BMS 3022
KARYA AGUNG
MELAYU
TAJUK:
ANALISIS KARYA MODEN : KELUARGA
GERILYA
AHLI KUMPULAN:
NAMA
|
NO. MATRIK
|
AISYAH BINTI MUHD
RASHID
|
D20111047552
|
NURUL NAJIHAH BINTI RAMLI
|
D 20111047545
|
SITI NOOR AZZIRA BINTI AMRAN
|
D 20111047521
|
NORSHAPIKA BINTI HASHIM
|
D 20111047551
|
NURHASYIMAH BINTI MAT SAEI
|
D 20111047543
|
KUMPULAN: A
PENSYARAH:
DR. SERI LANANG JAYA BIN HAJI ROHANI
IJAZAH
SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
JABATAN
BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU
FAKULTI
BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI
PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
1.0 Pengenalan
Menelusuri
bicara Pramoedya Ananta Toer, yang dilahirkan pada tahun 1925 di Blora, Jawa
Tengah, menerusi “ Keluarga Gerilya”, sebuah novel yang diterbitkan pada tahun
1970 telah memberi peluang kepada pembaca untuk merasai sendiri penderitaan dan
kehancuran sebuah keluarga akibat peperangan. Penulis yang merupakan seorang
anak kepada seorang pendidik dilahirkan pada tahun 1925 di Blora, sebuah daerah
yang miskin dan terkebelakang. Kawalan yang begitu rapi oleh ayahnya yang
memiliki jiwa nasionalis yang tinggi akhirnya menjadikan dia seorang yang amat
dewasa dari segi pemikiran dan fizikal yang tahan lasak. Walau bagaimanapun,
sikap mementingkan diri sendiri yang begitu tinggi dalam jiwa akhirnya
memisahkan mereka apabila dia melarikan diri dari rumah selepas berlakunya satu
pergeseran antara mereka. Semasa menjalani kehidupan di kota Jakarta, beliau
sempat bertemu dengan tokoh-tokoh ternama seperti Mohammad Hatta dan Soekarno.
Kehidupan di bawah penjajah banyak memberi kesan dalam jiwanya. Rasa
tanggungjawab yang tinggi untuk mempertahankan maruah dan kemanusiaan bangsa
telah mendorongnya untuk melibatkan dirinya dalam pasukan mempertahankan
kampungnya seperti Badan Keamanan Rakyat (Baharum Rangkuti 1963: 10 dalam Ratna
Roshida Ab Razak, 2010).
Kisah tragis sebuah keluarga pejuang
kemerdekaan Indonesia menentang Belanda di Daerah Merdeka dan terpaksa
mengorbankan segala-galanya demi sebuah kebebasan. Keupayaan pengarang melalui
proses kreatifnya untuk menceritakan kembali perihal zaman revolusi telah
memberi kesempatan kepada pembaca untuk turut sama merasai pengalaman pahitnya,
terutama apabila beliau menjadi tahanan Belanda di penjara Bukit Duri, Jakarta
(Ratna Roshida Ab Razak, 2010).
2.0 Keluarga Gerilya
2.1 Sinopsis Keluarga Gerilya
Keluarga
Gerilya adalah kisah tragis sebuah keluarga pejuang yang mengorbankan
segala-galanya demi kemerdekaan negara. Korban nyawa, korban masa depan, korban
ayah, korban. Ayah dibunuh kerana menjadi tali barut Belanda. Ibu hilang akal
kerana mengenangkan nasib anak-anak. Anak-anak lelaki semuanya berjuang
menyertai revolusi kemerdekaan. Anak perempuan tidak bersekolah dan mencari
kerja kerana derita kehilangan sumber pencarian. Watak-watak dalam cerita ini
yang seakan hidup telah berjaya membawa mesej yang tersendiri, terutama dalam persoalan
manusia dan kemanusiaan dalam usaha menentang penjajahan Belanda dan menuntut
kemerdekaan negara.
Amilah seorang ibu berusia 41 tahun
telah mengalami penderitaan batin apabila anaknya Sa’aman ditangkap oleh Polis
Tentera. Sa’aman anak yang paling dikasihi oleh ibunya Amilah dan dia menjadi
tunjang dalam keluarga. Dengan pekerjaannya sebagai tukang beca, Sa’aman mampu
menyara kehidupan ibu dan adik-beradiknya. Akibat kehilangannya, kehidupan
keluarganya telah berubah, Amilah menjadi hilang akal dan adik-beradiknya
hilang tempat untuk bergantung. Sa’aman seorang yang sanggup membunuh bapanya
sendiri kerana bapanya telah menjadi tali barut Belanda yang akhirnya terpaksa
menghabiskan hari-hari terakhir kehidupannya di dalam tahanan. Namun, sisa-sisa
kehidupan terakhir yang dilaluinya ini sarat dengan makna dan tujuan sebenar
kehidupan-kehidupan sebagai seorang pejuang.
Salamah, seorang gadis sunti berusia
19 tahun terpaksa mengambil peranan abangnya, membantu adik-adiknya dengan
mengharap belas kasihan daripada tunangnya, Darsono. Kartiman, adiknya,
memiliki kawalan emosi yang agak lemah dan seorang yang pemarah, melibatkan
dirinya dengan perjuangan kemerdekaan menentang Belanda. Kartiman juga telah
menembak ayahnya yang menjadi tali barut Belanda. Canimin, abang kepada
Kartiman dan adik kepada Sa’aman yang memiliki pangkat koperal dalam pasukan
gerilya, memiliki muka yang cacat kerana kebakaran menimpanya dalam pertempuran
di Madiun. Kelima-lima watak ini berdiri sebagai watak penting dalam novel ini kerana
penglibatan mereka dalam perjuangan.
Amilah, seorang
wanita tua, duduk di ruang tamu di rumahnya di Jakarta menanti anak
tersayangnya, Sa’aman. Dia dihampiri oleh anak keempatnya, Salamah. Salamah
minta izin untuk bekerja bersama adiknya, Patimah, agar boleh menyara kehidupan
keluarga kerana Sa’aman sudah tiga bulan tidak pulang setelah ditangkap polis
militer. Dengan kasar, Amilah menolak, lalu Salamah pergi termenung, memberitahu
Patimah perkataan ibu mereka. Salamah termenung,
teringat pada waktu abangnya diambil. Dalam imbas kembali, Sa’aman
pulang dari kerja dalam kepenatan. Setelah tidur dan mandi, Sa’aman membantu
adik-adiknya membuat kerja sekolah dan memberi nasihat dan tiba-tiba ada ketukan
di pintu. Ketika pintu terbuka, sekelompok polis militer masuk, menangkap Sa’aman
dan menanyakan saudara gerilya lain, Canimin dan Kartiman. Setelah teringat
pada kejadian yang malang ini, Salamah pun tertidur.
Pada waktu yang sama, empat puluh
kilometer dari Jakarta, Canimin dan Kartiman duduk, terjaga di baris depan.
Kartiman dengan abangnya, mengakui bahawa dia merasa tidak akan melihat satu
pun fajar merah lagi; dia dihantui oleh ayahnya, yang telah ditembak kerana
bekerja untuk Belanda. Canimin berusaha untuk menenangkan adiknya, tetapi
Kartiman tetap gelisah. Menjelang fajar, Canimin mendapat perkhabaran bahawa akan
ada konvoi NICA yang datang. Canimin membuat rancangan untuk menyerang konvoi
ini, dan menyiapkan perajurit – perajuritnya. Serangan ini berhasil, tetapi
Kartiman terkena peluru. Sebelum Kartiman meninggal, dia memohon abangnya untuk
menjaga isterinya dan adik-adik mereka. Akhirnya, perasaan Kartiman terbukti
benar dan dia meninggal sebelum matahari mendaki.
Di Jakarta, Amilah masih terjaga
menanti Sa’aman sambil membayangkan kekasih pertamanya, Benni, seorang Manado.
Tiba-tiba dia teringat akan dunia realiti ketika ada ketukan di pintu. Amilah
mendekati pintu dan bertanya siapa di luar dan tetamu di pagi buta itu tidak mahu
menjawab sampai masuk ke rumah, ketika akhirnya mengakui “Sarsan Kasdan”. Sarsan
Kasdan bercerita yang besar-besar tentang dirinya sendiri dan kepentingannya
dalam pemerintah Belanda, lalu menyatakan bahwa dia membawa pesanan daripada
Sa’aman. Menurutnya, Sa’aman akan dibebaskan pada siang hari pukul dua. Amilah
tidak mahu mempercayainya, tetapi setelah diancam oleh Sarsan Kasdan akhirnya Amilah
terdiam. Amilah disuruh mengirimkan Salamah atau Patimah untuk menjemput
Sa’aman di tempat tahanan pada pukul dua petang.
