BMS 3022
KARYA AGUNG
MELAYU
TAJUK:
ANALISIS KARYA TRADISIONAL:
HIKAYAT INDERAPUTERA
AHLI KUMPULAN:
NAMA
|
NO. MATRIK
|
AISYAH BINTI MUHD
RASHID
|
D20111047552
|
NURUL NAJIHAH BINTI RAMLI
|
D 20111047545
|
SITI NOOR AZZIRA BINTI AMRAN
|
D 20111047521
|
NORSHAPIKA BINTI HASHIM
|
D 20111047551
|
NURHASYIMAH BINTI MAT SAEI
|
D 20111047543
|
KUMPULAN: A
PENSYARAH:
DR. SERI LANANG JAYA BIN HAJI
ROHANI
IJAZAH
SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
JABATAN
BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU
FAKULTI
BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI
PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
1.0 Pengenalan
Karya
agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya
tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu
Melayu. Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seninya, nilai budayanya, nilai ilmu
dan pemikiran yang terkandung dalam di dalamnya, nilai pada teknik
kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah,
semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang
‘luar biasa’. Maksud ‘luar biasa’ ini dapat kita lihat dan rasakan apabila kita
mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang digunakan,
sama ada secara sedar, spontan, atau secara ‘terancang’, bagi menyampaikan
sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan
Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al).
Karya
agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan
dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Yang
dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan
seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran
atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu,
nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti
itu. Selain itu, karya agung juga sebuah karya yang dianggap oleh pelbagai
institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan kehebatan
sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, budaya, dan
sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini
merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya
tersebut (Mohd Rashid Md Idris et al.; 2014).
Karya agung melambangkan keunggulan
daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri.
Tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain dikenali melalui
karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman
dan sasterawan zaman dahulu kala. Mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang
besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau
dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan
warisan bangsa hingga ke zaman ini (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md
Idris et al.).
Sesuatu karya untuk menjadi tonggak
keintelektualan sesuatu bangsa pastinya perlu berbentuk tulisan kerana melalui
tulisan sahaja sesuatu karya dapat dikenal segala maklumat yang terkandung di
dalamnya, sekali gus menggambarkan kehebatan bangsa tersebut. Mungkin asalnya karya
itu dalam bentuk lisan tetapi melalui usaha-usaha yang terkemudian, bahan-bahan
lisan itu ditulis dan dibukukan bagi menjamin kelangsungannya. Melalui tulisan,
dapat dikenal keindahan bahasa yang digubah dan jalinan fikir yang diungkap
sehingga ke hari ini. Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung
berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan. Namun, perlu diingat
bahawa tidak ada ukuran yang sejagat berkaitan ciri-ciri ini. Hal ini demikian
kerana setiap karya sastera lahir daripada tradisi, budaya dan tamadun yang
berbeza-beza. Penelitian ciri-ciri sesebuah karya kesusasteraan diangkat
sebagai karya agung Melayu dilihat dari beberapa aspek iaitu pemikiran dalam
karya agung, estetika dan kepengarangan karya agung, nilai budaya dan pandangan
hidup serta nilai ilmu dalam karya agung Melayu (Mohd Rashid Md Idris et al.;
2014).
Karya agung Melayu adalah cetusan
akal fikiran Melayu yang luar biasa. Keluarbiasaan akal Melayu ini pada dua
tahap keupayaan mentalnya iaitu keupayaannya berfikir secara kreatif melalui
kaedah atau proses mental yang dapat kita sebut kaedah metafora, yakni kaedah
berfikir melalui perumpamaan, perbandingan, kiasan dan tamsil ibarat, untuk
menyampaikan sesuatu benda daripada alam nyata sebagai analoginya. Selain itu,
kebolehan mentalnya untuk menyusun fikirannya dalam bentuk pengungkapan yang
sangat berstruktur. Terdapat banyak karya agung yang mempunyai kehebatannya
yang tersendiri antaranya ialah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat
Raja-raja Pasai, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat Inderaputera, Misa
Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya.
2.0 Hikayat Inderaputera
2.1 Latar belakang Hikayat Inderaputera
Hikayat
Inderaputera, merupakan sebuah karya agung dalam kategori genre cerita lipur
lara Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-17 dan ke-18. Sejumlah 30 naskhah
hikayat ini yang diketahui masih ada, terpelihara dan disimpan di perpustakaan
negeri Belanda, Britain, Jerman, Perancis, Belgium, Sri Lanka, Indonesia dan
Malaysia. Hikayat ini terdapat dalam beberapa versi iaitu versi Aceh, versi
Jawa, versi Lombok, versi Bugis, versi Cam dan versi Mindanao. Hikayat ini juga
disebut dalam karya agung Melayu yang lain, iaitu Bustan al-Salatin dan Sirat
al-Mustakim karangan Nuruddin al-Raniri, juga dalam Taj al-Salatin karangan
Bukhari al-Jauhari. Pengarangnya tidak diketahui dan ia adalah antara karya
yang masih terselamat sehingga hari ini.
Teks hikayat ini telah dikaji oleh
Dr. S.W. R. Mulyadi dalam tesis Doktor Falsafahnya yang bertajuk Hikayat
Indraputra: A Malay Romance. Terjemahan tesis ini ke dalam bahasa Melayu
diusahakan oleh Sidang Editor Yayasan Karyawan dan diselenggara oleh Ali Haji
Ahmad. Naskhah dasar yang digunakan dalam kajian ini adalah MS I, naskhah
tertua yang paling lengkap bertarikh 29 Rejab 1111 H bersamaan dengan 20
Januari 1700 M. Satu salinan Hikayat Indera Putera terdapat dalam simpanan
Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Nombor Manuskripnya MS 37. Satu lagi salinan
terdapat di Universiti Leiden, The Netherlands/Belanda (Or 53 (formerly HS.
542), Library of KITLV (Koninklijk Instituut voor Taal-, Land- en Volkenkunde,
Leiden, Belanda.)
Seorang sarjana, Dr. V.I Braginsky mengkaji
hikayat ini dari segi unsur-unsur Islamnya, selain mendapat data-data
terbaharu. Beliau secara yang amat mendalam dan meyakinkan melihat
Inderaputera, watak utama dalam hikayat ini, sebagai seorang pengembara sufi
mencari kebenaran Ilahi. Beliau juga mengatakan bahawa Hikayat Inderaputera ini
mungkin dipengaruhi oleh sumber India (Gulshan-i `Ishq, dan kesusteraan Sufi)
dan teks Melayu lain seperti Hikayat Cekel Waneng Pati dan Hikayat Amir Hamzah.
2.2 Ringkasan Cerita Hikayat Inderaputera
Mengisahkan
seorang Raja Bikrama Buspa mempunyai kerajaan yang amat besar, Sementa Pura
namanya. Isterinya, Tuan Puteri Jamjan Ratna Dewi, melahirkan seorang bayi
laki-laki yang amat elok parasnya dan diberi nama Inderaputera. Baginda meminta
ahli nujum melihat nasib puteranya itu. Menurut ramalan mereka, Inderaputera
akan menjadi raja yang penuh kebesaran, tetapi malangnya dia akan berada
bersama-sama ayahandanya hanya selama tujuh tahun sahaja.
Pada suatu hari, Raja Bikrama Buspa
dan anaknya Inderaputera menonton pertunjukan pandai emas dan pandai kayu.
Pandai kayu membuat ikan dan dibubuh di dalam pasu, lalu berpantun dan
berselokalah ikan itu. Kemudian pandai emas pula menunjukkan kebolehannya
dengan membuat merak daripada emas. Merak itu disimpan oleh Raja Bikrama pada
talam emas dan perak. Merak itu pun menyanyi seraya dengan bangganya memuji
kecantikan dirinya. Ketika itu Inderaputera pun turun dari pangkuan ayahandanya
lalu mendekati merak itu. Dengan tidak disangka-sangka merak itu menyambar
Inderaputera dan menerbangkannya ke udara.
Merak emas menerbangkan Inderaputera
ke sebuah negeri dan menjatuhkannya ke sebuah kebun kepunyaan Nenek Kebayan.
Apabila Nenek Kebayan pulang dari menjual bunga dia terlihat seorang
kanak-kanak sedang duduk di bawah sepohon delima. Dia bertanya tentang diri
anak itu. Inderaputera pun berceritalah akan nasib untungnya. Nenek Kebayan
memelihara Inderaputera dengan penuh kasih sayang. Apabila orang bertanyakan
mengenai kanak-kanak itu, dia mengatakan yang Inderaputera itu anaknya.
Orang-orang yang melihatnya pun sayang kepadanya.
Pada suatu hari Inderaputera dibawa
berjual bunga ke rumah Perdana Menteri. Melihat keelokan pekerti dan paras
kanak-kanak itu Perdana Menteri berasa kasih kepadanya lalu meminta untuk
memelihara kanak-kanak itu. Pada mulanya Nenek Kebayan menolak permintaan itu
tetapi setelah beliau merayu bersungguh-sungguh dia pun dibenarkan memelihara
budak itu pada sebelah pagi sahaja, manakala pada waktu malam dia akan tinggal
bersama-sama Nenek Kebayan. Dalam pemeliharaan Perdana Menteri, Inderaputera
menjadi semakin bijak dan membesar dengan perkasa.
Diceritakan kemudiannya bahawa
Inderaputera berkhidmat kepada Raja Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung
Mali Kali untuk mendapatkan ubat bagi memperoleh anak. Dalam perjalanan itu
binatang-binatang buas berhimpun menemui Inderaputera. Mereka meminta
perlindungan daripada putera raja itu daripada menjadi mangsa musuh mereka.
Inderaputera juga bertemu dengan tengkorak yang menceritakan peri adanya
raksasa dan dialah kelak yang akan membunuh raksasa itu. Inderaputera mendaki
sebuah gunung dan menemui raksasa yang amat ajaib dan dengan ketangkasannya,
Inderaputera berjaya menewaskan raksasa itu. Dia kemudian meneruskan
perjalanannya. Berdekatan dengan Padang Darsal, Inderaputera terserempak dengan
dua pihak yang sedang berperang antara satu sama lain. Inderaputera menyebelahi
pihak Nobat Rum Syah melawan jin kafir, hinggalah dia memperoleh kemenangan.
Nobat Rum Syah menjemput Inderaputera ke negerinya dn mengahwinkannya dengan
Puteri Jamjan Dewi Gemala Ratna.
Inderaputera meneruskan
perjalanannya hingga sampai ke Tasik Semenda Jin. Di situ dia berjaya
menyelamatkan diri daripada ditindih oleh seorang peri. Peri itu ditawannya
tetapi dia memohon dilepaskan dengan janji akan memberi Inderaputera Geliga
Mayan Bedi yang boleh menegeluarkan angin, ombak, dan sebagainya. Di sini juga
Inderaputera menemui Puteri Ratna Gemala Nehran anak Maharaja Syah Tokan.
Sewaktu Ratna Gemala Nehran sedang mandi bersama-sama dayang-dayangnya di dalam
sebuah tasik, Inderaputera telah mengambil baju puteri tersebut. Baju itu
dikembalikannya setelah puteri itu berjanji akan memberinya gemala hikmat
miliknya yang tersimpan di atas kemuncak mahligainya.
