Friday 29 May 2015

MAKLUMAT UMUM AHLI KUMPULAN




NAMA : AISYAH BINTI MUHD RASHID
NO. MATRIK : D20111047552
KURSUS : ISMP BAHASA MELAYU
ASAL : SETIU, TERENGGANU
SEKOLAH LATIHAN MENGAJAR : SMK CHENDERIANG, TEMOH, TAPAH, PERAK



NAMA : NOR SHAPIKA BINTI HASHIM
NO. MATRIK : D20111047551
KURSUS : ISMP BAHASA MELAYU
ASAL : YAN, KEDAH
SEKOLAH LATIHAN MENGAJAR : SMK BATU KAWAN, PULAU PINANG





NAMA : SITI NOOR AZZIRA BINTI AMRAN
NO. MATRIK : D20111047521
KURSUS : ISMP BAHASA MELAYU
ASAL : JELI, KELANTAN
SEKOLAH LATIHAN MENGAJAR :  SMK BUNTONG, IPOH, PERAK



NAMA : NURHASYIMAH BINTI MAT SAEI
NO. MATRIK : D2011047543
KURSUS : ISMP BAHASA MELAYU
ASAL : BACHOK, KELANTAN
SEKOLAH LATIHAN MENGAJAR : SMK CHENDERIANG, TEMOH, TAPAH, PERAK


NAMA : NURUL NAJIHAH BINTI  RAMLI
NO. MATRIK : D20111047545
KURSUS : ISMP BAHASA MELAYU
ASAL : KUALA TERENGGANU
SEKOLAH LATIHAN MENGAJAR : SMK DATO’ PANGLIMA PERANG KIRI


TUGASAN INDIVIDU : GURINDAM 12











BMS3022 KARYA AGUNG MELAYU

KUMPULAN A


TUGASAN INDIVIDU
______________________________________________________________________________
TAJUK :
KEKUATAN GURINDAM 12
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


NAMA :
NURHASYIMAH BINTI MAT SAEI
D20111047543


PENSYARAH :
DR.. SERI LANANG JAYA BIN HAJI ROHANI


TARIKH HANTAR : 16 MEI 2015

SEMESTER 2 SESI 2014/2015
IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU




1.0       PENGENALAN

Gurindam ialah puisi tradisional ataupun disebut sebagai puisi lama. Menurut pengkaji kesusasteraan tradisional, gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Gurindam terdiri daripada beberapa bentuk. Terdapat bentuk bebas yang tidak tentu barisnya dan terdapat juga bentuk terikat dengan dua baris sahaja serta ada juga yang dibangunkan oleh empat baris ayat. Setiap rangkap mengandungi tiga hingga enam patah perkataan. Biasanya beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapkan cerita atau nasihat (Siti Zaleha M. Hashim dan Khadijah Hashim, 2008). Menurut Raja Ali Haji,

“…adapun gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataanya dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab” (dalam H. Iberamsyah Barbary, 2015)

Menurut Za’ba (1962) gurindam merupakan puisi yang tidak mengandung sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubahkan dalam bahasa yang indah untuk dinyayikan bagi tujuan hiburan.

            Kehidupan hari ini penuh cabaran dan pancaroba. Justeru, apa juga pesanan, nasihat dan bimbingan daripada orang-orang tua dahulu melalui kata-kata seharusnya direnung, diingat dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Kebijaksanaan berbahasa dalam menyampaikan nasihat terdapat dalam keindahan gurindam. Berdasarkan isinya, gurindam dapatlah dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk tujuan pendidikan dan huburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta dayaintelektual masyarakat Melayu lama dalam menangani hal kehidupan mereka. Gurindam juga dapat dijadikan media komunikasi antara ahli masyarakat, terutama dalam majlis-majlis yang formal



2.0       LATAR BELAKANG PENULIS

Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad atau lebih dikenal sebagai Raja Ali Haji (1808-1873), merupakan salah seorang tokoh pujangga Melayu yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Pulau Penyengat, Riau. Beliau adalah cucu pahlawan Raja Ali Fisabilillah. Sejak kecil, Raja Ali Haji selalu mengikuti ayahnya, Raja Ahmad ke berbagai tempat. waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya Raja Ali untuk menemui banyak ulama, untuk memperdalam ilmu pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya oleh beliau ialah Sayyid Abdur Rahman al-Mashri (Tim Penulis, 2008).

            Kira-kira tahun 1827/1243H Raja Ali Haji mengikut bapanya, Raja Ahmad pergi ke Makkah al-Musyarrafah. Raja Ahmad dan Raja Ali Haji adalah di antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. Pengaruh dan ketokohan beliau dalam bidang keilmuan bermula semenjak kecil lagi apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan keagamaan di Mekah (Hikamudin Suyuti, 2013). Dalam bidang penulisan, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap  sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Selain itu, beliau juga merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan sistem pentarikhan ke dalam karya secara tepat dan jelas.

            Kehebatan Raja Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu juga terserlah melalui hasil tulisannya yang pelbagai. Kearifan beliau tidak sekadar terhad dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya beliau turut berkarya dalam lapangan disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Syair Sultan Abdul Muluk (1847), Bustan Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah Fi-Intizam (1857), Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1858), Gurindam Dua Belas (1864), Silsilah Melayu dan Bugis (1865), dan Tuhfat Al-Nafis (1865) (Ghazali Fansuri, 2012).