Amilah curiga
lalu mengusir Sarsan Kasdan tetapi segera menyesal dan berlari ke jalan,
memanggil Sarsan Kasdan seperti orang gila. Namun, ia tidak diendahkan oleh
Sarsan Kasdan. Amilah kembali ke dalam rumah di mana anak-anak sudah mulai
bangun tidur. Walaupun disuruh tidur oleh Salamah, Amilah mengambil baju untuk
dijual dan keluar untuk mengejar Sarsan Kasdan.
Salamah bingung
atas perbuatan ibunya dan merasa bahawa ibunya sudah mulai hilang ingatan.
Namun, dia tidak ada kesempatan untuk memikirkan perkara itu kerana didatangi
temannya, Hadijah, yang mahu menghantar dia dan Patimah bekerja. Namun, atas
rasa bertanggungjawab kepada adik-adik yang lain, hanya Patimah yang diizinkan
bekerja.
Setelah Hadijah dan Patimah
berangkat, Salamah berusaha untuk membantu adik perempuan lainnya, Salami,
dengan perhitungan. Namun, pelajaran itu terhenti kerana ada tukang loak
membawa adiknya yang terakhir, Hasan. Hasan telah merosakkan sebuah wekker dan dia diminta untuk membayar
ganti rugi sebanyak lima belas rupiah. Namun, setelah melihat keadaan keluarga
dan mengetahui bahawa abang-abang hasan berjuang untuk kemerdekaan, tukang loak
itu tidak sanggup dan memberikan mereka sepuluh rupiah untuk membeli beras.
2.2 Pemikiran
dalam Keluarga Gerilya
Pemikiran
menurut Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj.
Rohani (2014: 69) bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang
menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan
signifikan. Di samping itu, setiap
pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan
kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Sehubungan dengan itu, setiap karya agung
yang dihasilkan memiliki pemikirannya yang tersendiri. Hal yang sama juga dimiliki oleh Keluarga
Gerilya. Hikayat ini juga mempunyai pemikiran
atau mesej-mesejnya yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh pengarang.
Patriotisme atau semangat cinta akan
tanah air merupakan pemikiran utama yang terdapat dalam karya Keluarga Gerilya
karangan Pramoedya Ananta Toer ini.
Karya ini memperlihatkan masyarakat pada zaman tersebut yang memiliki
semangat yang sangat tinggi untuk mempertahankan tanah airnya. Mereka sanggup diseksa, malah berkorban nyawa
demi memastikan negara berada dalam keadaan yang aman dan damai. Hal ini dapat dilihat dalam bab “Aku Tidak
Jijik Melihat Tuan” pada muka surat 157 sebagaimana berikut:
“Tuan tidak pernah lalu, bagaimana satu
keluarga hancur kerana mempertahankan tanahairnya. Hancur!
Hancur seperti serumpun bambu habis dimakan api. Tuan belum pernah lihat betapa seorang
nenek-nenek memanggul senjata mempertahankan tanahairnya. Tuan pasti belum pernah melihat kanak-kanak
dari tujuh tahun menggeranati konvoi Inggeris, kerana ibu bapaknya
dibakar-bakar hidup oleh apa yang dinamainya musuhnya. Semua itu pernah ku lihat di sini – di
Jakarta tahun empat lima”.
(Halaman 157)
Berdasarkan
petikan di atas, dapatlah dilihat masyarakat pada waktu itu yang sanggup
berkorban apa-apa sahaja untuk mempertahankan tanah air yang terdiri daripada
pelbagai peringkat umur sama ada kanak-kanak mahupun orang tua.
Seterusnya, pengarang turut
menyelitkan pemikiran atau mesej kemiskinan dalam karya ini. Hal ini dapat dicerminkan dalam petikan di
bawah:
“Rumah kajang yang didiami keluarga
Amilah itu tak nyata bentuknya oleh liputan kegelapan malam. hanya sinar pelita minyak-tanah yang
menerobosi lubang-lubang kajang jualah yang menunjukkan pada orang lalu lintas
bahawa di situ ada rumah – ada keluarga manusia”.
(Halaman
2)
Mesej
ini dapat dibuktikan lagi dalam muka surat yang seterusnya, iaitu:
“pelitanya menyala gelisah – pelita
sebagai pelita-pelita yang lain pelita yang melambangkan kemiskinan keluarga
manusia. Nyalanya merah-kuning. Dan semua bayangan dalam rumah itu menggetar
bila api itu dipuputi angin.
(Halaman
4)
Situasi
ini menggambarkan kehidupan masyarakat pada zaman itu majoritinya bergantung
hidup kepada pelita untuk menerangi rumah masing-masing. Hal ini menunjukkan masyarakat yang susah dan
miskin hidupnya.
Selain itu, pengarang juga mengetengahkan
pemikiran atau mesej tentang ketelusan dan kejujuran. Pemikiran ini boleh dilihat daripada watak
Kartiman yang jujur dan telus dalam menjalankan amanahnya sebagai koperal
pasukan Gerilya. Buktinya, beliau telah membunuh bapanya sendiri yang menyokong
dan menjadi tali barut pihak musuh meskipun dengan perasaan yang sangat berat
untuk melakukannya. Hal ini dapat
dibuktikan melalui petikan dialog di bawah:
“Aku
bilang, jangan turutkan perasaanmu yang bukan-bukan itu,” kata Kopral Canimin.
“Engkau perajurit yang baik dan berdisiplin. Kalau bapakmu sendiri
menggabungkan diri dengan musuh dan musuh itu jualah yang mau membunuh
kita-kita bersama-siapa lagi yang harus memberesi bapakmu kalau bukan engkau
sendiri? Engkau harus berfikir begitu. Maman! Cuba, sekiranya bapakmu jatuh ke
tangan pasukan lain-akan lebih sengsara matinya. Cuba, kalau dia dibamburuncing
orang-”.
(Halaman 29)
Berdasarkan
petikan tersebut, jelas ditonjolkan perasaan serba salah Kartiman yang telah
membunuh bapanya sendiri disebabkan bapanya tersebut telah menggabungkan diri
dengan pihak musuh.
Di
samping itu, pengarang juga menekankan pemikiran atau mesej tentang kehidupan
masyarakat yang taat beragama dalam karya ini.
Hal ini dapat dilihat menerusi watak Canimin yang tetap berusaha berulang
kali agar Kartiman menyebut kalimah Allah di penghujung nafasnya, meskipun
Kartiman tidak menurutinya. Hal ini
dapat dibuktikan melalui petikan dialog sebagaimana berikut:
“…dan
dirangkulnya leher adiknya. “Adikku, adikku, moga-moga engkau diampuni oleh
Tuhan. Sebutlah, adikku, sebutlah: Alla-hu-akbar-Tuhan mahabesar. Sebut
adikku!”
Tapi kekuasaan alam lebih kuasa daripada pelukan
manusia.
“Mukamu – mana mukamu?”
“Ini. Alla-hu-akbar. Sebut, adikku! Engkau pahlawan. Sebut! Ratni anak baik. Dia mesti ku urus. Jangan khuatir. Kopral Canimin selalu bersedia memenuhi janjinya. Sebut adikku, sebut: Alla-hu-akbar.”
(Halaman 50)
Berdasarkan
petikan di atas, jelas terpancar watak Canimin yang sangat menekankan kehidupan
yang taat pada agama. Beliau berusaha
sedaya upaya untuk membantu adiknya, Kartiman agar berupaya menyebut kalimah
tauhid di akhir hayatnya.
Selanjutnya, pemikiran tentang
individu yang terlalu mengagung-agungkan kecantikan sehingga merosakkan dirinya
sendiri turut diselitkan dalam karya Keluarga Gerilya ini. Mesej ini dapat dilihat menerusi watak Amilah
yang mencemburui kecantikan anaknya, iaitu Salamah. Hal ini demikian kerana, menurutnya,
kecantikan yang dimiliki oleh Salamah turut dimilikinya suatu masa dahulu,
bahkan kecantikan dirinyalah yang Salamah perolehi sekarang. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan di
bawah:
“Sementara
itu Amilah memandang anaknya tajam-tajam. Irihatinya bertambah menjadi-jadi
melihat kecantikan anaknya – kecantikannya sendiri yang direbut anaknya. …”
(Halaman
8)
Pemikiran yang berikutnya adalah
tentang ketaatan seorang anak terhadap ibunya, meskipun ibunya itu selalu
mencemuh dan membencinya. Mesej ini
dapat dilihat daripada watak Salamah yang sedaya upaya cuba menjaga hati
ibunya, walaupun dia mengerti bahawa ibunya selalu mencari kesalahan
dirinya. Walau bagaimanapun, sebagai
seorang anak yang baik, dia cuba menasihati ibunya. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan
berikut:
“Mak, katanya, “Kak Aman bilang padaku,
bahawa aku harus menghormati dan menghargai orang tua – menghormati dan
menghargai emak. Mak, kalau bukan
anak-anakmu sendiri yang berbuat begitu, siapakah yang akan berbuat begitu?
Siapa lagi orang di dunia ini yang sudi? Siapa? Tapi pada kami emak masih juga
marah-marah saja. Emak selalu
memaki-maki. Kami selalu menerima
kemarahan dan cacian itu dengan kesedihan yang terlalu menyengsarakan. Pada orang lain emak tak bias berbuat begitu. Kalau emak berbuat juga, emak mencari
musuh. Emak, engkau selamanya mencari
musuh. Di mana saja setahuku”.
(Halaman
10)
Seterusnya
adalah kebertanggungjawaban. Pemikiran
atau mesej ini turut dapat dilihat menerusi watak Salamah. Sebagai anak yang paling tua selepas
ketiadaan abangnya (Sa’aman), Salamah merasa bertanggungjawab untuk menyara
keluarganya meskipun ibunya tidak mengizinkannya. Hal ini dapat dilihat melalui petikan di
bawah:
“Emak,
aku ingin sekali melaksanakan apa yang sudah dikatakan dan dijalankan oleh Kak
Aman – adik-adik harus disekolahkan terus. Dan aku sangggup. Aku tamatan
sekolah rakyat. Aku bisa baca-tulis. Dan aku bisa juga bicara Belanda. Dan
selama ini Kak Aman turut mengajar aku juga. Mengapa aku takkan sanggup
membelanjai keluarga kita? Hanya saja aku tak punya pakaian. Tapi pakaian bagus
tak begitu perlu untuk kerja di bagian menempelkan etiket dan melipat kertas.
Kawanku si Jaja sudah menjanjikan. Atau aku kerja saja di pabrik sabun? Asal
emak memberi izin-Mak, berilah aku izin. Izin saja, mak?”
(Halaman 11)
Salamah
berusaha sedaya upaya untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga setelah
abangnya Sa’aman ditangkap oleh pihak Belanda.
Selain itu, Salamah juga merasa bertanggungjawab untuk menanggung
persekolahan adik-adiknya yang lain.
Justeru, dia tekad mencari dan keluar bekerja, meskipun ibunya tidak
membenarkannya. Salamah tetap nekad
untuk keluar mencari kerja walaupun ibunya, iaitu Amilah tidak mengizinkannya
kerana menurutnya, kerja yang dilakukannya itu tiada salahnya, malah menjadi
satu keperluan untuk mereka sekeluarga.
Selanjutnya,
pemikiran yang menggambarkan cinta itu buta turut dipaparkan dalam karya
ini. Pemikiran ini ditimbulkan menerusi
watak Alimah yang sangat mencintai sepandri Benni telah mendorongnya untuk
berlaku tidak adil dalam memberikan kasih sayang buat anak-anaknya. Dia bahkan
sentiasa bersikap bengis terhadap anak-anaknya, kecuali Sa’aman yang merupakan
anaknya dengan sepandri Benni tersebut.
Hal ini jelas terpancar menerusi petikan berikut:
“Dan
Amilah merenungi pintu lagi. Tak sudi ia mendengarkan kata orang. Apa lagi
kalau orang itu anaknya sendiri-anak kemarin dulu! Namun lain halnya bila ia
berhadapan dengan Sa’aman. Sa’aman luarbiasa buatnya-dalam segala-galanya. Ia
tak tahu mengapa begitu. Hanya yang ia tahu-ia seorang-bapak si Aman ialah
satu-satunya lelaki yang sungguh-sungguh dicintainya…
(Halaman 10)
Akhir
sekali, pemikiran yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam karya ini adalah
pembelotan terhadap tanah air si pembelot itu sendiri. Hal ini dapat ditinjau melalui watak Paijan,
iaitu bapa kepada Kartiman, Canimin, Sa’aman dan adik-adiknya yang lain telah
berkhidmat dengan pihak musuh, iaitu Nica yang merupakan pasukan musuh
Belanda. Buktinya boleh dilihat
berdasarkan petikan di bawah:
“Ingeris
mendarat. Nama Nica ribut disebut oleh tiap mulut. Disebut oleh anak-anak, oleh
orang dewasa. Oleh orang tua, oleh bayi-bayi yang sedang belajar bicara. Nama
itu tak ubahnya dengan nasi yang teramat sulit di waktu itu. Dan sebulan
sesudah itu pertempuran mulai mengamuk di seluruh kota Jakarta. Dan pada suatu
hari-hari yang takkan bisa ia lupakan – bapaknya, Kopral Paijan, pulang ke
rumah. Ia diantarkan oleh truk dan banyak barang dibawanya dengan truk itu.”
(Halaman 40)
Disebabkan
Paijan ini membelot dan berada di sebelah pihak musuh, maka dia telah diberikan
ganjaran yang berupa harta benda yang sangat banyak. Justeru, Paijan berasa sangat gembira dan
bangga dengan pangkat yang diperolehinya daripada pihak Belanda tersebut.
Secara keseluruhannya, karya
Keluarga Gerilya ini mengisahkan tentang perjuangan sekelompok masyarakat yang
ingin mempertahankan tanah air daripada dicemari tangan pihak musuh, iaitu
pihak Belanda.
2.3 Ciri-Ciri Kepengarangan dan Estetika
dalam Keluarga Gerilya
Umum
mengetahui bahawa sastera merupakan hasil penciptaan seni kreatif. Sastera juga
menggunakan medium bahasa untuk menyampaikan maksud dan tujuannya. Keadaan ini
disokong oleh beberapa elemen teknik untuk membentuk kekuatan sesuatu
karya. Karya yang tercipta menjadi tatapan pembaca. Dari itulah berlaku dialog, dialog pengarang dengan
pembaca, dialog dalam diri pembaca sendiri, dialog dalam kumpulan yang lebih
besar, sehingga membentuk pemikiran dan budaya. Ia membentuk nilai,
mewujudkan konsep estetik yang meresap jauh ke jiwa pembaca dan menjadi wahana
yang ampuh dalam menyatupadukan masyarakat. Seseorang pengarang perlu mempunyai
pengalaman artistik dan berharga kerana ianya akan mempengaruhi daya kreativiti
seorang pengarang. Pengalaman yang diperolehi oleh pengarang kebiasaannya
dikutip melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan pengaruh, pembacaan,
pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja unsur yang
hadir termasuklah yang bersifat konseptual dan kontekstualan. Pendek kata,
kepengarangan dapat dirumuskan sebagai cara atau bagaimana seseorang itu
menulis bagi mendapatkan sebuah jalan cerita yang lengkap. Teknik kepengarangan
juga merujuk kepada kebijaksanaan seseorang pengarang dalam menyampaikan
ceritera sesebuah cerita.
Apabila
membicarakan tentang sesebuah karya sastera, kita tidak dapat lari daripada
memperkatakan tentang konsep estetik yang wujud dalam sesebuah karya sastera
itu. Estetik atau keindahan dalam sesebuah karya sastera hanya ditemui melalui
penilaian dan penghayatan. Perkataan estetik berasal daripada perkataan Yunani
iaitu “aesthesis” yang membawa makna kepekaan. Istilah ini memberi tumpuan
hanya kepada hal-hal yang bersangkutan dengan ungkapan indah.
Keindahan puisi ialah memiliki makna yang kuat, padu dan teguh yang
disampaikan secara eksplisit atau implisit dengan bahasa yang sesuai dan
sederhana. Dalam prosa pula menggambarkan pengalaman kehidupan, yang asli atau
realiti, berunsurkan kesuraman. Ciri-ciri kepengarangan yang terdapat dalam
novel Keluarga Gerilya, antaranya ialah:
2.3.1 Pengalaman Sebenar
Hasil
penulisan novel ini berkisarkan kisah hidup dan pengalaman sebenar pengarang.
Oleh sebab itu, hasil penulisan beliau lebih bersifat nyata, hidup dan berkesan
kepada para pembaca. Tulisan yang dihasilkan oleh pengarang banyak menyentuh
jiwa dan perasaan bukan sahaja kepada pengarang, malah kepada pembaca itu
sendiri. Hal ini demikian kerana mungkin disebabkan oleh pengalaman pengarang
sendiri yang sudah berkali-kali dipenjarakan. Hasil penulisan yang dihasilkan
juga lebih banyak menceritakan tentang sesuatu perkara yang benar-benar terjadi
pada zaman pengarang. Penceritaan yang dihasilkan ini akan memberikan keindahan
kepada jalan cerita ini. Misalnya, digambarkan oleh pengarang kehidupan di
bawah penguasaan penjajah dan pada zaman peperangan.