Inderaputera menaiki tabak tuan
puteri untuk naik ke kayangan. Apabila tiba di Padang Belantara Hairani,
Inderaputera menoleh ke belakang. Akibatnya dia terjatuh di padang itu. Dari
jauh dia terlihat istana Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang terletak di mercu
gunung berapi. Dia pun mendaki gunung itu dan masuk ke istana. Apabila tiba di
balairung dia terpaksa berhadapan dengan seekor gajah tetapi gajah itu dapat
ditewaskannya. Kemudian dia membunuh seekor harimau, seekor singa, seekor
badak, seekor naga berkepala tujuh, seekor geroda, dan seekor raksasa.
Tunang Puteri Ratna Gemala Nehran,
Raja Dewa Lela Mengerna, tersalah sangka apabila melihat puteri sedang
berbual-bual mesra dengan Inderaputera. Dia menghimpunkan askarnya lalu menuju
ke istana puteri itu. Dia mencabar Inderaputera supaya keluar berperang. Inderaputera
menyeru jin, peri serta hulubalang keluar dari gemala hikmatnya. Berlakulah
pertempuran hebat antara kedua-dua pihak. Berita peperangan itu akhirnya sampai
ke telingan Nobat Rum Syah. Dia pun membawa askarnya menolong Inderaputera.
Tetapi kemudiannya salah sangka berakhir dan Inderaputera diterima sebagai
teman yang mulia dan dijamu dengan penuh hormat.
Jin Tamar Buga amat murka kepada
Inderaputera kerana membunuh anaknya, Tamar Jalis. Dia membalas dendam dengan menyambar
Inderaputera dan cuba membuangkannya ke dalam Laut Kalzum. Walau bagaimanapun,
Inderaputera berjaya membunuh Tamar Buga. Tiba-tiba dia teringat kepada Tuan
Puteri Ratna Gemala Nehran, tetapi jin gemala hikmat memberitahunya bahawa
negeri puteri tersebut telah jauh ditinggalkan oleh mereka. Inderaputera
meminta jin itu menerbangkannya melalui gunung berapi itu. Jin itu sanggup
membawanya dengan syarat Inderaputera tidak meminta air.
Semasa mereka sedang melalui gunung
berapi itu Inderaputera berasa dahaga yang amat sangat sehingga tidak dapat dia
menahan diri daripada meminta air. Apabila dia berbuat demikian dia pun
terjatuh di tepi Tasik Bahrul Asyikin yang amat cantik. Puteri Seganda Cahaya
Iram yang ditemui oleh Inderaputera memberinya sebuah cembul ajaib yang boleh
menjelmakan mahligai. Setelah itu dia menuju ke gua perbendaharaan Raja Baharum
Tabak yang dijagai oleh seekor ular yang amat besar. Ular tersebut dapat
dibunuh oleh Inderaputera. Dari salah sebuah bilik dia menemui seekor kuda
hijau bernama Janggi Gerdana dan dari kepala ular diperolehnya bedi Zahar yang
boleh menghidupkan orang yang telah mati. Kemudian dia beredar ke mahligai
Puteri Cendera Lela Nur Lela sebelum meneruskan perjalanannya.
Dipendekkan cerita, Inderaputera
dapat menemui Berma Sakti yang memberinya sekuntum bunga tanjung dan
berbagai-bagai hikmat. Dia kemudiannya kembali ke negeri Raja Syahian. Setelah
makan sayur bunga tanjung kepunyaan Inderaputera, permaisuri hamil. Setelah
genap bulannya, permaisuri pun melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi
nama Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan yang amat cantik parasnya. Apabila
puteri itu meningkat dewasa ramailah putera raja yang datang berhamba diri bagi
tujuan meminang puteri. Ditakdirkan puteri jatuh sakit dan tiada siapa yang
berjaya mengubatinya sehinggalah Raja Syahian membuat pengumuman untuk
mengahwinkan anaknya dengan sesiapa yang berupaya menyembuhkan penyakit tuan
puteri itu. Pada ketika inilah muncul Inderaputera yang selama ini berada jauh
setelah dibuang kerana fitnah para pembesar negeri. Dengan mudah Inderaputera
menyembuhkan penyakit puteri itu. Ini membuat menteri-menteri dan anak-anak
raja dengki kepadanya, lalu dia dibunuh tetapi dapat dihidupkan semula oleh
isteri-isterinya. Cerita berakhir dengan perkahwinan Inderaputera dan Tuan Puteri
Mengindera Seri Bulan.
2.3 Pemikiran dalam Hikayat Inderaputera
Pemikiran menurut Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman
Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014: 69) bermula dengan idea, yang
kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah
fikiran yang bernas dan signifikan. Di
samping itu, setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan,
mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata
karya. Sehubungan dengan itu, setiap karya
agung yang dihasilkan memiliki pemikirannya yang tersendiri. Hal yang sama juga dimiliki oleh Hikayat
Inderaputera. Hikayat ini juga mempunyai
pemikiran atau mesej-mesejnya yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh
pengarang.
Antara
pemikiran yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera ialah pengaruh Hindu dalam
masyarakat. Dalam masa yang sama,
pengarang bijak menyesuaikannya dengan ajaran Islam yang pada waktu itu masih
lagi kuat pengaruh Hindunya. Hal ini
dapat dilihat dalam bab “Mencari Ubat Beranak”.
Inderaputera telah diarahkan oleh Raja Syahian untuk pergi mencari ubat
beranak bagi diberikan kepada isterinya yang tidak dapat mengandung atau dalam
erti kata lainnya, mandul. Walau bagaimanapun, perjalanan untuk mencari ubat
tersebut amatlah sukar sehinggakan Nenek Kebayan mengatakan bahawa Inderaputera
sengaja dipilih dan diarahkan untuk melakukan amanah tersebut, hanya untuk
membunuhnya. Namun begitu, Inderaputera
yang digambarkan sebagai seorang yang taat beragama mengatakan bahawa baginda berserah
diri kepada Allah akan perihal keselamatan dirinya. Hal ini dapat dibuktikan sebagaimana berikut:
“Hatta maka Inderaputera pun sampailah ke rumah Nenek
Kebayan, “Hai cucuku, dari mana tuan hamba beroleh pakaian yang indah-indah?”
Maka sahut Inderaputera itu, “Disuruhkan oleh Raja
Syahian pergi kepada Berma Sakti henda minta ubat beranak.”
Maka
kata Nenek Kebayan, “Wahai cucuku, sahaja hendak dibunuhnya. Di mana akan sampai ke sana kerana tempatnya
itu terlalulah amat sukar.”
Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Hai
nenekku, serahkan hamba kepada Tuhan Yang Maha Besar.”
(Halaman 17)
Selepas
itu, Inderaputera pun masuklah ke dalam hutan belantara dan meredah segala
macam bahaya demi mendapatkan ubat beranak tersebut. Sewaktu dalam perjalanan mendapatkan ubat
tersebut, baginda telah bertemu dengan sekawan binatang liar yang meminta
perlindungan daripadanya untuk berlindung daripada musuh mereka yang merupakan
seekor raksasa yang berada di Gunung Indera Kila. Raksasa tersebut telah memakan dan membunuh
ramai orang dan meninggalkan tengkorak-tengkorak manusia yang dimakannya di
atas gunung tersebut. Hal ini dapat
dibuktikan dalam petikan berikut:
Maka ujar
Inderaputera, “Hai tengkorak, tuan hambakah yang berseru-seru akan hamba tadi?”
Maka ujar
tengkorak itu, “Bahkan.”
Maka
Inderaputera pun berkata-kata.” Maka mengapa tuan hamba memanggil hamba?”
Maka ujarnya
tengkorak itu, “Ampun tuanku hai Inderaputera, inilah tengkorak yang takluk
kepada ayah tuan hamba itu. Sebermula
adapun tatkala hamba daripada menghantar ufti kepada ayahanda tuanku itu, maka
hamba pun sesat melarat lalu sampailah di gunung, beberapa hari hambanya di
sini tiada makan dan tiada minum dan seketika maka hamba berhenti. Maka seorang raksasa daripada atas gunung itu
merupakan dirinya seperti seorang perempuan membawa suatu pedang pada
tangannya. Maka ia datang kepada
hamba. Maka ujarnya, ‘Hai orang muda,
ambil olehmu pedang ini’ Maka pada
bicara patik ini manusia juga gerangannya ini.
Baharu hamba hendak ambil pedang itu, maka diparangkannya pada
hamba. Maka hamba pun matilah, lalu
dimakannya hamba.”
Maka kata
Inderaputera, “Adapun yang kasih tuan hamba itu sebenarnyalah, tetapi Tuhan
juga yang memeliharakan kita.”
Maka kata tengkorak itu, “Mudah-mudahan dipelihara Tuhan juga tuan
hamba.”
(Halaman 18-19)
Berdasarkan petikan di atas, dapatlah dilihat pengaruh
kepercayaan Hindu tersebut, iaitu semasa berlakunya dialog antara tengkorak dan
Inderaputera. Penganut agama Hindu mempercayai adanya jiwa dalam setiap
makhluk, termasuklah tengkorak ini yang boleh bercakap. Tengkorak tersebut menceritakan kronologi
cerita yang menyebabkannya menjadi tengkorak kepada Inderaputera. Di akhir perbualan mereka pula, pengarang
bijak memasukkan unsur agama Islam, iaitu kepercayaan sebagai seorang yang
beragama Islam yang wajib mempercayai dan meyakini bahawa Allahlah yang
sentiasa melindungi hamba-Nya.
Seterusnya,
pemikiran yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Inderaputera
ini adalah tentang ketinggian darjat seorang raja. Hal ini dapat dicerminkan dalam bab “Bota yang
Makan Manusia”. Inderaputera yang
merupakan putera kepada Maharaja Bikrama Buspa dan Tuan Puteri Jamjam Ratna
Dewi sangat disanjung tinggi dan dihormati oleh sekalian rakyatnya serta
raja-raja yang lain. Berikut merupakan
petikan kisah yang menggambarkan ketinggian darjat baginda sebagai seorang
raja:
Setelah adalah tiga hari lagi perjalanan daripada
negeri Semanta Beranta itu maka terdengarlah warta Inderaputera itu sudah
datang maka Raja Talela Syah pun menghimpunkan sekalian rakyat bala tenteranya
menyuruhkan membaiki singgahsana dan menghiasi pengadapan dan menyuruh berbuat
khemah akan Inderaputera dan segala anak raja-raja kepada suatu padang hampir
negeri Semanta Beranta itu. Maka
Inderaputera pun datanglah kepada empat persangga bumi jauhnya. Maka Raja Talela Syah pun menitahkan Syahran
Darkas dan Indera Jilani dan segala anak raja-raja dan Perdana Menteri serta
hulubalang sekalian pergi mengalu-alukan Inderaputera…”
(Halaman 141-142)
Berdasarkan
petikan kisah di atas, dapatlah dilihat dan dibuktikan bahawa Inderaputera
sangat dihormati dan disanjungi sebagai seorang raja. Baginda dirai dan dialu-alukan dengan penuh
adat dan istiadat oleh sekalian rakyat, bahkan raja-raja yang lain juga turut
menyambut kedatangannya dengan penuh gilang-gemilang.