            Dalam himpunan karya-karya tersebut, Tuhfat Al-Nafis merupakan karya yang amat terkenal,. Karya tersebut dilihat begitu identik dengan diri beliau malah memainkan peranan sebagai magnum opus atau karya agung yang pernah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Namun demikian, Gurindam Dua Belas turut mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab (Shafie Abu Bakar, 1996). 

            Raja Ali Haji meninggal dunia di Riau pada sekitar tahun 1873. Beliau ditetapkan oleh pemerintah Republik Indonesia sebagai pahlawan negara pada tahun 2006.


3.0       KEKUATAN GURINDAM DUA BELAS

Gurindam Dua Belas ditulis oleh Raja Ali Haji di Pulau Penyengat, Riau, pada tarikh 23 Rejab 1263 Hijrah atau 1847 Masihi dalam usis 38 tahun. Karya ini terdiri daripada 12 Pasal dan dikategorikan sebagai puisi didaktik kerana mengandungi nasihat dan petunjuk menuju hidup yang diredhai Allah (Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, 2008). Setiap pasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna.

3.1       Falsafah dan Pemikiran 

Dalam Gurindam Dua Belas ini Raja Ali Haji telah mengungkapkan falsafah dan pemikiran keagamaan yang pada dasarnya sangat erat perkaitannya dengan sumber dan muara gurindam sebagai karya sastera iaitu bidang agama yang melingkupi masyarakat Melayu. Manusia yang telah mengenali Allah dan dirinya, akan sedar bahawa dia diciptakan Tuhan untuk menghuni bumi dan mengembangkan hidup dan kehidupannya di dunia. Raja Ali Haji selaku orang muslim yang taat kepada ajaran Islam menghasilkan gurindam ini untuk memberi nasihat kepada semua lapisan masyarakat.

Ini gurindam pasal yang kedua belas:
Raja muafakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh inayat.
Kasihan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.

            Bagi Raja Ali Haji, agama Islam merupakan tali pengikat antara semua tingkat sosial dalam pembinaan kebudayaan sendiri. Agama Islam menjadi penghubung antara manusia untuk terus bersatu walaupun perkara lain berbeza seperti pangkat, umur, harta, tahap pendidikan, kaum, bangsa dan tempat tinggal. Formula utama dalam isu perpaduan adalah kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam pengajian Fiqh ditekankan sebelum manusia mencari titik perselisihan hendaklah mencari titik kesatuan kerana kesatuan umat Islam itu adalah asasnya. Asas kesatuan yang utama adalah bersatu atas nama aqidah.

            Dengan demikian, jelaslah bahawa agama Islam atau nilai-nilai Islam merupakan dorongan kepada penciptaan Gurindam Dua Belas yang menjadi sumber ilhamnya. Pada Pasal I Gurindam Dua Belas jelas menunjukkan menerapan nilai-nilai Islam yang ditujukan kepada masyarakat Islam keseluruhannya.

Ini gurindam pasal yang pertama:
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.

            Raja Ali Haji menyatakan, orang yang beriman akan sentiasa menyedari makna takut. Orang beriman akan takut kepada Penciptanya dengan menegakkan dan menjunjung tinggi ajaran agama, sera melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Tuhan dengan istilah beribadah kepada Tuhan. Orang yang percaya akan kepada Tuhan akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Tuhan dengan melakukan ibadah. Allah berfirman di dalam Al-Qur’an surat adz-Dzariyat ayat 56 yang membawa erti:

“Tidaklah Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdi / beribadah kepada-Ku.”
           Ibadah adalah amalan pokok dalam kehidupan manusia, sebab manusia diciptakan oleh Allah swt, tidak lain adalah dalam rangka untuk mengabdi (beribadah). Raja Ali Haji menegaskan bahawa orang yang mengenal dan menghayati pasal gurindam pertama akan mengetahu makna sebenar takut atau takwa. Ibadah yang sentiasa ditekankan dalam gurindam pasal kedua adalah mengenai mendirikan solat, melaksanakan puasa, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji. Dalam Al-Quran banyak menyentuh mengenai keperluan beribadah seperti mendirikan solat iaitu menyembah Tuhan yang satu.

“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.” (Al-Anbiya’:92)
Jelaslah ayat di atas menjadi dasar bagi manusia dalam beribadah. Gambaran tentang keperluan menjalankan ibadah terlihat pada kutipan pasal kedua seperti berikut:

Ini gurindam pasal yang kedua:
Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

            Demikianlah cara Raja Ali Haji telah menunjukkan kemampuannya dalam menyerap teks-teks bersumberkan ajaran agma iaitu ajaran Islam dalam bentuk bait-bait gurindam. Gurindam Dua Belas mengandungi nasihat ditulis dalam bentuk yang berhemah, santun, dan beradab sesuai dengan semangat zaman beberapa kurun yang lalu (Mohd Saleeh Rahamad dan Mohd Rozlan Mohamed Noor, 2014).


3.2       Kepengarangan dan Estetika

Perjalanan Raja Ali Haji ke Mekah bukan sahaja menambahkan pengetahuan keIslaman Raja Ali Haji dan ayahnya, malah telah menumbuhkan kesedaran baharu tentang pentingnya bahasa dan perlunya bersatu untuk membebaskan diri daripada koloniaslisme. Benih-benih kesedaran inilah yang mempengaruhi keperibadian Raja Ali Haji terutama terhadap pentingnya bahasa sebagai media untuk menyatukan masyarakat Melayu. Bahasa merupakan saluran utama yang digunakan oleh manusia untuk membangunkan peradabannya. Melalui bahasa, manusia mengembangkan spiritual, intelektual, dan sosialnya. Manusia berfikir dengan bahasa sebelum pemikiran itu diterjemahkan dalam bentuk lisan.