2.3.2 Mengambarkan Seorang Pengarang yang Kuat dan
Tabah
Novel
Keluarga Gerilya yang dihasilkan oleh pengarang ini jelas menggambarkan
keutuhan dirinya sendiri dalam keadaan yang dihadapinya. Hal ini demikian dapat
dilihat melalui gambaran watak utama yang dinamakan Sa’aman untuk menggambarkan
perwatakan sahabat karibnya sendiri, iaitu Wahab. Pengarang juga kuat dan tabah
dalam memerihalkan dan mengulas satu persatu perwatakan Wahab dalam gambaran
Sa’aman berserta dengan segala kesusahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh
mereka sepanjang hidup bersama.
Mereka selalu bersama dalam apa jua
yang dilakukan. Sehinggalah Wahab akhirnya dihukum mati oleh Belanda. Keadaan
ini benar-benar menguji kekuatan dan ketabahan beliau untuk mendepani hari-hari
yang berlalu. Kehilangan orang yang tersayang betul-betul mencabar tahap
kemanusiaannya sehingga beliau banyak mengurungkan diri. Kehidupannya
seolah-olah terhenti kerana tunjang kekuatannya sudah tiada lagi di sisinya.
Sepanjang tempoh berkurung itu, pengarang banyak menulis mengenai Wahab, dan
empat minggu berikutnya, maka terhasillah ‘Keluarga Gerilya’ ini.
2.3.3 Olahan
Jalan Cerita
Pengarang
novel ini bijak mengolah jalan cerita ini sehingga ianya kelihatan menarik dan
sering kali mendapat tempat di hati pembaca setia. Pramoedya bijak mengolah
jalan cerita dengan mengaitkan serba sedikit berkaitan dengan pengalaman hidup
sebenar, yang betul-betul berlaku pada saat dan ketika itu. Plot atau kronologi
penceritaan juga dihuraikan dengan baik, bermula daripada kisah tragis yang
berlaku dalam sesebuah keluarga pejuang yang mengorbankan segala-galanya demi
kemerdekaan negara. Korban nyawa, korban masa depan, korban ayah dan korban
segalanya. Ayah dibunuh kerana menjadi tali barut Belanda. Ibu hilang akal
kerana mengenangkan nasib anak-anak. Anak-anak lelaki semuanya berjuang
menyertai revolusi kemerdekaan. Anak perempuan tidak bersekolah dan
mencari kerja kerana derita kehilangan sumber pencarian.
2.3.4 Penggunaan
Unsur-Unsur ‘Tricky’
‘Tricky’
didefinisikan sebagai helah atau pedaya. Pengarang memperlihatkan susunan perkataan yang
cukup indah dan terperinci untuk setiap babak yang dihasilkan. Kematangan dalam
mengolah sesuatu plot atau jalan cerita menjadikan karya-karya Pramoedya sangat
unik dan berkesan kepada pembaca sehingga sukar untuk mencari kekurangan dalam
pengolahan idea beliau. Begitu juga dengan cerita yang dikarang oleh pengarang
ini melalui watak si ibu, iaitu Amilah yang pada permulaan cerita tidak dapat
dikesan tentang ketidakwarasannya.
Selain itu, unsur ‘tricky’ ini juga
hadir dalam cerita mengenai baju kebaya Salamah, iaitu anak perempuan sulung
Amilah yang dikatakan hilang apabila Salamah meletakkan bajunya di penjuru
katil sebelum dia ke bilik air untuk membersihkan diri. Baju tersebut dikatakan
hilang apabila dijual oleh ibunya, Amilah kerana ingin membeli peralatan dapur
bagi measak lauk kesukaan anak kesayangannya, Sa’aman. Selain itu, terdapat
juga unsur-unsur ‘tricky’ yang digunakan oleh pengarang dalam bahagian-bahagian
yang lain.
Teknik kepengarangan yang begitu unik
dan indah inilah menjadikan jalan cerita ini kelihatan indah dan menimbulkan
tanda tanya dalam diri pembaca akan situasi yang bakal terjadi selepas itu.
Keupayaan dan keistimewaan hasil penulisan yang dimiliki oleh pengarang ini,
iaitu Pak Pram jarang-jarang dimiliki oleh pengarang lain. Keadaan inilah yang
telah menjadikan karya Pak Pram mendapat perhatian daripada ramai pembaca.
2.3.5 Memasukkan
Nilai Keagamaan
Seperti
yang kita sedia maklum bahawa nilai keagamaan sangat penting dalam kehidupan
ini. Agama dapat dijadikan landasan yang baik dalam kehidupan manusia. Walaupun
di permulaan cerita ini sudah diceritakan betapa hinanya watak yang ditonjolkan
oleh si ibu, iaitu Amilah yang garang terhadap anak-anak dan pernah menjadi
perempuan tangsi. Namun, di suatu sudut yang lain, pengarang tidak terlupa
memasukkan nilai keagamaan dalam jalan cerita ini. Hal ini dapat dilihat
melalui watak Sa’aman yang bertanggungjawab terhadap adik-adiknya dan tidak
terlupa untuk memohon pertolongan daripada Tuhan. Selain itu, dalam cerita ini
juga diceritakan tentang watak Canimin dan Kartiman yang selalu memohon doa
daripada Tuhan atas segala dosa-dosa mereka. Situasi ini dapat dilihat melalui
contoh petikan berikut:
“-dan bila aku kembali kepadaMu,
“Kartiman menyambung permohonannya, seakan-akan Tuhan betul-betul ada di
depannya, “dan bila Engkau tak sudi mengampuni makhlukMu ini, aku rela juga
bila jiwaku tinggal terliputi dan terperciki darah musuh yang ku binasakan….
(Halaman
38)
2.3.6 Seni
Bahasa
Pengarang
juga turut menggunakan beberapa contoh unsur bahasa yang indah-indah dalam
setiap perincian huraiannya. Antara contoh seni bahasa yang sering digunakan
dalam teks penulisan ialah metafora, personifikasi, simile, hiperbola,
simbolik, repetisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam teks
penulisan bagi menimbulkan keindahan dan kepelbagaian maksud cerita yang cuba
disampaikan oleh pengarang. Dalam novel Keluarga Gerilya, terdapat juga
beberapa penggunaan bahasa yang indah bagi memberi keindahan kepada jalan
cerita novel ini. Antaranya ialah:
2.3.6.1
Hiperbola
Hiperbola merupakan sejenis
bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud
yang sebenarnya. Jenis gaya bahasa ini sering digunakan untuk meluahkan
perasaan mahupun tanggapan secara melampau. Hiperbola mampu menekankan sesebuah
penerangan dengan lebih mendalam. Contoh penggunaan gaya bahasa hiperbola dalam
novel ini ialah:
“Engkau
kan ada Lee Enfield?” terdengar kopral itu memberanikan.“Baik-baik sekali! Aku
suka kalau adikku sendiri
yang memecahkan tempurung otakku.
Aku toh sudah tercat,
Maman!.
(Halaman
37)
2.3.6.2
Simile
Simile
merujuk kepada perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang menggunakan unsur-unsur
perlambangan dan ditandai dengan bak,
laksana, seperti, bagai, umpama dan sebagainya. Sebagai contohnya dapat
dilihat dalam contoh petikan berikut:
Kemudian
ia diam lagi dan mulutnya berkecumik seperti
berkata-kata pada Sa’aman.
(Halaman
80)
2.3.6.3
Anafora
Menurut Corbett dan Connors dalam buku Abu Hassan
Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) juga, anafora merujuk kepada pengulangan
perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang
berurutan. Contohnya seperti berikut :
Malam sudah sepi sekarang. Bulan tidak
timbul. Dan harapan pun tidak
menyala. Harapan telah lama mati dari keluarga manusia itu. Dan sekiranya masih ada, maka itu
adalah harapan yang membuta-tuli. Dan
tak ada kabar yang datang.
2.3.6.4 Sinkof
Sinkof
boleh didefinisikan sebagai penyingkatan sesuatu perkataan. Contoh penggunaan
sinkof dalam novel ini, tak, saja, ku, yang sepatutnya tidak, sahaja, kakak,
aku. Contohnya ialah:
“Jadi tak belanja kita sekarang, kak?”
“Belajarlah saja.”
Kertas tulisku sudah habis.”
“Baca saja. Tak usah menulis.”
(Halaman
80)
2.3.6.5
Personifikasi
Personifikasi
dikenal juga sebagai perorangan atau penginsanan. Personifikasi membawa maksud
tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada daripada segi perasaan,
perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau
hal-hal yang abstrak. Tamsilannya dapat dilihat melalui petikan di bawah:
Tenang dan aman api dapur menjilati pantat periuk nasi.
(Halaman 81)
2.3.6.6 Metafora
`
Metafora
pula merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan
kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat, dan sebagainya Metafora ialah
perbandingan yang menggunakan kata konkrit (boleh nampak) dengan kata abstrak
(tidak boleh nampak). Misalnya ialah:
Kadang-kadang aku merasa kesepian dan ketakutan pada malam
dan pada hari depan kalau aku toh harus mati di bawah langit putih dan taka da azan meniupi
kupingku.
(Halaman
92)
Terutama kalau hujan kecil turun,
dan dingin – aku rasa tangan maut
sudah meraba kakiku.
(Halaman
93)
2.4 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Keluarga Gerilya
2.4.1 Konsep Budaya
Budaya
adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah
kelompok orang, serta diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk
dari banyak unsur yang rumit, termasuklah sistem agama dan politik, adat
istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan, dan karya seni. Jadi, budaya
adalah elemen yang membezakan manusia daripada hidupan lain. Istilah budaya
banyak digunakan dalam bidang antropologi. Budaya berasal daripada perkataan
Sanskrit, iaitu buddayah yang
merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi
yang bermaksud budi pekerti atau akal manusia. Budaya dalam pengertian
biasa ialah suatu cara hidup manusia dan membawa makna yang sangat luas. Dengan
prinsip bahawa budaya itu dicipta oleh manusia, maka budaya itu perlu dan
dihasilkan oleh manusia itu sendiri bagi keperluan hidup.
Dari sudut etimologi, perkataan
“budaya” berasal dari akar kata yang tersusun daripada dua perkataan yang
terpisah iaitu “budi” dan “daya”. Kalimah “budi” bererti cahaya atau sinar yang
terletak di dalam batin manusia. Perkataan “daya” bertalian dengan upaya, iaitu
usaha, keaktifan manusia melaksanakan dengan anggotanya apa yang digerakkan
oleh budinya. Manakala dari pandangan Inggeris, istilah budaya disebut culture berasal dari perkataan Latin colere yang bermaksud menyedia dan
mengerjakan tanah atau menanam. Oleh itu, istilah budaya berkait rapat dengan
‘adab’ atau ‘peradaban’. Budaya dapat disimpulkan sebagai keseluruhan cara
hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak
rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu
kelompok masyarakat.
2.4.2 Konsep Pandangan Hidup
Pandangan
hidup merupakan satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara
keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi
oleh satu sistem nilai yang tertentu. Ia juga bererti pendapat atau
pertimbangan yang dijadikan pegangan, pedoman, arahan, petunjuk hidup di dunia
bagi membimbing kehidupan jasmani dan rohani manusia. Pendapat atau
pertimbangan itu hasil pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut
waktu dan tempat hidupnya.
Menurut
pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah
bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan
hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat dari
mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Pandangan hidup terbahagi
kepada tiga, iaitu:
(i)
Pandangan hidup yang berasal dari agama, iaitu pandangan hidup yang
mutlak kebenarannya.
(ii)
Pandangan hidup yang berupa ideologi, iaitu bersesuaian dengan
kebudayaan dan norma yang terdapat pada negara.
(iii)
Pandangan berdasarkan renungan, iaitu pandangan hidup yang relatif
kebenarannya.
Sehubungan dengan itu, pandangan
hidup orang Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan
alam dan hubungan sesama manusia. Secara keseluruhannya, pandangan hidup orang
Melayu telah melalui beberapa peringkat evolusi dan diperincikan kepada tiga
bahagian, iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat. Karya sastera adalah
cerminan masyarakat dalam nilai budaya dan pandangan hidup masyarakat Gerilya.
Orang Indonesia sangat menghargai nilai budaya kerana ia merupakan satu prinsip
untuk menjamin masyarakat yang harmoni, tenang dan tenteram, tanpa perselisihan
dan pertentangan, iaitu bersatu-padu dan saling membantu. Jika diteliti orang
Indonesia sangat mementingkan nilai-nilai budaya. Hal ini sangat penting bagi
menjamin semua orang sedia bekerjasama, saling mengambil sikap menyerah dan
bersepakat (Suseno 1988: 39).
Salah satu nilai budaya yang
terdapat dalam novel “ Keluarga Gerilya” ialah pengorbanan. Pandangan hidup
masyarakat dalam “ Keluarga Gerilya” lebih mengutamakan kepentingan masyarakat
dan negara daripada kepentingan diri. Nilai inilah dapat melahirkan masyarakat
yang harmoni. Karya ini menggambarkan semangat bangsa Indonesia yang rela
berkorban dan menderita, khususnya dalam perjuangan revolusi. Dalam novel ini,
pengarang menggambarkan watak Sa’aman sebagai pelopor yang mengadakan gerakan
di bawah tanah sejak aksi polis yang pertama. Akhirnya, dia ditangkap polis
tentera Belanda. Akibatnya, keluarganya yang terdiri daripada ibunya dan semua
adiknya menderita kerana sudah kehilangan orang yang mencari nafkah hidup
mereka. Canimin dan Kartiman, kedua-dua adik Sa’aman bukan sahaja sudah menjadi
perajurit Gerilya di barisan hadapan, tetapi juga telah membunuh bapa mereka
kerana dia sanggup menjadi pengkhianat dan penghalang kepada perjuangan merdeka. Penderitaan mereka
bertambah buruk setelah Amilah, ibu mereka menunjukkan gejala sakit jiwa.
Selepas itu, Kartiman dan Canimin pula gugur dalam medan pertempuran, sementara
Sa’aman dijatuhi hukuman mati.
Selain itu, nilai ketabahan dalam
menghadapi dugaan dan cabaran “Keluarga Gerilya”. Hal ini menjelaskan bahawa
melalui kekuatan rohani mampu menjadikan seseorang individu yang tertawan itu
terus ‘bebas’ dan tabah menjalani kehidupannya. Apabila kita meneliti kekuatan
spiritual atau rohani yang ada kepada Sa’aman, pembaca berupaya memahami rahsia
di sebalik kekuatan, semangat dan ketabahan beliau. Para pembaca
dapat menyelami penderitaan sebuah
keluarga semasa menghadapi zaman penjajahan dan penderitaan yang dialami oleh
seorang insan yang telah dipenjarakan. Kehidupan dalam penjara akhirnya menjadi
lokasi terpenting perjuangan Sa’aman. Meskipun secara fizikal diri Sa’aman
telah dipenjara, namun dua lagi unsur penting kejadian seorang insan, iaitu
rohani atau ‘spritual’ dan minda atau intelektual terus bebas. Keadaan ini
jelas kelihatan sepanjang penjalanan hidupnya di dalam tahanan. Keadaan Sa’aman
yang tenang dan tabah dalam menanti saat genting, saat untuk menerima hukuman
mati yang perlu dilaluinya, menggambarkan keaslian dirinya, seorang yang memiliki
rohani yang kuat. Kisah tragis sebuah keluarga pejuang kemerdekaan Indonesi
menentang Belanda di Daerah Merdeka dan mereka terpaksa mengorbankan
segala-galanya demi sebuah kebebasan. Kepentingan erti kehidupan mereka yang
lebih menghargai sebagai sebuah keluarga pejuang kemerdekaan.
Di samping itu, nilai kemanusiaan
dalam watak-watak “Keluarga Gerilya”. Watak-watak penting yang telah berjaya
digambarkan oleh pengarang dengan jelas dan mesej tentang kemanusiaan.. Dari
segi peribadinya, kemuliaan hati nurani Sa’aman pernah diakui oleh seorang
perajurit, ia boleh dilihat sebagaimana contoh berikut:
“...
Sudah lama aku bergaul dengan Kak Aman,
setidak-tidaknya aku kena pengaruhnya. Dan dia begitu baik. dan dia banyak
berfikir...”
(Halaman 30)
Kebaikannya
juga telah diketahui oleh jiran-jirannya...’
“Kasihan,
nak Aman’ kata tetangga, ... ‘dia anak baik-baik...”.