Ketinggian
darjat atau martabat seorang raja juga digambarkan dalam hikayat ini apabila
kedatangannya, iaitu Inderaputera ditunggu-tunggu oleh semua orang sehinggakan
Maharaja Talela Syah sendiri tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu akan
kehadirannya ke negeri baginda apabila diberitakan kedatangan
Inderaputera. Baginda bahkan bertanya
kepada Indera Jilani sebanyak sembilan kali untuk memastikan orang-orang yang
dilihatnya itu ialah Inderaputera atau sebaliknya. Hal ini demikian kerana, kelapan-lapan orang
yang terawal dilihatnya sangat gah dan sesuai jika dikatakan sebagai seorang
raja disebabkan oleh kehebatan yang dipamerkan oleh mereka semasa memasuki
negeri Maharaja Talela Syah tersebut.
Walau bagaimanapun, ternyata orang kesembilan yang diketemuinya paling
hebat di antara lapan orang yang terawal sebelumnya, dan itulah Raja
Inderaputera yang ditunggu-tunggunya.
Hal ini dapat dilihat dalam petikan kisah di bawah:
Maka di
bawah payung itulah Inderaputera datang mengenderai di atas kudanya yang
bernama Janggi Gerdana. Maka pelana
kudanya itu daripada emas sepuluh mutu yang bertatahkan ratna mutu manikam dan
pakaiannya terlalu indah-indah serta menyandangkan pedangnya yang beremas dan
pada kanannya Inderaputera itu Dikar Alam dan dari kirinya itu Dikar Agus dan
di hadapannya itu Dikar Kilat dan di belakangnya Dikar Seruna. Maka segala hulubalang itu memakai pakaian
gemala hikmat dan rakyatnya pun demikian juga sekalian itu mustaidlah dengan
alat senjatanya dan ada memakai zirah berbagai-bagai warnanya. Kalakian maka Inderaputera pun berjalanlah
diiringkan oleh segala bala tenteranya sekalian.
Maka,
titah Maharaja Talela Syah, “Hai anakku Indera Jilani, bunyi apakah ini? Maka tidakku pernah dengar seperti demikian
itu”
Maka
sahut Indera Jilani, “Ya Tuanku Syah Alam, inilah Inderaputera anak Maharaja Bikrama
Buspa.” (Halaman 146)
Selain
itu, pemikiran yang terdapat dalam hikayat ini adalah tentang keberanian seorang
raja. Inderaputera merupakan seorang
putera raja yang sangat berani serta gagah perkasa. Hal ini dapat dilihat apabila baginda mampu
mengalahkan dengan senangnya seekor raksasa yang bernama Gheragas yang digeruni
oleh semua orang. Hal ini dapat dibuktikan
sebagaimana berikut:
“… “Hai Gheragas, bangunlah engkau supaya kupenggalkan
kepalamu dari badanmu itu.”
Maka Gheragas itu pun berbalik. Maka segala anak raja-raja itu pun dahsyatlah
hadir memegang senjatanya itu masing-masing.
Maka sampailah tiga kali Inderaputera berseru-seru. Maka terdengarlah oleh Gheragas itu suara
manusia. Maka ia pun membukakan
matanya. Maka dilihatnya Inderaputera
terdiri di sisinya itu. Maka dihembusnya
Inderaputera dengan suaranya itu seperti halilintar bunyinya. Maka Inderaputera pun bertempik seraya
diparangnya Gheragas itu penggal dua lalu rebah mati.
Maka Inderaputera pun berseru-serukan segala anak
raja-raja itu katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, marilah tuan hampir ke mari
kerana Gheragas ini sudahlah ia mati.” (Halaman 148)
Antara contoh lain yang menunjukkan keberanian
seorang raja lagi adalah apabila Inderaputera dengan beraninya turun ke
lapangan bagi melawan sendiri utusan Raja Gherantar Syah yang ingin membunuh
baginda. Meskipun hulubalang-hulubalangnya
menawarkan diri, Inderaputera tetap bertegas ingin melawannya sendiri kerana
menurutnya, Raja Gherantar Syah menginginkan dirinya, bukan orang lain. Maka, baginda pun pergi ke Padang Belanta
Ajaib tersebut untuk bertemu dengan musuhnya tersebut dengan tangan kosong
kerana menurutnya, orang tersebut bukanlah lawannya. Hal ini dapat dibuktikan daripada petikan
kisah berikut:
“Maka titah
Inderaputera, “Sabarlah engkau hai saudaraku, biarlah aku masuk ke medan itu
pada hari ini kerana ia berseru-seru akanku.
Adapun hari ini pengantin hambalah akan perang itu tetapi insya-Allah
Tuhan Yang Maha Mulia, akulah melawan Raja Gherantar Syah itu dengan tiada
bersenjata kerana ia itu bukannya lawanku.”
Setelah itu
maka kata Inderaputera pada tuan putero, “Hai adinda, tinggallah tuan dahulu,
kakanda hendak pergi melawan Raja Gherantar Syah ke Padang Belana Ajaib itu.”
Setelah
demikian itu maka Inderaputera pun naiklah ke atas kudanya Janggi Gerdana lalu
pergi ke tengah padang itu. Seketika
lagi maka didengar oleh Raja Gherantar Syah bunyi guruh petir dengan
kelam-kabut. Maka dilihat oleh Raja
Gherantar Syah seperti kilat keluar daripada mahligai tuan puteri itu. Hatta maka Inderaputera segera menghampiri
akan kudanya lalu ditangkapkannya Raja Gherantar Syah itu. Maka disuruh oleh Inderaputera taruh pada
Dikar Agus dekat mahligai itu. Syahadan
maka dilihat oleh segala hulubalang itu tiba-tiba Raja Gherantar Syah tatkala
bunyi guruh halilintar petir kilat kelam-kabut itu. Maka dengan seketika itu juga Raja Gherantar
Syah itu pun ghaiblah, tinggal kudanya di tengah padang itu. Maka segala hulubalang dan rakyat itu pun
habislah hairan seraya membuangkan senjatanya lalu pergi mengadap Raja Gurjanis
mempersembahkan segala hal-ehwalnya itu.
(Halaman 123)
Pemikiran yang selanjutnya dalam Hikayat Inderaputera
ini adalah kesaktian ataupun disebut juga sebagai mitos. Aspek kesaktian merupakan aspek terbesar yang
digunakan untuk menggarap jalan cerita Hikayat Inderaputera ini. Aspek ini pula kebanyakannya diguna dan
dimiliki oleh golongan bangsawan, khususnya kerabat diraja. Hal ini dapat dibuktikan melalui cara yang
digunakan oleh isteri Inderaputera untuk menghidupkan baginda yang pada awalnya
telah mangkat.
“Hatta maka mayat itu pun sampailah ke rumahnya Perdana Menteri; kerana
hikmat sudah zahirlah yang membunuh Inderaputera itu. Setelah itu maka dibawanya masuk ke dalam
kelambu oleh tuan puteri yang ketiga itu lalu dibubuhnya hikmat Bedi Zahar itu
kepada tubuh Inderaputera itu. Maka dengan
ditolongi oleh Tuhan Yang Maha Besar akan Inderaputera pun hiduplah…”
(Halaman 206)
Di
samping itu, unsur kesaktian atau mitos ini dapat juga dilihat dalam bab
“Diterbangkan oleh Jin”. Inderaputera
telah diterbangkan oleh jin ke Tasik Bahrul ‘Asyikin disebabkan
ketidakpatuhannya yang meminta air dalam perjalanan untuk ke mahligai Tuan
Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Sebelum
memulakan perjalanan, baginda sudah diingatkan agar tidak meminta air di
sepanjang perjalanan, sekiranya baginda melanggar syarat tersebut, maka baginda
akan jatuh ke Tasik Bahrul ‘Asyikin.
Unsur mitos ini dapat dilihat melalui ciri fizikal tasik itu sendiri
yang terlalu cantik dan luar biasa kejadiannya.
“…Maka Inderaputera pun sampailah ke Tasik Bahrul
‘Asyikin dan dilihatnya tasik itu rumputnya daripada kuma-kuma dan pasirnya
daripada emas urai dan gersiknya itu daripada kapur barus dan lumpurnya itu
daripada kasturi dan batunya itu daripada permata yang indah-indah. Syahadan pada tengah tasik itu ada suatu
pulau bernama Biram Dewa seperti gajah rupanya sebab itulah maka dinamai Pulau
Biram Dewa itu.
(Halaman 74)
Selain itu, unsur mitos ini juga dapat dilihat dalam
bab “Bertemu Ayah Bonda”. Pelbagai
persiapan yang telah dibuat oleh Maharaja Bikrama Buspa untuk menyambut kepulangan
anakandanya tersebut. Antaranya ialah
pertunjukan yang luar biasa dan di luar batas kemampuan manusia biasa. Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:
“Kalakian maka Raja Dewa Lela Mengerna pun melontarkan
bajunya ke dalam laut itu menjadikan sebuah kapal belayar terlalu amat indah
rupanya. (Maka) dilihat oleh Nobat Rum
Syah terlalu indah-indah itu. Maka ia
pun melontarkan bajunya ke udara. Maka
menjadilah mega. Maka mega itu pun jatuh
ke laut. Maka menjadi sepohon kayu
beraksa. Maka seketika lagi maka Raja
Puspa Pandai pun memanah ke udara. Maka
anak panah itu pun menjadi hujan (air mawar dari udara) dan segala isi negeri
itu pun hairan melihat akan kelakuan itu.
(Halaman 228)
Kekayaan seorang raja juga merupakan salah satu
pemikiran atau mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. Raja digambarkan sebagai seorang yang sangat
kaya dan mewah. Hal ini dapat
digambarkan ketika kepulangan Inderaputera ke negeri asalnya, iaitu Sementa
Puri yang disambut degan penuh gilang-gemilang oleh ayahanda serta
rakyatnya. Hal ini dapat dilihat dalam
petikan di bawah:
“Alkisah maka diceterakan orang yang empunya cetera ini bahawa selama
Maharaja Bikrama Buspa menjamu segala anak raja-raja yang berserta dengan
Inderaputera itu adalah kira-kira empat puluh hari empat puluh malam lamanya
itu, makan dan minum duduk bermain-main bersuka-sukaan. Maka Paduka Syah Alam pun memberi persalin
akan segala Buspa pun membuat akan pancapersada di tengah padang sembilan belas
pangkat bertiang gading dan bersendi-sendi akan emas dan berumbai-umbaikan
mutiara.
(Halaman: 226)
Berdasarkan
petikan hikayat di atas, dapatlah dilihat kekayaan Maharaja Bikrama Buspa yang
merupakan ayahanda kepada Inderaputera.
Baginda telah mengadakan jamuan selama 40 hari dan 40 malam demi
menyambut kepulangan anakandanya. Selain
itu, baginda juga telah menyiapkan pelbagai persiapan untuk menyambut
kepulangan Inderaputera. Antaraya adalah
seperti berikut:
“Syahadan
berkemuncakkan sebuah gemala. Maka
terlalu amat indah-indah dan beberapa intan yang mulia-mulia terkena pada
panji-panji persada itu. Maka diperbuat oleh Raja Dewa Lela Mengerna di atas
pancapersada itu ada sebuah hikmat seperti naga empat ekor rupanya terlalu
indah-indah sekali akan rupanya. Arkian
maka diperbuat pula oleh Nobat Rum Syah di atas pancapersada itu seekor kuda
tujuh kepalanya terlalu indah-indah perbuatannya. Maka setelah lengkaplah segala kelengkapan
itu maka diperbuat pula oleh segala anak raja-raja yang di Padang Anta Berahi
itu suatu jempana itu terlalulah indah-indah rupanya. Maka tuan puteri dan Inderaputera pun
beraraklah pada pancapersada itu lalu pula pada jempana berjala-jala akan
baiduri dan kedua pangkat daripada nilam dikarang dan ketiga pangkat daripada
pualam dan keempat pangkat daripada mutiara dikarang dan kelima pangkat
daripada intan dikarang dan keenam pangkat daripada permata dikarang dan
ketujuh pangkat daripada zamrud dikarang.