            Melalui Gurindam Dua Belas, nampaknya Raja Ali Haji hendak membangun sebuah masyarakat Melayu yang berlandaskan nilai-nilai keislaman. Raja Ali Haji menciptakan karyanya, Gurindam Dua Belas dipengaruhi oleh banyak hal yang berkaitan dengan riwayat hidupnya, baik secara langsung mahu pun tidak langsung. Keindahan estetika yang terdapat dalam pemilihan kata dalam Gurindam Dua Belas berjaya menyampaikan matlamat penulisannya. Diksi atau pilihan kata yang digunakan dalam Gurindam adalah kata-kata yang menyatakan  hubungan sebab-akibat atau hubungan akibat-sebab, misalnya;

Kurang fikir kurang siasat
Tentu dirimu kelak tersesat

          Orang tergesa-gesa  biasanya kurang memikirkan sesuatu yang akan dilaksanakan dan bisa berakibat membawa orang tersebut ke arah kesesatan. Dia sebelumnya tidak memikirkan efek samping atau risiko dan strategi untuk mengatasinya. Pilihan kata pada Gurindam di atas hampir sama dengan Gurindam berikut

Fikir dahulu sebelum berkata
Supaya terelak silang sengketa

            Unsur gaya bahasa dalam Gurindam Dua Belas membuat larik menjadi padat dan sarat makna. Oleh sebab itu, pembaca mudah memahami isi yang terkandung dalam gurindam tersebut. Selain itu, gaya bahasa yang terdapat di dalam Gurindam Dua Belas lebih banyak menggunakan makna kata denotatif dan konotatif seperti mengenal agama yang bermakna konotasi dan apabila perkataan yang amat kasar yang bermakna denotatif.

       Aspek puitik yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas iaitu persamaan bunyi. Persamaan bunyi adalah persamaan yang terdapat pada kalimat atau perkataan awal, tengah dan akhir. Walaupun sajak bukan menjadi syarat utama dalam puisi lama namun dalam Gurindam Dua Belas menggunakan sajak a-a pada akhir barisnya.

            Citraan yang terdapat pada Gurindam Dua Belas antara lain pada Pasal pertama dan kedua terdapat citraan asosiasi intelektual iaitu adanya gambaran tentang bagaimana seseorang mengenal Tuhannya. Gambaran tersebut dapat mengarahkan pembaca untuk sentiasa berfikir bahawa segala sesuatu yang dilakukan di dunia akan memberi kesan kepada akhirat. Pada pasal ketiga terdapat citra penglihatan, pendengaran, perabaan, dan juga rasa. Pada pasal keempat terdapat citra penglihatan yang ditandai dengan kata tubuh., pasal kelima terdapat citraan penglihatan yang ditandai dengan kata lihat, pasal keenam terdapat citra penawar yang diandai dengan perkataan ubat, pasal ketujuh terdapat citra perasaan manusia yang ditandai dengan kata sabar, cemburu, lemah lembut, dan kasar, pada pasal kelapan terdapat citra sikap tentang sebuah kepercayaan yang ditandai dengan kata khianat, dan pada pasal kedua belas menggambarkan tentang kematian dan kehidupan diakhirat yang ditandai dengan kata mati.

            Gaya estetika retorik yang ada dalam Gurindam Dua Belas iaitu pengulangan kata. Contoh pengulangan bunyi terdapat dalam Pasal I, bait pertama ialah pengulangan bunyi kata ‘tiada’:

Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama

            Amanat atau nasihat yang terkandung dalam Gurindam Dua Belas iaitu pada Pasal I dan II memberi nasihat tentang agama. Pasal III tentang budi pekerti, iaitu menahan kata-kata yang tidak perlu dan makan seperlunya. Pasal IV tentang tabiat yang mulia, yang muncul dari hati nurani dan akal fikiran. Pasal V tentang pentingnya pendidikan dan memperluas pergaulan dengan kaum terpelajar. Pasal VI tentang pergaulan, yang menyarankan untuk mencari sahabat yang baik, demikian pula guru sejati yang dapat mengajarkan mana yang baik dan buruk.

            Pasal VII berisi nasihat agar orang tua membangun akhlak dan budi pekerti anak-anaknya sejak kecil dengan sebaik mungkin. Jika tidak, kelak orang tua yang akan rugi sendiri. Pasal VIII berisi nasihat agar orang tidak percaya pada orang yang culas dan tidak berprasangka buruk terhadap seseorang. Pasal IX berisi nasihat tentang moral pergaulan kaum wanita dan tentang pendidikan. Hendaknya dalam pergaulan antara kaum wanita ada pengendalian diri dan setiap orang selalu rajin beribadah agar kuat imannya. Pasal X berisi nasihat keagamaan dan budi pekerti, yaitu kewajiban anak untuk menghormati orang tuanya. Pasal XI berisi nasihat kepada para pemimpin agar menghindari tindakan yang tercela, berusaha melaksanakan amanat anak buah dalam tugasnya, serta tidak mengkhianat. Pasal XII (terakhir) berisi nasihat keagamaan, agar manusia selalu ingat hari kematian dan kehidupan di akhirat.


