Tuesday 26 May 2015

1.0       Pengenalan
Karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seninya, nilai budayanya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung dalam di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah, semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang ‘luar biasa’. Maksud ‘luar biasa’ ini dapat kita lihat dan rasakan apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang digunakan, sama ada secara sedar, spontan, atau secara ‘terancang’, bagi menyampaikan sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al).

            Karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Yang dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu. Selain itu, karya agung juga sebuah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut (Mohd Rashid Md Idris et al.; 2014).

            Karya agung melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain dikenali melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala. Mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al.).

            Sesuatu karya untuk menjadi tonggak keintelektualan sesuatu bangsa pastinya perlu berbentuk tulisan kerana melalui tulisan sahaja sesuatu karya dapat dikenal segala maklumat yang terkandung di dalamnya, sekali gus menggambarkan kehebatan bangsa tersebut. Mungkin asalnya karya itu dalam bentuk lisan tetapi melalui usaha-usaha yang terkemudian, bahan-bahan lisan itu ditulis dan dibukukan bagi menjamin kelangsungannya. Melalui tulisan, dapat dikenal keindahan bahasa yang digubah dan jalinan fikir yang diungkap sehingga ke hari ini. Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan. Namun, perlu diingat bahawa tidak ada ukuran yang sejagat berkaitan ciri-ciri ini. Hal ini demikian kerana setiap karya sastera lahir daripada tradisi, budaya dan tamadun yang berbeza-beza. Penelitian ciri-ciri sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung Melayu dilihat dari beberapa aspek iaitu pemikiran dalam karya agung, estetika dan kepengarangan karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup serta nilai ilmu dalam karya agung Melayu (Mohd Rashid Md Idris et al.; 2014).

            Karya agung Melayu adalah cetusan akal fikiran Melayu yang luar biasa. Keluarbiasaan akal Melayu ini pada dua tahap keupayaan mentalnya iaitu keupayaannya berfikir secara kreatif melalui kaedah atau proses mental yang dapat kita sebut kaedah metafora, yakni kaedah berfikir melalui perumpamaan, perbandingan, kiasan dan tamsil ibarat, untuk menyampaikan sesuatu benda daripada alam nyata sebagai analoginya. Selain itu, kebolehan mentalnya untuk menyusun fikirannya dalam bentuk pengungkapan yang sangat berstruktur. Terdapat banyak karya agung yang mempunyai kehebatannya yang tersendiri antaranya ialah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat Inderaputera, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment