
pentingnya pendidikan dan memperluaskan perbualan dengan kaum terpelajar. Fasal
keenam, tentang pergaulan yang menyarankan untuk mencari sahabat yang baik,
demikian pula guru sejati yang dapat mengajarkan yang mana baik dan buruk.
Fasal ketujuh, mengandungi nasihat agar orang tua menunjukkan akhlak dan budi
pekerti anak-anaknya sejak kecil dengan sebaik yang mungkin. Fasal kelapan,
mengadungi nasihat agar orang tidak mempercayai orang yang culas dan tidak
berprasangka buruk terhadap seseorang. Fasal kesembilan, nasihat tentang moral
pergaulan wanita dan pendidikan. Fasal kesepuluh, nasihat berkaitan keagamaan
dan budi pekerti, iaitu kewajipan anak untuk menghormati orang tuanya. Fasal
kesebelas, memberi nasihat kepada para pemimpin agar menghindari tindakan yang
tercela, berusaha melaksanakan amanat anak buah dalam tugasnya serta tidak
khianat.
Dalam pada itu, apabila
kita membaca dan menghayati setiap baik kata gurindam ini terdapat beberapa
nilai-nilai yang menyentuh seluruh kehidupan manusia yang mengajar, mendidik
dan membentuk peribadi manusia ke arah kebaikan. Aspek moral dan sosial dalam
kehidupan sangat diutamakan oleh pengarang,iaitu Raja Ali Haji. Gurindam Dua
Belas ini mengandungi nilai murni dan banyak pengajaran serta nasihat. Nilai
moral ialah nilai yang berkaitan dengan akhlak, budi pekerti, atau baik buruknya
tingkah laku seseorang itu. Manakala, asepk sosial ialah nilai yang berkaitan
dengan norma yang ada dalam masyarakat Perkataan dan bahasanya banyak
mengambarkan keindahan dan mengambil perbandingan keindahan itu seolah-olah
untuk melukiskan isinya dengan suasana dan warna yang cantik dan sarat dengan
nasihat. Oleh itu, kita dapat menghayati gurindam ini banyak memberi pengajaran dan pendidikan kepada
generasi pada hari ini. Selepas itu, nilai kehidupan yang meliputi nilai
sosial, nilai keperibadian, nilai budaya, nilai adat, nilai tingkah laku, nilai
agama, nilai pendidikan, nilai ketuhanan, dan sebagainya.
Nilai keagamaan ialah nilai
yang berkaitan dengan tuntutan beragama. Contohnya, kita dapat lihat nilai
ketuhanan dan nilai keagamaan yang digunakan dalam diksi atau pilihan kata
seperti agama, ma’rifat, Allah, Tuhan,
bahri, akhirat, mudarat, sembahyang, puasa, zakat, berkat, haji, dan sebagainya.
Seterusnya nilai yang
terkandung dalam bait gurindam ialah nilai moral. Nilai moral ialah nilai yang
berkaitan dengan akhlak, budi pekerti, atau baik buruknya tingkah laku
seseorang itu. Bait gurindam tersebut mengadungi pelajaran, jika orang tua
tidak mendidik anaknya dengan kebaikan maka orang tua akan merasa kesulitan dan
mengalami kesusahan ketika anaknya dewasa nanti. Sebagai contohnya dalam Fasal
Ketujuh: rangkap empat, baris satu dan dua:
Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
Penggunaan kata lidah
atau terpelihara lidah, dan faedah
pada gurindam ( 1 ) seperti di bawah merupakan
penanda nilai diri dan kepribadian bahawa apabila seseorang dapat
memelihara pembicaraanya, nescaya akan mendapatkan faedahnya. Selain daripada
itu, penggunaan kata perut, fi’il,
dan senunuh pada gurindam ( 2 ) merupakan penanda nilai diri dan kepribadian.
Jadi, kita dapat simpulkan bahawa diksi atau pilihan kata digunakan oleh
pengarang adalah untuk menandai pesan-pesan nilai kehidupan untuk disampaikan
kepada para pembaca,
(
1 ) Apabila terpelihara lidah
Nescaya
dapat daripadanya faedah
(
2 ) Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah
fi’il yang tiada senunuh
Dalam ungkapan yang padat,
Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan
keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal
semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab
(Shafie Abu Bakar 1996).
Jika kita teliti kepengarangan Raja Ali Haji dalam
gurindam ini berkonsepkan keislaman. Kepengarangannya tidak dapat dipisahkan
dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh. Menurut Ketua Jabatan
Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham, landasan
keislaman ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem
pendidikan yang diterimanya. Dalam perkara ini, jelaslah bahawa pendidikan
Islam tradisional yang diterima daripada beberapa orang guru dan ulama di Riau
serta pendidikan informal daripada keluarganya merupakan landasan penting
kepada proses berfikir Raja Ali Haji. Ayahnya Raja Ahmad atau digelar juga Engku
Haji Tua memang seorang yang alim.
Dunia keislaman yang mempengaruhi kepengarangan Raja Ali
Haji juga banyak ditimba dari pendidikan agama oleh guru-guru yang sering
mengunjungi Penyengat seperti Syeikh Ahmad Jibrati dan Habib Syeikh Syakaf. Sebagai
contohnya, Raja Ali Haji menekankan konsep makrifat dalam Gurindam Dua Belas
adalah mengenal Allah, diri, dunia, dan akhirat. Kita sebagai hambaNYA wajib
mengenal Allah dengan melaksanakan suruhan dan perintah-NYA. Ia selaras dengan
ajaran Islam, mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
Contohnya gambaran pada gurindam fasal yang pertama:
Barang
siapa tiada memegang agama,
sekali-sekali
tiada boleh dibilangkan nama.
Barang
siapa mengenal yang keempat,
maka
ia itulah orang ma’rifat.
Barang
siapa mengenal Allah,
suruh
dan tegahnya tiada ia mengalah.
Kesimpulannya, pesanan yang
terkandung dalam gurindam mempunyai mesej atau amanat yang hendak pengarang
sampaikan kepada pembacanya. Raja Ali Haji menulis Gurindam Dua Belas
berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya. Gurindam ini memberi
banyak nasihat tentang ibadah, kewajipan raja, kewajipan anak, kewajipan orang
tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat yang dapat dijadikan pedoman hidup
buat kita semua. Dalam kata-kata yang termaktub dalam gurindam ini sangat
kental sekali unsur keislaman kerana gurindam ini mengandungi nasihat-nasihat
yang sangat berguna dan bersifat universal bagi masyarakat dunia. Oleh itu,
kita haruslah cermat untuk memahami setiap bait kata yang dihasilkan oleh
pengarang agar kita memperoleh nilai-nilai dan pengajaran tersebut sebagai
panduan dalam hidup.
Bibliografi
Abu Hassan
Abdul & Mohd Rashid Md Idris (2012). Seni
Mengarang. Tanjung Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Id.wikipedia.org/wiki/Gurindam-Dua-Belas.
Diperoleh pada1 Mei 2015.
Mimbarkata.blogspot.com/2013.07/pemikiran-raja-ali=haji.html.
Diperoleh pada 2 Mei 2015.
Mohd
Rashid Hj.Md. Idris, Abd. Rahman Napiah
& Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014).
Karya
Agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Muhammad
Haji Salleh (2000). Puitika Sastera
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Rahman
Shaari (2010). Antologi Harga Remaja.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Siti
Nur Anis M. Apandi (2011). Diperoleh pada Mei 2, 2015 daripada
www.scribd.com/doc/5417337/gurindam-12#scribd.
No comments:
Post a Comment