(Halaman 226)
Seterusnya, kebijaksanaan seorang raja. Kebijaksanaan merupakan antara aspek utama
yang perlu dimiliki oleh seorang raja untuk mengangkat nilai dan martabatnya di
mata rakyat terutamanya dalam hikayat seperti ini. Justeru, aspek ini dapat dilihat dalam
Hikayat Inderaputera ini apabila baginda menggunakan strategi menyembunyikan
baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang ketika itu sedang mandi di Tasik
Semenda Jin demi mendapatkan gemala hikmat.
“Maka
Inderaputera pun terlalulah sukacita hatinya menengar kata Tuan Puteri Seri
Ratna Gemala Nehran. Maka kata
Inderaputera, “Hai saudaraku, jikalau ada dengan sungguhnya kasih saudaraku
akan hamba ada suatu gemala hikmat yang di atas kemuncak mahligai tuan puteri
itu. Maka kakanda pohonkan supaya hamba
pulangkan baju itu.” (Halaman 40)
Sebelum
baginda mendapatkan gemala hikmat tersebut, baginda terlebih dahulu mendapatkan
sebiji lagi geliga hikmat yang lain daripada seekor peri yang berada di dalam
sebuah tasik. Baginda telah berpura-pura
tidur sewaktu peri tersebut datang kepadanya.
Sebaik sahaja peri tersebut menghampirinya, baginda segera melompat
seraya menangkap rambut peri tersebut.
Bagi melepaskan dirinya, peri tersebut telah bersetuju untuk memberikan
Inderaputera suatu geliga hikmat, iaitu Mayan Bedi yang mampu mengeluarkan
angin, ombak, kilat atau petir halilintar dengan cara menyeru namanya. Hal ini sebagaimana berikut:
“Hatta seketika lagi maka keluarlah peri daripada
tasik itu. Maka berombak-ombaklah airnya
itu. Maka dilihat oleh Inderaputera peri
itu datang kepadanya. Maka ia pun
tidurlah. Maka peri itu datanglah menghampiri akan Inderaputera. Maka Inderaputera pun ingat. Maka baharu hendak ditindihnya itu, maka
Inderaputera pun melompat seraya menangkap akan rumbut peri itu.
Maka berkata Inderaputera, “Sekarang ini matilah
engkau hai celaka.”
Maka
peri itu pun berkata, “Hai orang muda, lepaskanlah rambutku peri ini, apa kehendakmu aku berikan
kepadamu.”
Maka
kata Inderaputera, “Sungguhkah engkau hendak memberi barang kehendakku ini?”
Maka
sahut peri itu, “Sungguhlah hamba beri.”
Maka
kata Inderaputera, “Apa yang engkau hendak berikan kepadaku ini?”
Maka berkatalah peri
itu, “Ada suatu geliga, Mayan Bedi namanya.
Jika tuanku mahu, kuberikan.
Adapun gunanya jikalau hendak mengeluarkan angin dan ombak atau kilat
atau petir halilintar citalah namaku dan tambangkan geliga itu, nescaya barang
kehendak tuan jadilah.” Maka
Inderaputera pun melepaskanlah rambut peri itu. (Halaman 30)
Pemikiran terakhir yang pengarang bawakan adalah
mengenai keelokan paras rupa golongan bangsawan. Golongan bangsawan dalam hikayat ini
digambarkan sebagai seorang yang sangat elok paras rupanya, khususnya golongan
raja-raja. Hal ini dapat dilihat
sebagaimana berikut yang memaparkan kesempurnaan rupa paras Tuan Puteri Cendera
Lela Nur Lela:
“Maka berkata
bayan seraya menghamparkan sayapnya, katanya, “Ya tuanku anak raja indera,
tahukah tuanku akan Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela di Padang Anta Berahi di
atas mahligai yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Adapun parasnya itu terlalu elok durjanya dan
rambutnya laksana cincin dituang, dahinya seperti seri bulan dan keningnya
seperti bentuk taji, dan matanya seperti bintang timur, dan hidungnya itu
laksana kuntum melur da telinganya seperti telepok layu, dan pipinya seperti
pauh dilayang dan, bibirnya itu seperti pati dicarik, dan giginya itu seperti
delima merekah dan lidahnya itu laksana kembang seroja dan dagunya itu seperti
lebah bergantung, dan lehernya itu laksana kumbah dilarik, dan bahunya itu
seperti sampiran, dan lengannya itu laksana destar gulung dan jarinya itu
seperti duri landak dan dadanya itu umpama lengkung pelangi. Susunya itu seperti telur burung, dan
pinggangnya bunga setangkai, dan pahanya seperti paha belalang dan betisnya
laksana batang padi, dan sikapnya seperti merak mengigal.” (Halaman 90)
Selain itu, Inderaputera turut digambarkan mempunyai
rupa paras yang elok yang diibaratkan umpama bulan purnama yang gilang-gemilang
cahayanya.
“Hatta maka kelihatanlah seperti bulan purnama
gilang-gemilang cahaya mukanya itu. Maka
Raja Talela Syah pun hairan melihat rupanya Inderaputera itu. (Halaman 146)
Secara keseluruhannya, Hikayat Inderaputera ini
mempunyai pemikiran yang sangat terkesan daripada kepercayaan ajaran Hindu yang
sekali-sekala diselitkan oleh pengarang dengan unsur-unsur Islam. Sehubungan dengan itu, hampir keseluruhan
hikayat ini diselitkan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan kehebatan watak
utamanya, iaitu Inderaputera.
2.4 Ciri-ciri Estetika dan Kepengarangan
dalam Hikayat Inderaputera
Ciri kepengarangan daripada kaca mata Haji Rashid Hj.
Md Idris et al, merujuk kepada aspek
keperibadian yang dicapai oleh seseorang pengarang. Seorang pengarang perlu
mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ianya akan mempengaruhi daya
kreativiti seorang pengarang. Pengalaman yang diperolehi oleh pengarang
kebiasaannya dikutip melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan pengaruh,
pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja
unsur yang hadir termasuklah yang bersifat konseptual dan kontekstualan. Pendek
kata, kepengarangan dapat dirumuskan sebagai cara atau bagaimana seseorang itu
menulis bagi mendapatkan sebuah jalan cerita yang lengkap. Teknik kepengarangan
juga merujuk kepada kebijaksanaan seseorang pengarang dalam menyampaikan
ceritera sesebuah hikayat. Dalam hikayat Inderaputera terdapat teknik
kepengarangan yang digunakan oleh pengarang dalam membantu penghuraian jalan
cerita yang lebih menarik.
Estetika
pula merupakan salah satu cabang filsafat yang membahaskan keindahan. Estetika
merupakan ilmu membahaskaan bagaimana keindahan
terbentuk dan bagaimana dapat merasakannya. Perbincangan yang lebih
lanjut mengenai estetika adalah sebuah gilosofi yang mempelajari nilai-nilai
sensoris yang kadang-kadang dianggap sebagai penilaian terhadap sentimen dan
rasa. Estetika merupakan cabang yang sangat dekat dengan filosofi seni.
Pengarang hikayat ini memberikan huraian yang lebih terperinci berkaitan dengan
perjalanan hikayat ini yang boleh menimbulkan unsur-unsur keindahan. Antaranya
ialah:
2.4.1 Plot atau Jalan Cerita
Pengarang Hikayat Inderaputera banyak menggunakan
teknik pemerian yang indah untuk menghuraikan plot atau jalan cerita hikayat
ini. Hal ini terbukti apabila pengarang hikayat ini selalu menumpukan perhatiannya
pada bandar pelabuhan Melayu. Bandar berkenaan dilingkungi temboh batu atau
pagar yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang tebal, biasanya terletak
di muara sungai, di tempat pertemuan sungai dan laut. Bandar ini menyambut
kedatangan Inderaputera dengan tembakan meriam dan menghantarkan perahu untuk
menemui bahteranya memasuki muara. Kisah ini tepat dan mirip kepada karya
sejarah Melayu dan dalam kehidupan sebenar.
Sepanjang cerita ini juga, pengarang
hikayat ini yang berasal dari bandar pelabuhan seperti itu melukis, atau lebih
tepat, dengan pengembangan penceritaan sendiri, memperlihatkan lorong-lorong
lebar yang menuju ke medan di hadapan istana, iaitu ke pusat bandar yang
bersempena dengan kedatangan agung, dihiasi kain berharga dan ratna mutu
manikam, dan penuh sesak dengan rakyat. Penjual dan pembeli di pecan melupakan
semua barang dagangan mereka dan berlari ke medan untuk melihat orang yang
datang (halaman 137).
Selain itu, pengarang juga melukis
kampung-kampung yang terletak di serata tempat. Kampung itu cukup terpencil
supaya Inderaputera diam-diam dapat membina pelang ajaibnya di sungai
berdekatan salah satu kampung itu, dan cukup jauh dari pusat bandar supaya
puteri di istana tidak dapat memastikan dari manakah muzik bunyi-bunyian Inderaputera
datang (halaman 176-186).
Penceritaan yang
sangat terperinci dengan memberikan pemerian berkenaan kampung Melayu ini
memberikan unsur keindahan dalam hikayat ini. Selain itu, Hikayat Inderaputera
juga mempunyai plot yang konnvensional dengan merangkumi permulaan cerita,
perkembangan dan penyelesaian. Pada bahagian permulaaan cerita telah
memperkenalkan watak Inderaputera yang dilahirkan daripada keluarga raja yang
sangat berpengaruh dan mempunyai kuasa yang luas. Kelakuan dan kasih sayang yang
diberikan oleh ayahnya tidak pernah berbelah bahagi.
Watak hero iaitu
Inderaputera boleh dianggap sesuatu yang indah kerana beliau hanya dapat bersama dengan ibu bapanya selama
7 tahun sahaja sehinggalah beliau telah diterbangkan oleh seekor burung merak
emas, selepas beliau dan ayahandanya Raja Bikrama Buspa menonton petunjukan
pandai emas dan pandai kayu. Pandai kayu membuat ikan dan dibubuh di dalam
pasu, lalu berpantun dan berselokalah ikan itu. Kemudian, pandai emas pula
menunjukkan kebolehannya membuat merak daripada emas. Merak itu disimpan oleh
Raja Bikrama pada talam emas dan perak. Merak itu pun menyanyi dengan bangganya
memuji kecantikan dirinya. Sejurus selepas itu, Inderaputera pun turun dari
pangkuan ayahandanya lalu mendekati merak itu. Dengan tidak disangka-sangka,
merak itu menyambar Inderaputera dan menerbangkannya ke udara. Merak emas
menerbangkan Inderaputera ke sebuah negeri dan dijatuhkan di dalam sebuah taman
bunga kepunyaan nenek kebayan. Inderaputera juga mendapat perhatian daripada
Perdana Menteri setelah Perdana Menteri melihat keelokan pekerti dan parasnya,
lalu berasa kasih terhadapnya setelah beliau dan nenek kebanyan pergi untuk
menjual bunga. Inderaputera akan tinggal dengan Perdana Menteri pada siang hari
sahaja, dan pada sebelah malam beliau akan tinggal bersama nenek kebayan. Dalam
peliharaan Perdana Menteri, beliau menjadi bertambah bijak dan membesar dengan
perkasa.
Perkembangan cerita dalam Hikayat
Inderaputera berupa perjalanan Inderaputera untuk mendapatkan ubat beranak.
Dalam bahagian perkembangan cerita inilah lahir ketegangan-ketegangan, iaitu
pada peristiwa-peristiwa Inderaputera menghadapi rintangan dan tentangan.
Tentangan ini sentiasa berterusan terutama setelah dia berjaya memperoleh ubat
beranak untuk isteri Raja Syahian. Walau bagaimanapun, segala tentangan itu
dapat diatasi oleh Inderaputera dengan menggunakan kekuatan dan kesaktiannya.
Pengakhiran cerita ini, pengarang melukiskan jalan cerita yang sangat indah
kerana Inderaputera akhirnya dapat berjumpa semula dengan ayah bondanya setelah
sekian lama berpisah.
2.4.2 Penggunaan
Unsur Deduktif
Dalam hikayat ini, pengarang juga menggunakan pelbagai
unsur deduktif, antaranya ialah unsur romantik, kiasan dan seumpamanya.
Penggunaan unsur romantik jelas diperlihatkan melalui watak Inderaputera dan
Tuan Puteri Tulela Maduratna, contohnya:
“Adinda tuanku, nyawa, mari
abang pangku.”
Maka Tuan Puteri pun
dipangku oleh Inderaputera seraya berkata, “Adinda, jangan tuan berusik hati.
Remuklah abang, hilang seorang, remuklah abang, lenyap seorng. Jika kelak abang
mati, jangan dikafani dengan kain lain, kafani dengan kain dalam pinggang tuan,
dan jangan abang dibantali dengan bantal, bantali abang dengan rambut tuan, dan
jangan abang dimandikan dengan air, mandikan dengan air mata tuan yang
terbuang, dan jika abang syukurlah jika karena tuan, dan jika abang hilang pun,
kafilah jika sebab tuan (Halaman 123).
Penggunaan unsur
romantik yang digunakan oleh pengarang dalam hikayat ini memberikan keindahan
kepada pembaca. Pengarang yang berkiwa masyarakat akan menggunakan unsur-unsur
romantik, humor dan seumpamanya dalam penulisan mereka untuk memberikan
keindahan kepada pembaca. Di samping itu, penggunaan unsur-unsur deduktif
seumpama ini juga boleh mengelakkan tahap kebosanan dalam diri pembaca.
2.4.3 Menyelitkan
Unsur-Unsur daripada Hikayat Lain
Dalam hikayat ini juga, ternyata pengarang bukan
sahaja menyelitkan motif-motif Hikayat Amir Hamzah ke dalam rangka naratif yang
boleh ditelusuri sehingga ke puisi oleh Nusrati dan orang yang terdahulu
daripadanya, tetapi juga pengarang Hikayat Inderaputera telah mencampurkan
motif-motif yang ditimbanya daripada sumber-sumber yang digunakannya sambil
melengkapkan unsur-unsur daripada salah sebuah sumber itu dengan butir-butir daripada
sumber lain. Umpamanya, episod Inderaputera yang mencuri baju terbang (baju
antakusuma) puteri peri berlaku di pantai laut, tempat terletaknya sebuah
istana air dengan penjaga kolam puteri sebagai penghuninya. Penjaga itu ialah
suatu makhluk yang pada satu pihak bersikap sebagai musuh yang berbahaya
(raksasa), tetapi pada masa yang sama berperanan baik (Halaman 67-68). Raksasa
itu memberikan Inderaputera sebiji geliga hikmat miliknya yang dapat
menimbulkan angin dan hujan, guruh, kilat dan rebut. Kemudian, semasa
menjelajahi kerajaan di laut, Inderaputera mengunjunginya sekali lagi dan
mendapat sehelai kain ajaib yang mampu menyembuhkan puteri Raja Syahian yang
jatuh sakit dan dikuatiri akan meninggal.
(Halaman 171-172).
Watak penjaga
kolam tidak ditemui dalam masnawi-proto-taip. Bagaimanapun, dalam Hikayat Amir
Hamzah kita dapat melihat dua watak yang sepadan dengannya. Pertama ialah watak
si tukang sihir jahat, inang dua orang puteri yang mendiami sebuah istana di
dalam air dan mempunyai sebiji gemala yang juga mampu mendatangkan ribut,
hujan, guruh, kilat dan kebakaran. Watak kedua ialah ibu Nabi Khidir yang baik
hati, tinggal di pantai laut dan membimbing watak utama di dalam air
mengharungi laut-laut yang memisahkan Gunung Qaf dari dunia manusia. Dengan
menyatukan dua watak Hikayat Amir Hamzah itu, pengarang Hikayat Inderaputera
melengkapkan episod daripada masnawi-protaip dengan satu watak dwimakna yang
memainkan peranan penting dari segi konsep karya berkenaan sebagai sebuah
alegori Sufi. Dengan mengadaptasikan daripada hikayat-hikayat lain, keadaan ini
dilihat memberikan keindahan kepada cerita hikayat ini.
2.4.4 Watak
Pengarang juga tidak terlepas dalam menghasilkan jalan
cerita yang penuh imaginasi untuk mengungkapkan watak sesebuah cerita. Pengarang
yang bijaksana dan berketerampilan sangat suka mempermainkan imaginasinya bagi
menghidupkan dunia realiti, fantasi, utopia, magis dan seumpamanya. Watak-watak
yang dibina perlu berwawasan, mempunyai keazaman dan cita-cita serta memiliki keelokan rupa paras dan baik
tingkahlaku. Dalam hikayat ini juga terdapat pengolahan watak yang dikatakan
sangat elok budi pekerti dan paras rupa Inderaputera. Semasa baru dilahirkan,
Inderaputera mendapat perhatian kerana memiliki rupa paras yang sangat elok. Tamsilannya:
Setelah berapa lama
antaranya genap bulannya pada ketika yang baik, pada empat belas hari bulan
ketika dini hari maka tuan puteri pun menyakit hendak beranak. Setelah itu maka
tuan puteri pun berabaklah seorang laki-laki terlalu amat baik rupanya seperti
matahari baharu terbit, gilang-gemilang rupanya. (Halaman 4)
Selain itu,
keelokan Tuan Puteri Kemala Ratnasari juga sangat elok dan cantik. Kecantikan
Tuan Puteri ini diakui sendiri oleh Inderaputera apabila dia mengintip Tuan Puteri
sedang mandi di dalam tasik. Contohnya dapat dilihat melalui petikan cerita
berikut:
Kemudian Tuan Puteri Kemala
Ratnasari pun menanggalkan bajunya antarakusuma itu. Maka Inderaputera pun
melihat rupa Tuan Puteri Kemala Ratnasari itu terlalu elok rupanya,
gilang-gemilang tiada dapat ditentangnya. Maka Inderaputera pun hairan melihat
rupa Tuan Puteri Kemala Ratnasari itu. (Halaman
37)
2.4.5 Bahasa
Pengarang juga turut menggunakan beberapa contoh unsur
bahasa yang indah-indah dalam setiap perincian huraiannya. Antara contoh bahasa
yang sering didapati dalam teks hikayat ialah metafora, personafikasi, simile,
hiperbola, simbolik, repetisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam
teks hikayat bagi menimbulkan keindahan dan kepelbagaian maksud cerita yang
cuba disampaikan oleh pengarang. Dalam Hikayat Inderaputera juga terdapat
penggunaan bahasa yang indah bagi memberi keindahan kepada jalan cerita hikayat
ini. Antaranya ialah:
2.4.5.1
Simile
Simile merujuk
kepada perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang menggunakan unsur-unsur
perlambangan dan ditandai dengan bak, laksana, seperti, bagai, umapama dan
sebagainya. Sebagai contohnya dapat dilihat dalam contoh petikan Hikayat
Inderaputera:
Maka diperbuat oleh pandai kayu itu seekor ikan terlalu indah-indah
rupanya seperti rupa ikan yang
benar.
(Halaman 6)
2.4.5.2
Personifikasi
Menurut Corbett dan Connors dalam buku Abu Hassan dan
Mohd Rashid Md Idris (2012), personifikasi bermaksud menerangkan objek bukan
manusia dengan sifat manusia. Misalnya:
Maka ikan kayu itu pun tertawa
dan berenang dalam air itu, berpantun dan berseloka. (Halaman 6)
maka dilihat baginda terlalu
ajaib indah-indah rupanya merak itu. Maka ditaruh baginda di atas talam emas,
maka merak itu pun mengigal di atas
talam itu seraya berpantun dan berseloka. (Halaman 7)
2.4.5.3
Anafora
Menurut Corbett dan Connors
dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) juga, anafora
merujuk kepada pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada
permulaan klausa yang berurutan. Contohnya seperti berikut :
Maka
segala bidadari itu pun berbuat laangir berbagai-bagai rupanya. Maka segala
dayang-dayang berbuat bedak dan wida berbagai-bagai warnanya. Maka
segala langir dan bedak itu dan wida itu ditaruh pada sahan ratna, ada yang
ditaruh pada mundam mutiara dan sisir ditaruh pada batil emas, aada yang
ditaruh pada batil tembaga suasa. (Halaman
36)
2.4.5.4 Antitesis
Menurut Umar Junus dalam
buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012), antitesis boleh
ditafsirkan sebagai bentuk peletakan dua ayat atau kata yang bertentangan dalam
kedudukan berdampingan. Contohnya:
Maka
Inderaputera mengucap syukur akan dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’la akan
ayah bondanya. (Halaman 20)
2.4.5.5
Oksimoron
Oksimoron menurut pandangan Corbett dan Connors dalam
buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) merupakan gandingan dua
kata atau istilah yang secara lazimnya bersifat bertentangan. Contoh:
Hatta maka kata anak
raja-raja itu sama sendirinya, “Orang muda tigaa oraang itu rupanya seperti
perempuan.” Maka ujar seorang lagi, “Gilakah tuan hamba, laki-laki tuan hamba katakan perempuan!”