4.0       KESIMPULAN

Kesimpulannya, sehingga kini Gurindam Dua Belas masih tetap bertahan walaupun dalam era modenisasi. Hal ini demikian kerana Gurindam Dua Belas merupakan jenis pantun lama yang mempunyai keindahan yang kuat. Bahasa indah yang dilekatkan dalam Gurindam Dua Belas bersifat objektif serta menggambarkan jati diri Raja Ali Haji dan latar sosial penulisan karya tersebut. Gurindam Dua Belas memuat nilai-nilai luhur yang berguna bagi pengalaman hidup masyarakat atau pembaca. Hal itu bererti kehadiran karya sastera setiasa membawa banyak nilai persoalan termasuklah persoalan moral. Daripada nilai-nilai yang terkandung dalam Gurindam Dua Belas antara nilainya seperti menjaga hubungan manusia dengan diri sendiri, dan hubungan manusia dengan manusia lain, hubungan manusia dengan Tuhannya, manusia dapat memahami dan mempelajari dengan lebih teapt lagi nilai moral yang terkandung dalam teks sastera Melayu. Sebagai masyarakat yang memiliki sifat cintakan karya-karya agung, masyarakat perlulah menjaga dan melestarikannya dengan baik kerana setiap penulisan sesebuah karya memiliki falsafah, pemikiran, kepengarangan dan estetika yang tersendiri yang berbeza dengan karya zaman sekarang.



BIBLIOGRAFI

Tim Penulis, (2008). Pahlawan Indonesia. Indonesia: Media Pusindo (Puspa Swara Group).
Hikamudin Suyuti, (2013). Sastra hebat: gurindam 12 karya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Dipetik pada Mei 10, 2015 daripada http://hikamudin.blogspot.com/2013/12/sastra-hebat-gurindam-12-karya-raja-ali.html
Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, (2008). Dipetik pada Mei 10, 2015 daripada http://www.rajaalihaji.com/id/index.php#
Ghazali Fansuri, (2012). Kita dan sejarah – gurindam 12 Raja Ali Haji. Dipetik pada Mei 12, 2015 daripada http://ghazzal-fansuri.blogspot.com/2012/07/kita-dan-sejarah-gurindam-12-raja-ali.html
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Sri Lanang Jaya Rohani, (2014). Karya agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Saleeh Rahamad dan Mohd Rozlan Mohamed Noor, (2014). Sastera Teras Negara Bangsa. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.
Lucy Estriani, (2012). Analisis unsur-unsur puisi ‘Gurindam dua belas” karya Raja Ali Haji. Dipetik pada Mei 11, 2015 daripada http://lusyestriani.blogspot.com/2012/12/gurindam-dua-belas.html
Siti Zaleha M. Hashim dan Khadijah Hashim, (2008). Puisi tunas bangsa. Selangor: ‘K’ Publishing Sdn Bhd.
H. Iberamsyah Barbary, (2015). 1001 gurindam. Jakarta Selatan: EnterMedia.


TUGASAN INDIVIDU : GURINDAM 12


BMS3022
KARYA AGUNG MELAYU



GURINDAM DUA BELAS


NORSHAPIKA BINTI HASHIM
D 20111047551


AT 05 : PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
SEMESTER  2
 SESI 2014/2015


KUMPULAN A


PENSYARAH
DR. SERI LANANG
FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSTI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS



Gurindam Dua Belas


Gurindam Dua Belas merupakan sebuah puisi, hasil karya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, iaitu seorang sasterawan dan Pahlawan Nasional dari Pulau Penyengat, Provinsi Kepulauan Riau. Beliau merupakan seorang ulama, ahli sejarah, serta Pujangga Melayu – Bugis. Gurindam ini ditulis dan diselesaikan di Pulau Penyengat pada tanggal 23 Rejab 1264 Hijrah atau 1847 Masehi pada usianya 38 tahun. Karya ini terdiri dari 12 Fasal dan dikategorikan sebagai Syi’r al-Irsyadi atau puisi didaktik kerana ia mengandungi nasihat dan petunjuk  menuju hidup yang diredhai oleh Allah S.W.T. Beliau menciptakan Gurindam Dua Belas ini adalah untuk mas kahwin yang diberikan kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau Penyengat. Mas kahwin itu dipahatkan pada batu marmar sebagai bukti rasa cintanya.

            Dalam bidang penulisan, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Kehebatan Raja Ali Haji sebagai seorang tokoh pujangga Melayu yang terserlah melalui hasil karya beliau yang pelbagai. Mengikut Raja Ali Haji, “adapun erti gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab”.

Gurindam Dua Belas ini, di dalamnya penuh sarat dengan 1001 nasihat dan pedoman untuk pembaca apabila kita menghayatinya. Ia banyak mengandungi nasihat, pelajaran, pandangan hidup dan filsafat. Gurindam ini telah menjadi teks pembelajaran di sekolah menengah melalui mata pelajaran Bahasa Melayu, Kompenan Sastera (KOMSAS).


1.1  Falsafah dan Pemikiran

Dari segi bahasa, falsafah ini berasal daripada dua buah perkataan yang digabungkan, iaitu philo dan sophia. Philo bermaksud ‘cinta dan suka’ manakala Sophia pula bermaksud  ‘hikmah’. Jadi, digabungkan dua perkataan ini menjadi ‘sukakan hikmah/ cintakan hikmah’. Perkataan ini diciptakan oleh Pythagoras.  Falsafah bermaksud cinta akan ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran dan satu usaha pemikiran yang tuntas. Tegasnya ‘berfalsafah’ ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan berfikir secara radikal. Sistematik dan sejagat. Jadi, apabila seseorang itu berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan huraian yang tersusun oleh pemikirannya itu juga adalah falsafah. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa falsafah seharusnya ditanda dengan caranya, iaitu berfalsafah, dan juga masalahnya, iaitu persoalan falsafah. Maka hasilnya adalah karya falsafah.

            Bidang falsafah memberi penekanan dalam etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. falsafah metafizika memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Sejarah pula, persoalan yang berkaitan dengan masa silam, seperti tamadun dan keruntuhan. Sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Ekonomi ialah sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Kosmologi ialah yang membincangkan situasi persekitaran dan alam sejagat. Politik ialah aplikasi dan tujuan sistem pemerintah sesebuah negara. Logik pula merupakan pemikiran yang rasional, takulan dan sebab musabab.

            Oleh itu, falsafah merupakan satu bidang ilmu yang penting dan tidak semua manusia mampu untuk memahaminya dengan baik. Bidang ilmu ini dikatakan sebagai satu bidang yang merangkumi segala bidang ilmu yang terdapat di dunia ini. Ia meliputi segala ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini.
  
            Manakala. Pemikiran ialah proses mental yang membenarkan yang hidup untuk memodelkan dunia dan untuk menghadapinya dengan cekap menurut matlamat, rancangan, hujung dan kemahuan. Konsep berkaitan dengan pemikiran ialah kesedaran, idea dan imaginasi. Menurut John Barell ( 1991 ), pemikiran ialah proses mencari makna serta usaha mencapai keputusan yang wajar. Gurindam Dua Belas Fasal adalah karya sastera penting dan bermutu dalam penulisan negara Indonesia dan juga Malaysia. Raja Ali Haji mempunyai beberapa kelebihan tersendiri terutamanya aspek pengkaryaannya yang berkonsepkan Islamisme. Kita dapat hayati kepengarangannya tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh. Pemikiran ini telah ditemui dalam karyanya iaitu, Gurindam Dua Belas Fasal. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas tetapi kelebihan Gurindam Dua Belas Fasal adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi.

            Menurut Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, iaitu Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham, landasan keislaman ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem pendidikan yang diterimanya. Dalam perkara ini, jelaslah bahawa pendidikan Islam tradisional yang diterima daripada beberapa orang guru dan ulama di Riau serta pendidikan informal dari keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir Raja Ali Haji.

            Menurut beliau lagi, Raja Ali Haji sangat beruntung kerana sikap toleransi pemerintahan Belanda di Kepulauan Indonesia pada era tersebut telah memberi kelonggaran dan kebebasan kepada penganut Islam untuk mengamalkan Ibadah termasuklah menunaikan fardhu haji serta aktiviti sosial seperti perkahwinan dan adat. Hal ini telah memberi ruang kepada Raja Ali Haji untuk berkarya dan mengetengahkan aspek-aspek pemikirannya terutamanya tasawuf yang diperlihatkan dalam Gurindam Dua Belas. Tasawuf ialah ilmu kerohanian yang mengajarkan jalan untuk mencapai kebenaran.

            Selain itu, falsafah dan pemikiran Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas ialah ilmu pengetahuan tentang kewujudan Allah SWT sebenarnya berkaitan rapat dan langsung dengan rukun Islam. Contohnya dalam fasal yang kedua ada menjelskan tentang sembahyang, puasa, zakat dan haji.

Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti ruang tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.

Oleh itu, bagi Raja Ali Haji, ilmu yang utama dan wajib dipelajari ialah ilmu tentang Allah SWT. Matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan sahaja mengetahui binaan bahasa, bunyi, dan ejaannya, perkataan, kosa kata, binaan ayat, klausa dan sebagainya malah lebih penting daripada itu, iaitu mempelajari cara untuk menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar bagi membimbing manusia ke arah keredhaan Allah SWT.

Selain daripada itu, gagasan pemikiran Raja Ali Haji adalah lebih ke arah keislaman. Dalam gurindam yang dihasilkan oleh beliau mempunyai 12 Fasal. Setiap fasal pasti mempunyai amanat, nasihat dan pengajaran kepada pembacanya. Beliau menerapkan prinsip-prinsip ajaran agama yang diyakini dan dianuti  ke dalam karyanya sebagai hujah dan panduan yang akan mengawal generasi berikutnya dalam mengharungi kehidupan sebagai manusia. Berdasarkan falsafah dan pemikiran sedemikian maka akan lahirlah manusia Melayu yang mementingkan agama, berbudi pekerti, mengutarakan pendidikan dan sebagainya.

Misalnya, Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan tasawuf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna.  

Falsafah yang terdapat disebalik Gurindam Dua Belas ialah nilai tanggungjawab seseorang manusia dalam melaksanakan kewajipan kepada penciptaNYA. Sebagai umat Islam, seseorang individu itu perlu melaksanakan kewajipan yang diperintahkan sebagai seorang muslim untuk membuktikan bahawa kita sebagai umat/ hamba yang taat kepada Allah SWT. Sebagai contoh yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas:

Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti ruang tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
Tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
Tiadalah ia menyempurnakan janji.

Petikan ini menjelaskan bahawa kita sebagai umat Islam haruslah mematuhi Rukun Islam.

Falsafah seterusnya sifat keperihatinan dalam menjaga pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Kita sebagai insan yang bersyukur haruslah menjaga anggota pancaindera yang dianugerahkan daripada perkara-perkara yang negatif. Apabila kita menjaga anggota pancaindera daripada perkara mungkar atau negatif seperti berzina, mengumpat, atau menabur fitnah dan sebagainya, Jadi dapat membuktikan bahawa tahap keimanan dan ketakwaan seseorang itu kepada Ilahi. Sebagai contohnya:

Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.

Rangkap gurindam tersebut menjelaskan bahawa setiap manusia perlu mengetahui dengan lebih jelas setiap tindak tanduk yang dilakukan sama ada kebaikan atau keburukan kepada diri sendiri dan orang lain.