(Halaman 141)
Namun demikian, Sa’aman juga
terpaksa mengorbankan nilai kemanusiaan, iaitu dengan melibatkan diri dalam
pembunuhan bapa tirinya, iaitu Kopral Paijin bin Suto. Perkara ini yang
dipaksanya sendiri untuk menjalani kekejaman dan pembunuhan agar orang yang ada
di bumi yang dipijak ini tak perlu lagi melakukan seperti itu untuk meneruskan
kehidupan mereka. Walaupun Sa’aman seakan menyesal dengan perbuatannya membunuh
bapa tirinya, namun jauh di sudut hatinya perbuatan yang dilakukan adalah demi
bangsanya dan dia yakin bahawa itulah perkara yang terbaik yang telah dilakukan
terhadap tanah airnya. Kita melihat pandangan hidup seorang insan sanggup
berkorban nilai kemanusiaan demi menegakkan kebenaran dan keadilan.
Dalam pada itu, penderitaan yang terpaksa
dilalui oleh keluarga Gerilya. Dilema kehidupan dalam perjuangan untuk
membebaskan diri dari belenggu penjajahan Belanda. Kesegaran watak Sa’aman
mampu untuk meruntun perasaan para pembaca tentang penderitaan sebagai seorang
tawanan yang amat menghargai nilai kemanusiaan. Contohnya, di dalam kes
Sa’aman, penderitaan yang terpaksa ditanggungnya selama tiga bulan dalam
penjara merupakan suatu penderitaan yang tidak dapat dielakkan. Sa’aman juga
pernah berkata bahawa;
“...
Kita harus merelakan mereka. Dan
kadang-kadang mereka itu berangkat pergi untuk tak kembali lagi. Engkau sendiri
pun sudah mengerti bahawa orang yang berangkat berjuang bukanlah hak keluarga
lagi, tapi sudah jadi hak tanah dan bangsa yang diperjuangkannya...”
(Halaman 134)
Selain itu, penderitaan yang
ditanggung oleh Sa’aman terutama apabila mengenangkan adik-adiknya dan juga
ibunya, terdapat ada satu nilai yang besar padanya. Nilai dalam penderitaan
inilah yang menjadikan dia terus kuat untuk mengharungi kehidupannya dalam
penjara sehingga sanggup menolak tawaran Van Keerling untuk lari dari penjara
kerana bagi Sa’aman takdir telah ditentukan padanya untuk berjuang meskipun
secara tertawan. Nilai ini telah mempamerkan sifat harga diri Sa’aman yang
begitu tinggi sebagai seorang yang jelas tentang tujuan dan makna dalam
hidupnya Sa’aman mampu memberi senyuman dan hanya berterima kasih atas pelawaan
tersebut dan dia menegaskan bahawa itu bukan keputusannya. Watak Sa’aman ini
merupakan salah seorang antara beribu-ribu pemuda yang bertekad dengan rela
menyerahkan jiwa raga mereka untuk tanah air dan bangsa, pada hakikatnya dia
telah menemui tujuan sebenar dalam kehidupannya meskipun tindakan yang perlu
diambilnya itu mengundang penderitaan yang bukan sedikit. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa penderitaan itu mengajar dan mendidik diri kita agar
menghargai erti sebuah kehidupan.
Seterusnya, semangat perjuangan
dalam menentang penjajah. Pengarang menggambarkan watak Sa’aman begitu semangat
demi rasa cinta terhadap tanah air dan
membebaskan bangsanya dari belenggu penjajah Belanda. Sa’aman seorang yang sanggup
membunuh bapa tirinya kerana bapa tirinya telah menjadi tali barut Belanda
akhirnya terpaksa menghabiskan hari-hari akhirnya kehidupannya di dalam
tahanan. Penglibatan Sa’aman dalam perjuangan membebaskan bangsanya dari
belenggu penjajah boleh dianggap sebagai satu keputusan untuk memberi nilai
yang tinggi terhadap kewujudan dan kehidupannya. Namun, sisa-sisa kehidupan
terakhir yang dilaluinya ini sarat dengan makna dan tujuan sebenar kehidupannya
sebagai seorang perajurit. Salamah, seorang gadis sunti yang berusia 19 tahun
terpaksa mengambil peranan abangnya, membantu adik-adiknya yang mengharapkan
belas kasihan daripada tunangannya Darsono. Kartiman, adiknya memiliki kawalan
emosi yang agak lemah dan seorang yang pemarah serta melibatkan dirinya dengan
perjuangan kemerdekaan menentang Belanda. Kartiman juga telah menembak bapanya
yang menjadi tali barut tentera Belanda. Canimin, abang kepada Kartiman dan
adik kepada Sa’aman yang memiliki muka yang cacat kerana kebakaran menimpanya
dalam pertempuran di Madiun. Kelima-lima watak ini berdiri sebagai watak
penting dalam novel ini kerana penglibatan mereka dalam perjuangan.
Matlamat hidup Sa’ aman sebagai
seorang perjuang. Dia menyatakan
bahawa,
“... Apabila orang telah tekad berjuang,
bejuang untuk tanahairnya dik Imah, dia sudah bersumpah. Dia sudah tekan
kontrak pada tanahairnya...’ Sa’aman meneruskan lagi luahan hatinya;... “Semua
orang yang benar-benar bermaksud berjuang, ya mereka itu sudah bersedia...
bersumpah menyerahkan jiwa dan raganya...”
(Halaman 133)
Misi dan matlamat hidup Sa’
aman sebagai pejuang untuk kebebasan
begitu jelas meskipun perjuangan secara sulit yang dipilihnya. Hal ini adalah
kerana dia amat diperlukan untuk menyara kehidupan keluarganya. Hal ini menunjukkan
pandangan hidup beberapa orang watak dalam novel ini sanggup berkorban
segala-galanya dan sanggup berani mati demi memperjuangkan bangsa dan negara.
Kepentingan ilmu juga ditekankan
dalam novel “Keluarga Gerilya” ini. Sa’aman menasihati adik-adiknya menerusi
surat yang dihantar kepada mereka:
“... Yang
penting dalam hidupmu, adik-adik ku, bukanlah didikan yang kau terima dari
orang. Ini harus kau ingat-ingat! Yang penting ialah didikan yang diberikan
oleh fikiranmu sendiri yang waras pada dirimu ...”
(Halaman 212)
Selain itu, sebagai anak yang turut
sama merasai kegersangan kasih sayang yang sebenarnya dari seorang ibu,
lantaran sikap ibunya yang begitu garang, menasihati adik-adiknya:
“...
Dan kelak, didiklah anakmu sebagaimana
anak manusia harus dididik. Ibu adalah alam tersendiri buat manusia...”
(Halaman 214)
Hal
ini menunjukkan pandangan hidup masyarakat pada waktu ini ialah betapa
pentingnya ilmu dalam kehidupan. Hanya dengan ilmu, dapat mengubah nasib hidup
mereka ke arah yang lebih baik.
Budaya menghormati orang yang lebih
tua ditekankan dalam novel “Keluarga Gerilya” ini. Mentaati ibu bapa
adalah satu kewajipan. Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa.
Pandangan hidup telah meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang paling tinggi.
Contoh petikan menunjukkan bahawa Sa’aman selaku anak kepada Amilah dan abang
yang bertanggungjawab sentiasa menasihati adik-adiknya agar menghormati ibu
mereka. Walaupun ibu mereka agak garang, tetapi sebagai anak mereka wajib
mentaati dan mematuhi segala permintaan ibu mereka.
“Mak, katanya, “Kak Aman bilang padaku,
bahawa aku harus menghormati dan menghargai orang tua – menghormati dan
menyayangi emak .
(Halaman 10)
“Dan kata Aman selanjutnya,” ia menyambung
bisikannya mengulangi kata-kata Sa’aman, ‘aku tahu juga, engkau akan mendapat
kesulitan dari emak. Tapi, jangan takut Amah, semua harus kau kerjakan. Engkau
dan Imah. Dan jangan lupa – hormati dan hargai selalu emaknya yang sudah tua
itu. Jangan sakiti hatinya.”
(Halaman 15)
Akhir sekali, sifat bertanggungjawab
setiap perkara yang dilakukan. Hal ini menjelaskan pandangan hidup seseorang
yang benar-benar memiliki perasaan tanggungjawab yang tinggi sanggup
mengetepikan kesenangan peribadi. Contohnya, Sa’aman menyatakan bahawa:
“orang
berjuang untuk membebaskan tanah air dan bangsanya dari diperbudakkan adalah
sesungguhnya lebih suci daripada orang yang belum pernah berdosa selama
hidupnya, malah lebih suci daripada orang yang pulang naik haji dengan serban
setebal gendang, juga lebih suci daripada orang yang seumur hidupnya hanya
bersembahyang kerjanya. Kerana mereka itu mencari syurga hanya untuk dirinya
sendiri, tetapi orang berjuang adalah menyediakan syurga untuk berpuluh juta
manusia bangsanya”.