(Halaman
218)
2.4.6 Agama
Setiap manusia di alam ini mempunyai pegangan terhadap
kepercayaan dan agama mereka sendiri. Agama sangat penting dalam kehidupan
seorang manusia kerana agama dilihat suatu pegangan atau panduan buat manusia
dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam Hikayat Inderaputera juga terdapat
pegangan agama yang utuh dalam diri setiap watak, terutamanya watak hero dalam
hikayat ini. Di awal penceritaan hikayat ini, pengarang sudah memperlihatkan
ketaatan watak-watak dalam menjadikan agama Islam sebagai agama pegangan mereka
sebagai khalifah Allah di muka bumi. Hal ini dapat dilihat melalui contoh
berikut yang mana telah memperlihatkan cara mendidik anak-anak dengan
menerapkan nilai agama sejak kecil lagi. Contohnya ialah:
Hatta setelah berapa lamanya
maka anakanda baginda Inderaputera pun besarlah, maka disuruhkan baginda kepada
mualim disuruh ajar mengaji. Setelah berapa lamanya kira-kira tujuh tahun umur
Inderaputera, maka Inderaputera pun tahulah mengaji Qur’an. (Halaman 5)
Selain itu, melalui watak
Inderaputera juga, dapat dilihat ketekunannya dalam menjadikan agama Islam
sebagai agama yang wajib dianuti. Keyakinan dan kepercayaannya terhadap agama
Islam tidak berbelah bahagi, sebaliknya dia sangat mempercayai akan kewujudan
Allah SWT. Tambahan pula, Inderaputera ialah seorang umat Islam yang soleh,
yang ingat dan taat kepada perintah Allah, baik sewaktu dia menikmati keindahan
ciptaan Ilahi mahupun dalam saat dia ditimpa musibah. Berikut adalah beberapa
contoh daripada petikan yang menunjukkan agama Islam adalah agama pegangannya:
Maka ujar Inderaputera, “Ya
ayahanda, sekalian hamba Allah itu semuanya lupa dan lalai, hanya Allah Ta’ala
juga yang tiada lupa dan lalai. Serahkanlah hambamu kepada Allah Subhanallah wa
Ta’ala, Ia juga memelihara segalaa hamba-Nya.” (Halaman 57)
Walaupun
pengaruh Hindu-Jawa masih menebal dalam setiap watak dalam hikayat ini, namun
diceritakan juga bahawa kedatangan Islam sedikit sebanyak memberi perubahan.
Namun, adab, adat, nama dan sebagainya masih menggunakan pengaruh Hindu-Jawa.
2.4.7 Budaya dan
Cara Hidup
Seperti yang kita sedia maklum bahawa agama Islam
menjadi agama pegangan utama watak-watak dalam hikayat ini, namun budaya dan
cara hidup mereka masih bercampur aduk dengan pengaruh agama Hindu-Jawa. Dalam
struktur Hikayat Inderaputera yang menyeluruh, pengaruh karya-karya sastera
Islam itu seolah-olah diimbangi dengan motif-motif sastera Hindu, terutamanya
Hindu-Jawa. Dengan demikian, hikayat ini merupakan campur aduk yang sangat
majmuk daripada motif-motif yang berasal daripada kedua-dua tradisi tersebut.
Pengarang telah memperlihatkan secara terperinci sumber-sumber Hindu-Jawa yang
ada dalam setiap penghuraian hikayat ini. Dalam hikayat ini terkandung sebuah
pantun yang di dalamnya disebut pertunjukan tarian rakit oleh orang-orang Jawa
dan tarian ini berdasarkan persis pada adegan-adegan daripada cerita Panji.
Di samping itu, motif-motif deskriptif,
iaitu gambaran-gambaran yang banyak terdapat dalam Hikayat Inderaputera juga
merupakan campur aduk citra-citra yang berasal daripada sastera Islam dan
sastera Hindu-Jawa. Kombnasi motif deskriptif yang asalnya berbeza-beza dalam
hikayat ini dapat dijelaskan melalui gambaran peperangan antara Inderaputera
dengan Raja Dewa Lela Mengerna yang gayanya sangat tipikal bagi hikayat ini.
Contohnya ialah:
Maka segala jin kemala himat
itu sekalian keluar perang dengan rakyat Raja Dewa Lela Mengerna, ada yang
memanahkan panahnya, ada yang menetakkan pedangnya, ada yang menikamkan tomboknyaa
dengan tempik soraknya seperti guruh gegak-gempita, maka jadi kelam kabutnya.
Duli pun berbangkitlaah ke udara, maka matahari pun tiada kelihatan cahayanya. (Halaman
84)
2.5 Nilai Budaya dan Pandangan
Hidup dalam Hikayat Inderaputera
2.5.1 Konsep Pandangan Hidup
Pandangan hidup merupakan satu konsep mengenai
pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui
satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Ia juga bererti pendapat atau pertimbangan yang
dijadikan pegangan, pedoman, arahan, petunjuk hidup di dunia bagi membimbing
kehidupan jasmani dan rohani manusia. Pendapat atau pertimbangan itu hasil
pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut waktu dan tempat hidupnya.
Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas
(1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia
dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan
tentang realiti atau hakikat dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh
alam.
Pandangan
hidup terbahagi kepada tiga, iaitu pandangan hidup yang berasal dari agama,
iaitu pandangan hidup yang mutlak kebenarannya. Selain itu, pandangan hidup yang berupa ideologi, iaitu bersesuaian dengan
kebudayaan dan norma yang terdapat pada negera serta pandangan berdasarkan
renungan, iaitu pandangan hidup yang relatif kebenarannya. Sehubungan
dengan itu, pandangan hidup orang Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia
dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Secara keseluruhannya,
pandangan hidup orang Melayu telah melalui beberapa peringkat evolusi dan
diperincikan kepada tiga bahagian, iaitu tentang keluarga, pemimpin dan
masyarakat.
Oleh itu, dapat
disimpulkan bahawa nilai budaya sangat berkait dengan pandangan hidup. Kita
dapat lihat orang zaman dahulu sangat mementing adat. Bak kata pepatah “Biar
mati anak, jangan mati adat”. Hikayat Inderaputera telah memberi gambaran yang
cukup banyak tentang adat raja dan kerajaan: adat perkahwinan, adat menjamu
hidangan diraja, adat berpakaian orang besar, adat memberi persalinan, adat
menyembah raja, adat kelahiran dan sebagainya.
Selain itu, kita dapat lihat cara masyarakat dalam Hikayat Inderaputera yang mengamalkan
cara hidup hormat-menghormati, bersopan santun, mengenang budi, bersyukur,
kasih sayang, bekerjasama, tolong-menolong dan sebagainya.
2.5.2 Konsep Budaya
Budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan
dimiliki bersama oleh sebuah kelompok orang, serta diwariskan dari generasi ke
generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit, termasuklah sistem
agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan, dan
karya seni. Jadi, budaya adalah elemen yang membezakan manusia daripada hidupan
lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi. Budaya berasal
daripada perkataan Sanskrit, iaitu buddayah
yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal manusia. Budaya dalam
pengertian biasa ialah suatu cara hidup manusia dan membawa makna yang sangat
luas. Dengan prinsip bahawa budaya itu dicipta oleh manusia, maka budaya itu
perlu dan dihasilkan oleh manusia itu sendiri bagi keperluan hidup.
Dari
sudut etimologi, perkataan “budaya” berasal dari akar kata yang tersusun daripada
dua perkataan yang terpisah iaitu “budi” dan “daya”. Kalimah “budi” beerti
cahaya atau sinar yang terletak di dalam batin manusia. Perkataan “daya”
bertalian dengan upaya, iaitu usaha, keaktifan manusia melaksanakan dengan
anggotanya apa yang digerakkan oleh budinya.Manakala dari pandangan Inggeris,
istilah budaya disebut culture
berasal dari perkataan latin colere
yang bermaksud menyedia dan mengerjakan tanah atau menanam.
Oleh
itu, budaya dapat disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk
hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang
menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.
2.5.2.1 Adat Perkahwinan
Adat istiadat perkahwinan
bagi putera atau puteri adalah menjadi satu ucapara rasmi bagi raja dan
kerajaan. Sememangnya adat perkahwinan akan disambut meriah dengan penuh adat
istiadat dari zaman kuno lagi. Terdapat
unsur-unsur kebudayaan dalam perkahwinan yang berjalan mengikut peringkat dan
adat resam. Adat ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga
selama empat puluh hari empat puluh malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga
itu barulah diadakan majlis akad nikah. Sambutan perkahwinan Diraja disambut
dengan meriah sekali.
Sebagai contoh ketika majlis perkahwinan
Raja Dewa Lela Mengerna dengan Nabat Rum Syah. Mereka dihiaskan dengan pakaian
yang serba keemasan bertatahkan permata.
Demikian setelah sudah lengkap maka Raja Dewa Lela
Mengerna pun dihias orang dengan pakaian serba keemasan bertatahkan mutu manikam.
Maka terkembanglah payung kerajaan dan berdirilah segala panji-panji yang
keemasan dan cogan alamat kerajaan pun terdirilah. Maka Inderaputera dan Nabat
Rum Syah memacu segala gajah dan kuda, seketika dipacukan kudanya mengatur
segala tunggul dan panji-panji. Maka berbunyilah segala bunyi-bunyian, gendang,
gong, serunai, nafiri, terlalu ramai. (Halaman
68)
Contoh yang kedua,
ketika majlis perkahwinan Inderaputera dengan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga
juga dihias dengan pakaian yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam
(permata). Semua golongan pangkat memegang tugas masing-masing dengan segala kelengkapan bagi menjayakan
perkahwinan Inderaputera.
Setelah sudah
Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga dihias, maka Inderaputera pun dihias oranglah
dengan pakaian yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Setelah sudah
dihias maka dinaik[k]an di atas perarakan yang di atas sekali. Pada pangkat
yang kedua segala anak raja-raja memegang kipas yang keemasan. Pada pangkat
yang ketiga segala anak menteri puan yang keemasan. Pada keempat pangkat segala
anak petuanan memangku keris yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Pada
pangkat yang kelima segala anak abantara menyandang pedang yang keemasan
berhulukan manikam. Pada keenam pangkat segala anak hulubalang memegang
perisyai yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Pada ketujuh pangkat
segala anak orang kaya-kaya memangku kendi yang keemasan. Pada kedulapan
pangkat segala anak biduanda memangku dian yang keemasan, dan pada pangkat yang
kesembilan segala orang menaburkan bunga rampai. (Halaman 230 )
Perkara ini menunjukkan
bahawa masyarakat dahulu kala lagi hingga sekarang sangat berpegang adat resam
atau tradisi majlis perkahwinan. Perkahwinan didapati hampir setiap masyarakat.
Rekod-rekod tertua yang menunjukkan perkahwinan adalah satu adat resam yang
mantap. Sememangnya dalam masyarakat dalam Hikayat Inderaputera dan rekod-rekod
sebelum ini lagi tidak terpisah daripada adat dan pelbagai proses yang perlu diikuti
sehinggalah sekarang. Adat resam ini telah menjadi ikutan sejak zaman berzaman
lagi. Sepertimana yang dimulai dengan adat merisik. Majlis perkahwinan ini
diadakan bagi meraikan pasangan pengantin dan menghebohkan perkahwinan tersebut
kepada khalayak ramai atau rakyat jelata pada zaman itu. .
Adat istiadat tersebut merupakan adunan daripada unsur-unsur
animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Secara
terperincinya, ia sebenarnya melambangkan identiti dalam kelompok masyarakat
itu.
2.5.2.2 Adat Menjamu Hidangan Diraja
Dalam Hikayat Inderaputera
ini, kita dapat melihat bagaimana adat menjamu hidangan diraja. Mereka begitu
mengutamakan tetamu dengan menyediakan hidangan makanan, minuman dan
mengedarkan piala yang bertatahkan ratna
mutu manikam. Sirih juga merupakan salah satu makanan keutamaan bagi golongan
diraja. Semasa menjamu hidangan juga, para tetamu dihiburkan dengan nyanyian
dan alat muzik tradisional. Antara contoh petikan teks adat menjamu hidangan
diraja dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
Maka Inderaputera pun memberi hormat kepada
tuan puteri seraya duduk di atas peterana yang keemasan, diadap oleh segala
bidadari dan segala dayang- dayang.
Maka karas emas yang bertatahkan ratna mutu
manikam itu pun disuruh tuan puteri diunjukkan oleh bidadari itu kepada
Inderaputera seraya berkata, “Santaplah tuanku sirih.”