            Gurindam Dua Belas juga menyajikan falsafah tentang nilai budi dan akhlak mulia dalam kehidupan. Nilai budi yang ditakrifkan dalam masyarakat Melayu ialah nilai budi berbahasa, nilai budi dalam tindakan dan tingkah laku dalam hidup bermasyarakat. Masyarakat boleh mengenali sikap atau tingkah laku dan juga latar belakang sesebuah keluarga melalui nilai budi yang ditonjolkan oleh seseorang individu itu. Hal ini ketinggian nilai budi itu mencerminkan personaliti kita. Contoh nilai budi dalam kehidupan:

Jika hendak mengenal orang yang mulia,
Lihatlah kepada kelakuannya.

Di sini jelas menunjukkan nilai budi seseorang akan mempengaruhi corak kehidupan dan harga diri mereka di mata masyarakat  dan turut menggambarkan keperibadian seseorang itu.

            Falsafah yang lain ialah tanggungjawab seseorang individu terhadap sesama insan. Setiap individu bukan sahaja mempunyai tanggungjawab kepada ILAHI tetapi juga mempunyai tanggungjawab kepada semua insan di muka bumi ini. Tanggungjawab yang dimaksudkan itu adalah seperti tanggungjawab kepada ibu bapa, isteri atau suami, anak-anak dan masyarakat. Kita sebagai anak harus melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama insan terutamanya terhadap kedua-dua ibu bapa. Hal ini selaras dengan Islam kerana sebagai landasan untuk mendapatkan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Islam juga meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang paling tinggi. Perkara ini dapat dibuktikan apabila ada seorang sahabat Rasulullah s.w.a bertanya kepada baginda tentang perkara yang paling disukai oleh Allah SWT . Maka Rasulullah s.a.w menjawab “ada tiga perkara yang disukai oleh Allah SWT, iaitu pertama, menjaga solat lima waktu sehari semalam. Kedua, berbakti kepada ibu dan bapa dan ketiga, berjihad ke jalan Allah SWT”. Di sini jelaslah bahawa kedudukan ibu bapa diletakkan di tempat yang tinggi kerana Allah SWT mengangkat darjat ibu bapa sebelum berjihad di jalan Allah SWT. Contohnya bait kata yang diambil dari Gurindam 12 Dua Belas:

Dengan bapak jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.

Melaui contoh ini, jelaslah bahawa keharmonian hidup berkeluarga amat dititikberatkan oleh Islam. Kedudukan ibu bapa sangatlah tinggi. Mentaati ibu bapa adalah satu kewajipan. Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa. Islam telah meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang paling tinggi. Sepertimana dalam Islam menegaskan bahawa keredhaan Allah Taala terletak kepada keredhaan ibu bapa. Oleh itu, syariat menetapkan mentaati ibu bapa sebagai satu kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap anak.

Jadi, kita dapat simpulkan bahawa pemikiran Raja Ali Haji dalam karyanya,iaitu Gurindam Dua Belas berkonsepkan keislaman. Maka, falsafahnya lebih mementingkan dan mengutamakan agama dan ajaran Islam dalam melayari kehidupan manusia. Beliau banyak memberikan nasihat-nasihat yang berguna tentang kehidupan yang perlu dilalui oleh seseorang. Dengan falsafah yang dikemukakan sememangnya masyarakat Melayu mempunyai daya keintelektualan dan daya kreatif yang tinggi dalam menyampaikan sesuatu maklumat dan nasihat kepada para pembacanya.


1.2       Estetika dan Kepengarangan dalam Gurindam Dua Belas

Karya sastera memang mempunyai nilai estetika. Nilai estetika ini seharusnya dapat dinikmati sebagai nikmat membaca, menghayati dan memahami setiap hasil karya. Justeru, sentuhan rasa dan fikir dapat dirasakan oleh pembaca dengan melihat kecerdasan dan jalinan keindahan bahasa seseorang pengarang. Luahan hati dan getar jiwa seni pengarang melalui kata-kata dan bayangan alam budaya kehidupan masyarakat.

Estetika dan kepengarangan adalah dua aspek yang penting dan mempengaruhi kedudukan sesebuah teks dan seseorang sasterawan. Estetik berhubung kait dengan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Ia membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan apabila membacanya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Keindahan ini dapat dilihat dengan penggunaan bahasa yang digunakan oleh pengarang. Cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya yang menyerlahkan rasa keindahan.

Menurut Muhammad Haji Salleh dalam bukunya yang bertajuk “Puitika Sastera Melayu”,estetika menjadi sebahagian daripada pemikir kesenian manusia Melayu yang terbayang dalam, yang indah itu dicari kerana keupayaannya membawa khalayak kepada suatu peri nikmat yang lebih tinggi kepada bayangan pengalaman luar biasa yang mungkin terdapat dalam hanya kayangan sastera.

            Estetika merupakan seni sastera yang terdapat dalam gurindam yang merujuk kepada sesuatu objek alam dan seni yang bernilai dan berguna untuk penglihatan dan penikmatan yang indah. Menurut V.I Braginsky ( 1994: 16 ), beliau merumuskan bahawa konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu, mempunyai tiga aspek yang dengan terang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan “indah” dengan kata-kata yang seerti. Menurutnya lagi, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh tetapi kesan keindahan itu yang lebih penting dan lebih utama ialah faedah (manfaat) yang terkandung dalamnya.

Aspek pertama, bersangkut paut dengan asal usul keindahan, atau sumbernya. Pengertian “indah” di sepadan secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan (kekayaan Allah). Ia meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu yang tidak terbatas. Dan Allah juga suka kepada keindahan.