Hal ini kerana perasaan tanggungjawab
inilah hukuman terhadap perbuatannya membunuh seramai lebih dari lima puluh
enam orang militer diterimanya dengan lapang dada. Dia memang rela untuk mati
digantung atau ditembak atau dipancung. Dalam keadaan yang sukar Sa’aman masih
mampu untuk menyuarakan isi hatinya bahawa:
“... Dosaku
banyak. Lebih dari lima puluh ku bunuh – ku hancurkan sumber penghasilan
keluarganya. Tapi kerana aku merasa bertanggungjawab atas segala perbuatanku –
atas segala dosaku, aku serahkan
semuanya itu kembali kepada Tuhan”.
(Halaman 130)
2.5 Nilai Ilmu dalam Keluarga
Gerilya
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan
nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai membolehkan manusia
membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu,
nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga
menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) juga memberikan definisi terhadap ilmu sebagai
pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Oleh itu
dapat dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu
itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai
maklumat.
Terdapat
beberapa jenis nilai ilmu yang dapat dilihat dalam novel Keluarga Gerilya, antaranya;
2.5.1 Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada
muka, badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang
termasuklah firasat kematian. Kematian seseorang adalah rahsia Allah. Semua
tidak akan pernah tahu nyawanya akan diambil Sang Pencipta bahkan Nabi
sekalipun. Meskipun seseorang tidak akan pernah tahu waktu datangnya ajal
tetapi seseorang itu akan merasai dan alami tanda-tanda atau firasat bahawa
kematian itu semakin dekat. Walau bagaimanapun kebenarannya hanya Allah Yang
Maha Mengetahui.
Dalam
novel Keluarga Gerilya pengarang memaparkan ilmu firasat mengenai
kematian. Diceritakan dalam novel ini mengenai tanda-tanda orang yang akan
menemui kematian. Diceritakan dalam novel ini saat-saat sebelum ajal menjemput
dalam pelbagai keadaan. Para gerilya yang telah meninggal dunia dalam
peperangan juga mengalami firasat seperti yang diperkatakan oleh pengarang.
“Itu
dia,” kata Ahmad. “Yang sipit itu! Dia itu, ada juga tanda-tandanya waktu
hampir-hampir mati. Sebentar dia murung. Sebentar dia gembira seperti pemuda
terbalas cinta-pertamnya. Sebentar lagi murung sambil menyanyikan lagu ‘Selamat
tinggal, Ibunda’, lamat-lamat. Kemudian dia mati konyol – tertembak waktu
bercanda.”
(Halaman
43)
Walaupun
meninggal dalam peperangan dan pertempuran, seseorang itu berkelakuan aneh,
tidak seperti biasa. Hanya orang terdekat sahaja dapat merasainya seperti kawan
baik dan ahli keluarga yang sudah mengenali sikap dan perangai seseorang.
“Ya,
pak. Sebelum guru dia jadi pendiam. Dalam sehari sebelum guru itu tak
sepatahpun dia mengeluarkan suara. Di dapur umum dia makan diam-diam saja. Cabe
rawit sekepal dihabiskannya. Dan kalau ada orang mendekat mau mengganggu atau
mengajak bercanda dia pergi menjauh sorder bilang apa-apa. Kemudian dadanya
hancur kena pecahan mortir di pertempuran Cibarusa – belah – tepat kena
dadanya…”
(Halaman
43)
Beberapa
minit sebelum Kartiman meninggal dunia, dia berpesan kepada abangnya, Canimin
supaya sampaikan salam kepada ibu dan adik-beradiknya serta memohon maaf kepada
mereka atas kesalahannya. Ternyata dia telah mendapat firasat akan datangnya
kematian.
“Kak Mimin -, kelak sampaikan
salam pada emak. Pak Kak Aman. Pada Amah. Pada Imah. Pada Mimi. Pada Hasan. Dan
Ratni – pelihara dia baik-baik. Dan maafmu untukku. Dan maafku untukmu. ..”
(Halaman 45)
Tanda-tanda
kematian itu hanyalah kiraan manusia sahaja. Tetapi ajal seseorang adalah hak
mutlak Allah. Seperti yang diajarkan dalam Islam, kematian itu tidak kira
waktu, tempat dan keadaan. Oleh itu, setiap manusia yang masih hidup sentiasa
berada dalam keadaan baik dan berbuat baik serta menjaga hubungan dnegan Allah supaya
kematian kelak dalam husnul khatimah.
2.5.2 Ilmu Agama
Ilmu agama paling menonjol bagi
kebanyakan pengarang yang beragama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila
permulaan Islam diperkenalkan kepada umat Melayu, diperlukan pengembangan
ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan
akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam,
iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah) dan hubungan dengan sesama
manusia dan bahkan makhluk lain (hablum min al-nas).
Berdasarkan
novel Keluarga Gerilya, beberapa orang watak tampil sebagai orang
beragama walaupun hidup dalam keluarga yang serba kekurangan. Pendidikan agama
anak-anak Amilah jelas kelihatan walaupun Amilah itu adalah bekas perempuan
tangsi. Anak-anak Amilah digambarkan anak-anak yang soleh, yang ingat kepada
Allah ketika susah mahupun senang. Nilai Islam ditunjukkan melalui watak
Sa’aman, Salamah, Canimin, Kartiman, dan Hassan.
Kartiman
memohon ampun kepada Tuhan atas kesalahannya membunuh bapanya sendiri iaitu
Paijan. Kartiman tetap berasa bersalah atas dosa yang dilakukannya tetapi juga
berasa betul dengan tindakannya itu untuk mempertahankan negaranya daripada
terus dijual oleh orang seperti bapanya. Hal ini menunjukkan bahawa Kartiman seorang
anak dan perajurit yang masih ingat Allah dan mengharapkan dosanya diampunkan.
“…Ya, Tuhan – sekiranga ini dosa
yang sehina-hinanya – ya, Tuhan, berilah aku ampun selama ada kesempatan padaMu
untuk mengampuni.”
(Halaman 30)
“Tuhanku!” katanya kehamba-hambaan,
“-biarlah aku mengagumi fajar merah sekali lagi. Dosaku banyak. Aku tahu. Dan
Engkau mahamengetahui. Engkau sendiri yang mengizinkan dosa-dosa itu berlaku di
dunia ini..”
(Halaman 39)
Walaupun
Kartiman menjadi perajurit, tanggungjawabnya sebagai orang Islam tidak
ditinggalkannya. Kartiman juga seorang perajurit yang menjaga solatnya di mana
sahaja dia berada. Dinyatakan dalam novel ini Kartiman meminta izin untuk
sembahyang lalu dia sembahyang di bawah sebuah pohon.
“minta izin – mau sembahyang.”…
perajurit Kartiman bersembahyang di bawah pohon itu. Ia tak mengambil air
wuduk’
(Halaman
39)
Juga
ditunjukkan dalam novel ini bagaimana seorang abang yang prihatin soal agama
berasa bertanggungjawab ke atas adiknya walaupun di saat kematian menghampiri.
Kopral Canimin telah mengajarkan adiknya, Kartiman menyebut kata yang baik
iaitu ‘Alla-hu-akhbar’ ketika adiknya itu nazak akibat ditembak. Berkali-kali
Canimin meminta adiknya mengucap tetapi Kartiman tidak mahu berkata sehinggalah
maut menjemputnya.
“Alla-hu-akhbar!” sebut Canimin. Ia
tunjuk menekuri adiknya. “Sebut, Maman, sebut: Alla-hu-akhbar -Tuhan
mahabesar.”
(Halaman
49)
Kopral Canimin beberapa kali mengulangi
kata “Alla-hu-akhbar” kepada adiknya dan meminta adiknya itu iaitu Kartiman
mengulanginya, namun dia hampa kerana sehingga ke nafas terakhir adiknya tidak
mahu menyebut perkataan itu.
“Menyebut,
Maman – Alla-hu-akhbar – Tuhan mahabesar.”
Tak
tersahut. Hanya nafas gelisah juga terdengar.
“Adikku, adikku, moga-moga engkau
diampuni oleh Tuhan. Sebutlah, adikku, sebutlah: Alla-hu-akhbar – Tuhan
mahabesar. Sebut adikku!”
(Halaman 50)
Watak
salamah juga ada memaparkan nilai agama terhadap adik-adiknya.. Salamah
mengajar adiknya, Salami erti syukur walaupun ujian ditempuhi tetapi mereka masih
hidup aman. Mereka tetap hidup bahagia dan aman walaupun serba kekurangan
tetapi berbeza dengan abang-abang mereka yang lain yang ditangkap oleh M.P dan
menjadi perajurit di gerilya.
“Engkau
aman di kota sini, Mimi. Kerana itu, kalau kita terpasa makan nasi saja – nasi
saja dengan tiada lauk atau sayur – dan barangkali juga kita harus minum the saja sampai kapan
aku tak tahu; janganlah engkau menggerutu. Berterimakasihlah engkau, Mimi.”
Ia
diam lagi sebentar. Kemudian meneruskan dengan suara dalam :
Ya
Tuhan, kami berterimakasih atas segala rahmatMu.”
Ia
memandang Salami. Berkata :
“Berdoalah,
Mimi.”
“Ya Tuhan, kami berterimakasih atas
segala rahmatMu”
(Halaman
78)
Kehidupan
adik-beradik yang serba kekurangan ini dengan kematian bapa dan ibu yang kurang
waras masih mempercayai akan kewujudan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha
Pengampun dosa. Walau keluarga mereka diuji sedemikian rupa, amalan ibadah
seperti sembahyang dan berdoa tetap dilakukan mereka yang menunjukkan bahawa
agama itulah yang menghubungkan antara mereka dan menjadi punca kebergantungan
hidup mereka.
2.5.3 Ilmu Perang
Ilmu perang atau taktik perang adalah
ilmu tentera atau angkatan bersenjata menggunakan muslihat, siasah atau tipu
daya yang ditetapkan oleh strategi. Taktik perang adalah penting dalam sebuah
pertempuran kerana sesebuah negara mampu kalah jika taktik perang tidak
dirancang dengan baik.
Dalam
novel Keluarga Gerilya memaparkan strategi berperang dan ilmu
menggunakan senjata. Pasukan gerilya sentiasa berjaga-jaga daripada sebarang
serangan musuh pada setiap waktu. Walaupun gerilya bukanlah daripada tentera
terlatih yang mempunyai pangkat, sentara yang tidak mencukupi dan ilmu
pertempuran yang cetek, dengan semangat cintakan negara mereka menggunakan
taktik untuk menghadapi peperangan itu.
“Kita akan selamat terus. Pasti!”
sambung Ahmad. “Sebab kita selamanya di pihak penyerang bila musuh sedang
lalai. Dan kita selamanya lari bila musuh menyerang. Kita selamat terus –
sampai di Tanjung Priuk nanti.”
(Halaman
44)
Gerilya
juga diajar kemahiran menggunakan senjata apabila musuh serang mengganas. Dalam
novel ini tidak dinyatakan secara menyeluruh jenis senjata yang digunakan.
Hanya dinyatakan senjata tangan menembak yang mengeluarkan peluru serta api.
Senjata amat penting dalam peperangan yang melibatkan pihak musuh bersenjata
sebagai alat untuk mempertahankan diri ketika diserang atau menyerang.
…kemudian tembak-menembak mengamuk di penjagaan yang paling terdepan.
Kepada konvoi mulai diserang. Tampak dari leteranya, Cuma satu truk yang ada di
depan saja yang nekat mencerobosi musuhnya… Canimin memuntahkan peluru. Dan
Kartiman juga. Dan api bersemburan. Dan peluru berterbangan seperti percikan
kilat.
(Halaman 48)
Ilmu
perang ini berbeza dengan perang masyarakat Melayu klasik yang hanya berperang
menggunakan keris, parang dan tombak semata-mata. Fenomena ini berubah dek
kemajuan teknologi dan peningkatan aras pemikiran masyarakat.
2.5.4 Ilmu Pendidikan
Ilmu pendidikan merupakan suatu kumpulan
pengetahuan atau konsep yang tersusun secara sistematik dan mempunyai
kaedah-kaedah tertentu yang bersifat ilmiah dalam mempersiapkan diri seseorang
untuk kehidupan yang lebih bermakna. Ilmu pendidikan telah berkembang pesat
seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi lain yang mendukungnya.
Dalam
novel Keluarga Gerilya menunjukkan
bahawa hidup dalam suasana perang tidak menghalang rakyatnya belajar di
sekolah. Asas pendidikan masih diperlukan dan dituntut. Hasan, adik bongsu
Sa’aman menyatakan keputusan ujian pelajarannya iaitu bahasa Belanda, bahasa
Inggeris dan Aljabar atau Matematik.
“Imah,”
katanya pada Patimah., “bagaimana pelajaran hati ini?”
Dan
Patimah menjawab:
“Bahasa
Belanda aku mendapat tujuh. Inggeris sembilan. Aljaba delapan. Senangkah hatimu,
kak?”
Sa’aman
pun berkata gembira:
“He-e.
Nanti kalau engkau lulus dari S.M. dengan baik, engkau meneruskan di S.M.A.”
(Halaman 17)
Salami
juga digambarkan seorang anak yang masih belajar. Dia selalu bertanyakan
kakaknya untuk menyelesaikan tugasan. Salami mempunyai buku untuk belajar bagi
pelajarannya.
..dan
di saat itulah Salami datang di sampingnya membawa buku terbuka di tangannya.
“Kak,”
katanya.
“Mimi,
engkau mendapat kesukaran lagi?
Dan
Salami mengangguk.
:Sulitkah
pelajaran yang kau pelajari?”
“Aku
tak mengerti sama sekali. Sudah ku cuba berkali-kali tapi tak bisa juga.”
(Halaman
83)
Kehidupan
pada zaman peperangan memperlihatkan kesusahan dan penderitaan masyarakat yang
mengalaminya. Walau bagaimanapun, kehidupan masyarakat yang mempunyai asas
agama dan nilai-nilai murni menjadikan kehidupan itu aman walaupun diuji. Nilai
ilmu yang terdapat dalam novel Keluarga
Gerilya memberikan kesedaran dan pengajaran baharu kepada pembaca yang
jelas berbeza kehidupan zaman itu dan sekarang.
3.0 Kesimpulan
Kesimpulannya,
keupayaan pengarang menguasai pengalaman sewaktu di penjara telah memberi
kesempatan untuknya melukiskan watak seorang insan yang mempunyai makna
kehidupan yang jelas. Pemilihan Sa’aman sebagai watak utama banyak digunakan
untuk menyampaikan mesej yang bersifat kemanusiaan. Pengarang telah berjaya
menggunakan Sa’aman untuk menggambarkan pergolakan revolusi. Watak Sa’aman yang
hidup juga telah berjaya membawa pembaca merasai sendiri penderitaan sebagai
tahanan dalam penjara dan pada masa yang sama juga menghargai nilai kemanusiaan
sebenar.
Ceritanya yang sarat dengan nilai
kemanusiaan, yang berjaya diungkapkan dengan susunan perkataan yang indah dan
terperinci telah menjadikan Keluarga Gerilya sebuah rakaman sejarah yang
unik, kerana peristiwa yang dijadikan rujukannya merupakan pengalaman peribadi
pengarang sendiri yang terkandung di dalamnya perihal manusia dan kemanusiaan
yang tinggi. Pengarang telah berjaya menzahirkan nilai-nilai budaya dan
kemasyarakatan semasa menuntut kemerdekaan. Pelbagai konflik budaya dan
kemasyarakatan cuba diungkapkan oleh pengarang melalui bicaranya tentang
falsafah kehidupan. Kisah duka sebuah keluarga yang kehilangan tonggaknya
akibat ditembak anak sendiri, yang memiliki perbezaan fahaman, telah
meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Penerokaan untuk menyelami
watak Sa’aman sebagai seorang pejuang kemerdekaan terbukti berjaya menemukan
pembaca dengan pelbagai rahsia kekuatan, ketabahan dalam berjuang dan yang
paling penting ialah makna hidup bagi seorang pejuang seperti Sa’aman. Maka, di
sinilah dapat dilihat kehebatan dan keistimewaan novel Keluarga Gerilya.
Bibliografi
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris, (2012). Nota Kuliah Semester 1 2012/2013.
Tanjung
Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Ali Ahmad, (1977). Ulasan buku keluarga gerilya
untuk HSC. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti
Neil Turnbull, (1999). Filsafat. Indonesia : Penerbit Erlangga.
Dewan Bahasa dan
Pustaka, (2010). Kamus dewan edisi
keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md
Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani, (2014). Karya agung Melayu. Tanjung Malim :
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pramoedya Ananta Toer, (1977). Keluarga gerilya. Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Antara.
Ratna Roshida Ab Razak, (2010). Memahami watak
Sa’aman dalam keluarga gerilya: Satu pendekatan
logoterapi Frankl. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Coin Casino Review 2021 | $1600 Match bonus + 100 free spins
ReplyDeleteThe best Coin 샌즈카지노 Casino Review 2021. Read our in-depth review of their casino games and 온카지노 claim up to $1600 Bonus + 100 free spins! 인카지노