Maka disambut oleh Inderaputera lalu
dimakannya. Maka hidangan nasi pun diangkat oranglah ke hadapan Inderaputera
dan Tuan Puteri Kemala Ratnasari. (
Halaman 51 )
Hatta
maka Raja Puspa Pandai dan Inderaputera dengan Dinar Pandai makan tiga orang
syehidangan. Maka segala anak raja-raja itu masing-masing makan pada
hidangannya. Setelah sudah makan maka minuman pula diangkat orang, maka piala
yang bertatahkan ratna mutu manikam itu pun diperedarkan. Maka segala
bunyi-bunyian pun berbunyilah daripada rebab, kecapi, dandi, muri, bangsi,
serdam, kopak, ceracap, terlalu ramai. Maka biduan yang baik suaranya itu pun
bernyanyilah, terlalu baik suaranya didengar orang. Demikianlah sehari-hari
pekerjaan Inderaputera selama dalam negeri itu duduk makan minum
bersukaan. (Halaman 103)
Maka
Raja Tulela Syah pun berjamu segala raja-raja itu makan, masing-masing hidangannya. Setelah makan maka minuman pula diangkat orang. Maka piala yang
bertatahkan ratna mutu manikam pun diperedarkan
oranglah. Maka segala bunyi-bunyian pun berbunyilah terlalu ramai. Maka
biduan yang baik suaranya pun bernyanyilah. Maka segala anak raja-raja dan anak
menteri hububalang sekalian bangkit menari, masing-masing dengan lakunya tujuh
hari tujuh malam makan minum bersuka-sukaan.
( Halaman 162)
2.5.2.3 Adat Berpakaian Orang
Besar
Pakaian juga melambangkan
adat dan budaya masyarakat dalam Hikayat Inderaputera. Cara berpakaian orang
besar dalam Hikayat Inderaputera kebanyakannya mereka dipakaikan pakaian yang
serba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam ( permata ). Cara berpakaian
sangat penting bagi memberi kehormatan kepada orang-orang yang tertentu.
Contoh petikan teks adat berpakaian orang
besar dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
Setelah genap harinya maka Tuan Puteri Jumjum
Ratnadewi pun dihias dengan selengkapnya pakaian ser(i)ba keemasan, bertatahkan
ratna mutu manikam. Maka rupa Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun
bercahaya-cahaya, gilang-gemilang seperti bulan purnama empat belas hari.
Bermula maka Inderaputera pun dihias oleh Nabat Rum Syah dengan berpakaian
selengkapnya serba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam. ( Halaman 29)
Bermula maka Tuan Puteri Kemala Ratnasari pun
dihias orang dengan pakaian serba keemasan bertatahkan ratna mutu manikam.
Setelah sudah maka didudukkan di atas puspa pema(n) jangan, diadap segala anak
dara-dara, dan bini orang kaya-kaya, dan bini segala menteri, dan bini segala
hulubalang, semua mengadap tuan puteri. Maka di atas oranglah segala dian,
pelita, tanglung, kandil yang keemasan. Maka segala bidadari itu duduk di sisi
tuan puteri dengan pakaiannya masing-masing dengan jawatannya, ada yang
memangku puan yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam, ada yang memangku
kendi keemasan bertatahkan ratna mutu manikam, ada yang memegang kipas keemasan
berumbai-rumbaikan mutia, dan empat orang anak dara-dara menyelampai wali
kuning yang keemasan duduk di belakang tuan puteri; dan empat puluh anak
dara-dara yang menyelampai wali kuning serba keemasan duduk di hadapan tuan
puteri memangku kumba mayang serba keemasan. (
Halaman 67 )
Apabila adanya adat berpakaian orang besar, hal ini menunjukkan
bahawa golongan pemerintah mempunyai tahap kebesarannya. Sikap dan pandangan
hidup mereka banyak dipengaruhi dengan tradisi pemakaian diraja. Jadi,
sebahagian besarnya cara berpakaian mereka yang dilengkapi keemasan bertatahkan
ratna mutu manikam. Ia sangatlah bersesuaian dengan pangkat seseorang dalam
negara.
2.5.2.4 Adat
Memberi Persalinan
Adat persalinan ini diadakan
kepada utusan. Persalinan merupakan pakaian akan diberikan kepada utusan
mengikut darjat dan gelaran. Maka terserlah gambaran yang jelas tentang budaya
dan pandangan hidup masyarakat dalam Hikayat Inderaputera Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Setelah sudah maka Raja Mujtadar Shah memberi
persalin pakaian keemasan akan Inderaputera, dan Nabat Rum Syah, dan segala
raja-raja dengan segala menteri dan hulubalang, abantara sekalian semuanya
diberi persalin. Setelah antaranya berapa hari, maka Nabat Rum Syah pun
bermohonlah kepada Raja Mujtadar Syah hendak pulang ke negerinya. ( Halaman 69)
Setelah sudah makan maka Raja Gohar Hinis pun
memberi persalin akan Raja Dewa Lela Mengerna dan Nabat Rum Syah pakaian yang
indah-indah serba keemasan. Setelah sudah maka Raja Dewa Lela Mengerna dan
Nabat Rum Syah pun bermohonlah kepada Raja Gohar Hinis lalu berjalan keluar
kembali kepada Inderaputera. (Halaman 137)
Maka Raja Tulela Syah pun memberi persalin
akan Inderaputera dengan segala raja-raja itu dengan pakaian kerajaan serba
keemasan yang indah-indah itu.
(
Halaman 158)
2.5.2.5 Adat
Menyembah Raja
Raja merupakan tunggak utama
dalam sistem pemerintahan. Mengikut adat menyembah raja, seseorang hendaklah
duduk atau bertelekukan lutut sebelah kanan dan kaki kiri dijelepokkan.
Istiadat yang dilakukan oleh pembesar menandakan hormat dan taat setia kepada
raja. Situasi di bawah telah menunjukkan adat menyembah raja:
Maka Raja Dewa Lela Mengerna dan Nabat Rum
Syah pun menyembah Raja Gohar Hinis. Maka disambut baginda seraya dipermuliakan
dengan seribu kemuliaan kedua anak raja itu, maka didudukkannya di atas kerusi
yang keemasan. Maka sirih pada jorong emas pun dibawa oranglah ke hadapan anak
raja kedua itu. (Halaman 137)
Maka anak raja Mambang kedua itu pun masuklah.
Setelah datang ke hadapan Raja Gohar Hinis maka anak raja kedua itu pun
menyembah, Raja Gohar Hinis pun berdiri memberi hormat anak raja Mambang kedua
itu. Maka disuruh Raja Gohar Hinis duduk di atas kerusi keemasan. (
Halaman 138)
Raja Gohar Hinis pun segerah
turun mengalu-ngalukan Inderaputera dengan segala raja-raja itu. Maka
Inderaputera dan segala raja-raja itu semuanya menyembah Raja Gohar Hinis. Maka
Inderaputera itu semuanya duduk di atas
kerusi yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Maka sirih pada
jorong emas dan jorong perak dan jorong tembaga suasa itu pula dibawa oranglah
ke hadapan Inderaputera dan ke hadapan segala raja-raja itu. Maka Inderaputera
dan segala raja-raja itu pun makan sirih. Setelah itu maka hidangan pun
diangkat oranglah ke hadapan Inderaputera dan segala raja-raja itu.
(Halaman 141)
Jadi, apabila adanya adat menyembah raja, maka masyarakat pada zaman itu
sangat berpegang pada pandangan hidup tidak boleh menderhakai raja. Waad merupakan kontrak sosial antara Raja Shahian
dengan perdana menteri,segala menteri-menteri dan rakyat. Jika waad dilanggar,
maka pelbagai bencana akan menimpa. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan
daulat. Waad merupakan suatu kontrak atau perjanjian antara golongan pemerintah
dengan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian yang bertimbal balik. Contohnya,
rakyat tidak menderhana dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Rakyat
tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat
membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja dan sekiranya tidak patuh, mereka
akan ditimpa bencana. Perkara ini selaras dengan ajaran Islam, iaitu rakyat
perlu taat dan patuh kepada raja selagi mana perintah raja tidak bertentangan
dengan syariat.
Sebagai
contoh petikan menunjukkan permintaan Raja Syahian yang meminta perdana
menteri, segala menteri dan rakyat mencari seseorang yang sanggup ke Berma
Sakti bagi mendapatkan ubat beranak. Walaupun permintaan ini agak sukar dan
membahayakan seseorang itu untuk sampai ke Berma Sakti namun perdana menteri
terpaksa akur dengan perintah raja. Sekiranya mereka tidak memenuhi permintaan
raja, mereka akan dihukum bunuh.
Maka segala menteri dan hulubalang masing-masing pulang ke rumahnya,
maka hari pun malamlah. Setelah esok harinya maka Raja Syahian pun keluar
diadap orang di atas sehinggasana kerajaan diadap segala menteri dan hulubalang
dan rakyat sekalian, maka titah baginda kepada segala menteri, “Hai segala
menteriku, sekarang apa bicaramu sekalian; baik kamu carikan aku akan ubat
beranak karena sangat hasyratku hendak beranak.”
Maka sembah segala menteri, “Ya tunku Syah Alam, patik sekalian mohonkan
ampun kepada ke bawah duli tuanku; patik minta janji empat puluh hari patik
bicarakan seperti hasyrat Syah Alam itu.”
Maka titah baginda,
“Baiklah, kunanti seperti katamu itu, jikalau tiada, nescaya kamu sekalian kubunuh.” (Halaman 12)
2.5.2.6 Adat
Kelahiran
Situasi
yang menggambarkan semasa menyambut kelahiran Inderaputera, iaitu putera Raja
Bikrama Bispa. Raja juga telah meminta orang memalu bunyi-bunyian seperti adat
segala raja-raja berputera.
Hatta berapa lamanya Raja
Bikrama Bispa dalam kerajaan, maka isteri Raja
Bispa yang bernama Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun hamillah. Setelah
berapa lama antaranya genap bulannya pada ketika yang baik, pada empat belas
hari bulan ketika dini hari maka tuan puteri pun menyakit hendak beranaklah
seorang laki-laki terlalu amat baik rupanya seperti matahari baharu terbit,
gilang-gemilang rupanya.
Setelah demikian maka
baginda pun terlalu amat sukacita melihat anakanda baginda itu. Maka raja pun
menyuruh orang memalu bunyi-bunyian seperti adat segala raja-raja berputera.
Demikianlah maka dinamai akan anakanda itu Inderaputera. (Halaman: 4)
Contoh
petikan teks yang kedua, semasa menyambut kelahiran Tuan Puteri Mengindera Sari
Bunga, puteri Raja Syahian. Raja Syahian
yang begitu seronok dengan kelahiran puterinya, baginda telah mengeluarkan emas
dan perak sebagai sedekah kepada fakir dan miskin sebagai tanda kesyukuran.
Maka Raja Syahian pun terlalu sukacita dan
menyuruh memalu bunyi-bunyian, betapa adat segala raja-raja beranak.
Demikianlah maka Raja Syahian menyuruh mengeluarkan emas dan perak memberi
sedekah pada segala fakir dan miskin. Maka anakanda baginda itu dinamai Tuan
Puteri Mengindera Sari Bunga. (Halaman
191)
Kelahiran merupakan saat-saat yang penting dalam kehidupan berkeluarga.