Aspek kedua, estetika Islam membezakan keindahan mutlak daripada keindahan fenomena dengan menggunakan perkataan “elok” dan “indah” dalam karya sastera dan karangan tasawuf Melayu.

Aspek keindahan ketiga, estetika atau keindahan tersembunyi, tetapi “bentuk” iaitu, bentuk susunan kata yang baik, makna yang berlapis-lapis akan menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati. Tanpa bentuk yang baik, yakni apabila dilahirkan dengan gaya ungkapan yang tidak menarik, isi kandungan akan kehilangan daya tarikannya.

            Manakala, kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang.

            Salah satu keindahan yang boleh kita dapati dalam Gurindam Dua Belas ialah penggunaan gaya bahasa yang ditonjolkan oleh pengarang. Antaranya seperti berikut:

a)    Asonansi
Asonansi ialah pengulangan  huruf vokal yang sama dalam deretan kata. Dalam gurindam ini terdapat pengulangan huruf vokal a, seperti yang berikut:
Apabila terpelihara mata  ( Fasal Ketiga: rangkap satu, baris satu )
Cahari olehmu akan sahabat ( Fasal Keenam: rangkap satu, baris satu )

b)    Aliterasi
Aliterasi ialah pengulangan huruf konsonan dalam deretan kata.
Pengulangan bunyi konsonan g
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan ( Fasal ketiga: rangkap keempat, baris satu )
Pengulangan bunyi konsonan n
Yang boleh menyerah diri ( Fasal Keenam, rangkap tiga, baris dua )

c)    Sinkope
Sinkope ialah singkatan kata.
Cahari olehmu akan sahabat ( Fasal Keenam: rangkap satu, baris satu )

d)    Penggunaan kata klasik
Cahari

e)    Penggunaakan kata ganda
Cita-cita,

f)     Penggunaan bahasa kiasan
Yang boleh menyerahkan diri ( mahu menurut kata-kata suami )

Selain itu, dalam kata-kata yang termaktub dalam Gurindam 12 Dua Belas sangat kental sekali dengan keislaman. Gurindam ini mengandungi banyak nasihat dan pengajaran yang sangat berguna dan bersifat universal bagi masyarakat, khususnya masyarakat di mana Raja Ali Haji itu tinggal, iaitu masyarakat Melayu. Dari bahasa yang dibentuk menjadi sebuah kata lalu menjadi ayat yang mempunyai makna yang terkandung di dalamnya. Kita dapat hayati dalam setiap fasal dalam Gurindam Dua Belas mempunyai dua baris dalam serangkap atau beberapa baris dalam serangkap. Setiap baris ke baris dalam Gurindam Dua Belas membawa makna yang lengkap dan saling berkesimbungan antara baris pertama dengan baris yang berikutnya. Baris pertama biasanya dikenali sebagai “syarat” dan baris kedua sebagai “jawab”. Baris pertama atau “syarat” menyatakan suatu fikiran atau peristiwa sedangkan baris kedua atau “jawab” menyatakan keterangan atau menjelaskan apa yang telah dinyatakan oleh baris atau ayat pertama tadi. Jumlah perkataan sebaris dan jumlah suku kata serta rimanya tidak tetap.

Di samping itu, kebijaksanaan berbahasa dalam menyampaikan nasihat terdapat dalam keindahan Gurindam Dua Belas. Semua pesanan dan nasihat itu terdapat kata-kata puitis yang indah dan penuh estetika. Setiap fasal ini mempunyai amanatnya yang tersendiri. Pada fasal pertama, ia memberikan nasihat tentang agama. Fasal kedua, menceritakan tentang orang-orang yang meninggalkan sembahyang, puasa, zakat, dan haji serta akibatnya. Fasal ketiga, berkaitan budi pekerti, iatu menahan kata-kata yang tidak perlu dan makan seperlunya. Fasal keempat, tentang tabiat yang mulia, yang muncul dari hati (nurani) dan akal fikiran (budi). Fasal kelima, tentang pentingnya pendidikan dan memperluaskan perbualan dengan kaum terpelajar. Fasal keenam, tentang pergaulan yang menyarankan untuk mencari sahabat yang baik, demikian pula guru sejati yang dapat mengajarkan yang mana baik dan buruk. Fasal ketujuh, mengandungi nasihat agar orang tua menunjukkan akhlak dan budi pekerti anak-anaknya sejak kecil dengan sebaik yang mungkin. Fasal kelapan, mengadungi nasihat agar orang tidak mempercayai orang yang culas dan tidak berprasangka buruk terhadap seseorang. Fasal kesembilan, nasihat tentang moral pergaulan wanita dan pendidikan. Fasal kesepuluh, nasihat berkaitan keagamaan dan budi pekerti, iaitu kewajipan anak untuk menghormati orang tuanya. Fasal kesebelas, memberi nasihat kepada para pemimpin agar menghindari tindakan yang tercela, berusaha melaksanakan amanat anak buah dalam tugasnya serta tidak khianat.

Dalam pada itu, apabila kita membaca dan menghayati setiap baik kata gurindam ini terdapat beberapa nilai-nilai yang menyentuh seluruh kehidupan manusia yang mengajar, mendidik dan membentuk peribadi manusia ke arah kebaikan. Aspek moral dan sosial dalam kehidupan sangat diutamakan oleh pengarang,iaitu Raja Ali Haji. Gurindam Dua Belas ini mengandungi nilai murni dan banyak pengajaran serta nasihat. Nilai moral ialah nilai yang berkaitan dengan akhlak, budi pekerti, atau baik buruknya tingkah laku seseorang itu. Manakala, asepk sosial ialah nilai yang berkaitan dengan norma yang ada dalam masyarakat Perkataan dan bahasanya banyak mengambarkan keindahan dan mengambil perbandingan keindahan itu seolah-olah untuk melukiskan isinya dengan suasana dan warna yang cantik dan sarat dengan nasihat. Oleh itu, kita dapat menghayati gurindam ini banyak  memberi pengajaran dan pendidikan kepada generasi pada hari ini. Selepas itu, nilai kehidupan yang meliputi nilai sosial, nilai keperibadian, nilai budaya, nilai adat, nilai tingkah laku, nilai agama, nilai pendidikan, nilai ketuhanan, dan sebagainya.

Nilai keagamaan ialah nilai yang berkaitan dengan tuntutan beragama. Contohnya, kita dapat lihat nilai ketuhanan dan nilai keagamaan yang digunakan dalam diksi atau pilihan kata seperti agama, ma’rifat, Allah, Tuhan, bahri, akhirat, mudarat, sembahyang, puasa, zakat, berkat, haji, dan sebagainya.

Seterusnya nilai yang terkandung dalam bait gurindam ialah nilai moral. Nilai moral ialah nilai yang berkaitan dengan akhlak, budi pekerti, atau baik buruknya tingkah laku seseorang itu. Bait gurindam tersebut mengadungi pelajaran, jika orang tua tidak mendidik anaknya dengan kebaikan maka orang tua akan merasa kesulitan dan mengalami kesusahan ketika anaknya dewasa nanti. Sebagai contohnya dalam Fasal Ketujuh: rangkap empat, baris satu dan dua:

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

            Penggunaan kata lidah atau terpelihara lidah, dan faedah pada gurindam ( 1 ) seperti di bawah merupakan  penanda nilai diri dan kepribadian bahawa apabila seseorang dapat memelihara pembicaraanya, nescaya akan mendapatkan faedahnya. Selain daripada itu, penggunaan kata perut, fi’il, dan senunuh pada gurindam ( 2 ) merupakan penanda nilai diri dan kepribadian. Jadi, kita dapat simpulkan bahawa diksi atau pilihan kata digunakan oleh pengarang adalah untuk menandai pesan-pesan nilai kehidupan untuk disampaikan kepada para pembaca,

( 1 ) Apabila terpelihara lidah
Nescaya dapat daripadanya faedah
( 2 ) Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah fi’il yang tiada senunuh

Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab (Shafie Abu Bakar 1996).

            Jika kita teliti kepengarangan Raja Ali Haji dalam gurindam ini berkonsepkan keislaman. Kepengarangannya tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh. Menurut Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham, landasan keislaman ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem pendidikan yang diterimanya. Dalam perkara ini, jelaslah bahawa pendidikan Islam tradisional yang diterima daripada beberapa orang guru dan ulama di Riau serta pendidikan informal daripada keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir Raja Ali Haji. Ayahnya Raja Ahmad atau digelar juga Engku Haji Tua memang seorang yang alim.

            Dunia keislaman yang mempengaruhi kepengarangan Raja Ali Haji juga banyak ditimba dari pendidikan agama oleh guru-guru yang sering mengunjungi Penyengat seperti Syeikh Ahmad Jibrati dan Habib Syeikh Syakaf. Sebagai contohnya, Raja Ali Haji menekankan konsep makrifat dalam Gurindam Dua Belas adalah mengenal Allah, diri, dunia, dan akhirat. Kita sebagai hambaNYA wajib mengenal Allah dengan melaksanakan suruhan dan perintah-NYA. Ia selaras dengan ajaran Islam, mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Contohnya gambaran pada gurindam fasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-sekali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang keempat,
maka ia itulah orang ma’rifat.
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia mengalah.

       Kesimpulannya, pesanan yang terkandung dalam gurindam mempunyai mesej atau amanat yang hendak pengarang sampaikan kepada pembacanya. Raja Ali Haji menulis Gurindam Dua Belas berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya. Gurindam ini memberi banyak nasihat tentang ibadah, kewajipan raja, kewajipan anak, kewajipan orang tua, budi pekerti, dan hidup bermasyarakat yang dapat dijadikan pedoman hidup buat kita semua. Dalam kata-kata yang termaktub dalam gurindam ini sangat kental sekali unsur keislaman kerana gurindam ini mengandungi nasihat-nasihat yang sangat berguna dan bersifat universal bagi masyarakat dunia. Oleh itu, kita haruslah cermat untuk memahami setiap bait kata yang dihasilkan oleh pengarang agar kita memperoleh nilai-nilai dan pengajaran tersebut sebagai panduan dalam hidup.




Bibliografi

Abu Hassan Abdul & Mohd Rashid Md Idris (2012). Seni Mengarang. Tanjung Malim:
            Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Id.wikipedia.org/wiki/Gurindam-Dua-Belas. Diperoleh pada1 Mei 2015.

Mimbarkata.blogspot.com/2013.07/pemikiran-raja-ali=haji.html. Diperoleh pada 2 Mei 2015.

Mohd Rashid  Hj.Md. Idris, Abd. Rahman Napiah & Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014).
            Karya Agung Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Muhammad Haji Salleh (2000). Puitika Sastera Melayu.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahman Shaari (2010). Antologi Harga Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
            Pustaka.

Siti Nur Anis M. Apandi (2011). Diperoleh pada Mei 2, 2015 daripada

            www.scribd.com/doc/5417337/gurindam-12#scribd.