Oleh itu, sikap dan pandangan hidup mereka sangat mementingkan zuriat sebagai
pewaris tahta terutamanya dengan kelahiran anak lelaki. Kelahiran harus ditandai dengan upacara adat.
Contohnya, apabila bayi dilahirkan, diadakannya adat segala raja-raja berputera
seperti memalu bunyi-bunyian. Selain itu, sebagai tanda kesyukuran Raja akan
mengeluarkan sedekah seperti memberi emas dan perak kepada fakir dan miskin.
2.6 Nilai Ilmu dalam Hikayat Inderaputera
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keeempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan
taraf. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau yang buruk
dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi
sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak
sesuatu perlakuan manusia. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) juga memberikan
definisi terhadap ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir,
batin dan lain-lain. Oleh itu dapat dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang
berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada
orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat.
Terdapat beberapa jenis nilai ilmu yang dapat dilihat
dalam karya agung Melayu Hikayat Inderaputera, antaranya;
2.6.1 Ilmu Perdukunan
Ilmu dukun ini dikatakan
mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama ialah mestilah mempunyai yang
disebut sebagai kaahin (si pendukun), mutakaahin (peminta atau pesakit yang
berjumpa dukun) dan mahkuun (kepada siaoa dukun itu ditujukan). Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang
mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan
bacaan jampi serapah. Manakala perdukunan pula membawa maksud mengenai atau
berkaitan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu
dukun.
Menurut Neil Turnbull (1999:32), dukun merupakan titik
hubungan ghaib antara dunia roh dengan dunia manusia. Kelompok orang istimewa
yang mampu membaca dan menggunakan bahawa ghaib dari dunia roh ini dikenal
sebagai dukun. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah
berbentuk animisme. Mereka beranggapan perkara-perkara atau benda mempunyai
semangat dan kuasa ghaib. Oleh itu wujudlah pemujaan atau penyembahan terhadap
benda-benda seperti batu, pokok, sungai, gunung dan lain-lain. Hanya dukun,
pawang dan ahli nujum sahaja dikatakan mampu melakukan perkara ini. Tindakan
ini dianggap berperanan untuk mengembalikan keadaan seperti asal.
Dalam Hikayat Inderaputera, Inderaputera telah
berkhidmat kepada Raja Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung Mali Kesna
untuk mendapatkan ubat bagi memperoleh anak. Sehingga kepada golongan istana
mempercayai mengenai kehebatan dukun ini. Raja Syahian percaya dukun yang
berada di atas Gunung Mali Kesna dapat memberikan ubat kepada baginda untuk
memperoleh anak. Disebabkan keinginan baginda yang terlalu tinggi dan mendesak,
baginda mengarahkan mana-mana rakyatnya yang sanggup ke gunung berkenaan untuk
menganbil ubat walaupun dikatakan tiada orang mampu pulang dengan selamat.
Maka ujar perdana menteri,
“Ada hamba mendengar daripada nenek moyang hamba tatkala itu hamba lagi kecil,
ada diwartakan orang pada Gunung Mali Kesna namanya, ada seorang maharesi
bertapa pada gunung itu bernama Berma Sakti. Baginda itu terlalu amat sakti,
jika ada raja-raja sakit atau hendak beranak maka pergi menyuruh kepada baginda
itu minta ubat, nescaya sembuh sakitnya dan beroleh anak,…” (Halaman
13)
Berma Sakti telah memberikan bunga tunjung putih kepada
Inderaputera, kemudian Inderaputera menyerahkan kepada Raja Syahian sebagai
ubat memperoleh anak. Kesaktian bunga tunjung putih dapat dilihat setelah
permaisuri memakan sayur bunga tunjung putih itu, kemudian permaisuri Raja
Syahian telah hamil.
Maka Raja Syahian pun masuk
ke dalam istana. Maka setelah berapa lamanya maka permaisuri pun hamillah. Maka
Raja Syahian pun terlalu sukacita melihat permaisuri hamil itu.
(Halaman
187)
Selain itu, Inderaputera juga dikatakan dapat
menyembuhkan pelbagai penyakit. Inderaputera telah diberi sehelai kain sutera
puri oleh Dewi Lakpurba ketika berada sebuah negeri. Inderaputera diajar cara
menggunakan kaun sutera tersebut untuk mengubat orang sakit.
Maka kata
Dewi Lakpurba kepada Inderaputera, “Hai cucuku, suatu pun tiada pemberiku
kepada cucuku, hanyalah kain sutera ini juga. Adapun penggunaannya kain ini,
jikalau ada orang sakit payah, jikalau hancur sekalipun tubuhnya, maka kain ini
ditudungkan kepada tubuh orang sakit itu. Maka disiram dengan air mawar,
nescaya sembuh sakitnya orang itu.” (Halaman 193)
Ketika puteri kepada Raja Syahian iaitu Tuan Puteri
Mengindera Sari Bunga jatuh sakit, Inderaputera telah mengubatinya dengan
menggunakan kain sutera itu. Ternyata Tuan Puteri sembuh. Sudah ramai dukun
yang dibawa ke istana untuk mengubat penyakit yang dihadapi oleh Tuan Puteri
Mengindera Sari Bunga tetapi semuanya hampa. Raja Syahian telah memberi
kebenaran untuk menjadi menantunya bagi sesiapa yang dapat memberi ubat kepada
puterinya itu. Kehadiran Inderaputera telah memberi sinar baharu kepada Raja
Syahian untuk melihat puterinya sembuh. Sekaligus Inderputera dikahwinkan
dengan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga hari selepasnya.
Maka Inderaputera pun
masuklah ke dalam tirai peraduan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga. Maka Tuan
Puteri Mengindera Sari Bunga pun membuka matanya …... Maka Inderaputera pun
mengeluarkan kain sutera puri. Maka dilihat oleh Raja Syahian kain sutera puri
itu terlalu halus rupanya seperti air embun.
(Halaman
196)
2.6.2 Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai
tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau
nasib seseorang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu
firasat. Terdapat juga golongan istana yang menggunakan ahli nujum terutama
sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum
agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Ahli nujum dapat
mengetahui kelemahand an kekuatan orang lain selepas membuat tilikan terhadap
sesuatu, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika.
Dalam Hikayat Inderaputera banyak mempamerkan ilmu
perdukunan. Antaranya ketika kelahiran Inderaputera, putera kepada Maharaja
Bikrama Bispa dan Tuan Puteri Jumjum Ratradewi. Ahli nujum pada ketika itu
dititahkan oleh baginda untuk menilik nasib kebesaran yang bakal diperolehi
Inderaputera.
Maka segala ahlunnujum pun
melihat nujumnya dan menggerakkan kepalanya. Maka sembah segala ahlunnujum, “Ya
tuanku Syah Alam, terlalu sekali berbahagia paduka anakanda itu dan memangku
kerajaan yang maha besar. Adapaun tujuh tahun juga paduka anakanda itu dapat bersama-sama
dengan tuanku. Kemudian dari itu bercerailah paduka anakanda dengan tuanku,
beberapa paduka anakanda itu melihat kekayaan Allah Subhanahu wa Ta’ala Tu(h)an
yang Maha Tinggi; dan jangan paduka anakanda itu tuanku beri bermain binatang,
karena sebab paduka anakanda bermain binatang itu jadi beroleh bencana, bercrai
dengan duli tuanku.” (Halaman 4)
Ahli nujum biasanya akan meramal nasib seseorang
menggunakan cara tertentu. Biasanya ramalan ahli nujum mudah dipercayai dan
diyakini akan berlaku walaupun nasib seseorang itu buruk. Sebagai contohnya
dapat dilihat melalui petikan dalam Hikayat Inderaputera seperti berikut:
… karena baginda sangat
memeliharakan pesan ahlunnujum; dan jika baginda diadap segala raja-raja dan
menteri hulubalang sekalian pun anakanda itu tiada bercerai dengan baginda.” (Halaman 5)
Berdasarkan contoh petikan
di atas, ramalan ahli nujum terhadap nasib Inderaputera itu memang tepat.
Inderaputera telah diterbangkan oleh seekor burung merak tanpa dapat dihalang
oleh sesiapa pun. Peristiwa ini dapat dilihat daripada petikan teks hikayat.
… maka Inderaputera disambar
oleh merak itu dibawanya terbang. Maka Inderaputera pun ghaiblah dengan
seketika itu daripada mata Maharaja mikrama Bispa dan mata orang banyak. (Halaman 7)
2.6.3 Ilmu Agama
Dalam zaman klasik, ilmu
yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana
apabila permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan
pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan
dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh
Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan
sesama manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas).
Berdasarkan Hikayat Inderaputera, Maharaja Bikrama
Bispa amat menekankan soal agama kepada puteranya, Inderaputera ketika
Inderaputera kecil. Inderaputera sudah
tahu mengaji ketika berumur tujuh tahun lagi.
Hatta setelah berapa lamanya
maka anakanda baginda Inderaputera pun besarlah, maka disuruhkan baginda kepada
mualim disuruh ajar mengaji. Setelah berapa lamanya kira-kira tujuh tahun umur
Inderaputera, maka Inderaputera pun tahulah mengaji Qur’an….
(Halaman
5)
Inderaputera digambarkan sebagai seorang umat Islam yang
soleh, ingat kepada Allah, baik sewaktu dia menikmati keindahan ciptaan-Nya,
mahupun dalam saat-saat dia terancam bahawa. Nilai Islam dimasukkan dalam
perwatakan Inderaputera untuk menggambarkan keindahan Islam.
Maka
hairanlah Inderaputera melihat segala yang indah-indah itu. Maka beberapa pula
puji Inderaputera kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala…
(Halaman 53)
“… Atas patiklah melawan segala menteri itu dengan
anak raja-raja sekalian itu dengan tolong Tuhan Yang Kuasa.”
(Halaman 226)
3.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat
Inderaputera merupakan kelangsungan daripada pengaruh Hindu terhadap
kesusasteraan Melayu. Perwatakan, tema dan plotnya menunjukkan dasar kreativiti
pemikiran yang masih kuat berkhayal terhadap alam nyata dan alam peri yang
disatukan. Keistimewaan Inderaputera yang dapat berkomunikasi dan bergerak di
pelbagai pelosok alam ini adalah berpunca dari world view daripada
serpihan kepercayaan Hindu yang antaranya memaparkan unsur-unsur sakti dan
inkarnasi.
Walau bagaimanapun, sudah disisipkan unsur-unsur kemelayuan
seperti unsur nenek kebayan dan unsur mentari yang dengki dan juga unsur Islam
seperti penggunaan nama-nama Islam dan unsur memuji kebesaran Tuhan. Sungguhpun
begitu, penyisipan unsur-unsur Melayu dan Islam sukar memadamkan kekentalan
nilai-nilai Hindunya.
Bibliografi
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris, (2012). Nota Kuliah Semester 1 2012/2013.
Tanjung
Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Dewan Bahasa dan
Pustaka, (2010). Kamus dewan edisi
keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Ahmad,
(2007). Hikayat Indderaputera. Kuala Lumpur: Global Printers Sdn. Bhd.
Neil Turnbull, (1999). Filsafat. Indonesia : Penerbit Erlangga.
Mohd Rashid Md
Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani, (2014). Karya agung Melayu. Tanjung Malim :
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Raja Ali Haji, (2000). Hikayat
Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment